Follow us

India Pinda Polisi Minyak Sawit, Tiada Lagi Sekatan Import Sawit Malaysia

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-21
E-mel
Komen
Share
Pekerja memeriksa kualiti buah kelapa sawit di sebuah kilang di Sepang, di luar Kuala Lumpur, 20 November 2014.
Pekerja memeriksa kualiti buah kelapa sawit di sebuah kilang di Sepang, di luar Kuala Lumpur, 20 November 2014.
(AFP)

Malaysia pada Khamis menyambut baik keputusan kerajaan India untuk menyambung kembali pengimportan minyak kelapa sawit dari Malaysia, setelah lebih empat bulan negara berkenaan meminda polisi dasar import bahan itu yang telah menjejaskan eksport Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata perkembangan berkenaan dijangka akan memberikan impak positif kepada industri sawit dan ekonomi negara, serta mengukuhkan kembali harga minyak sawit di pasaran antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia menyambut baik tindakan India untuk tidak memperbaharui arahan tersebut pada 4 Mac 2020. Di samping itu, kesediaan kerajaan Malaysia untuk memastikan jurang dagangan yang sebelum ini menjadi isu juga merupakan faktor penting peningkatan tersebut," kata Khairuddin dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.

Pada Disember lalu, hubungan dua hala antara Malaysia dan India menjadi tegang ekoran kritikan yang dilemparkan oleh Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu mengenai tindakan India berkaitan wilayah Kashmir, dan pindaan baru undang-undang kewarganegaraan yang dikata mendiskriminasikan umat Islam.

Sebelum itu, pada September lepas, Mahathir semasa ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York telah menyuarakan pandangannya di pentas dunia itu mengenai konflik Kashmir dengan mengatakan Pakistan dan India harus duduk bersama dalam menyelesaikan perbezaan mereka.

Susulan kritikan berkenaan, New Delhi pada Januari telah mengenakan sekatan import minyak sawit, yang tidak secara terang mengatakan ia sebagai tindak balas atas ‘teguran keras’ Malaysia, kerana diketahui umum bahawa India merupakan pengimport terbesar bahan itu dari Malaysia, dan perintah sekatan itu sekaligus menjejaskan perdagangan antara dua negara.

Khairuddin berkata kementerian berkenaan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) giat mengadakan beberapa siri rundingan secara atas talian baru-baru ini bagi menarik semula pengimport dari India untuk kembali membeli produk Malaysia, dan perubahan pendirian kerajaan India untuk tidak melanjutkan sekatan import minyak sawit yang ditapis telah turut membantu peningkatan import dari negara berkenaan.

"Perkembangan hubungan diplomatik kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi Jun dan Julai 2020. Kerajaan menjangkakan situasi ini akan memberikan impak positif keatas industri sawit dan ekonomi negara.

“Industri sawit negara memberikan pendapatan kepada hampir 500 ribu pekebun kecil sawit termasuk kira-kira 258 ribu pekebun kecil persendirian dan mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran Malaysia," tambah beliau.

Pemantauan pasaran oleh MPOC mendapati peningkatan signifikan sebanyak 47 peratus minyak sawit yang didagangkan di Bursa Malaysia dengan peningkatan 66,427 lot pada Rabu berbanding purata 45,200 lot setiap hari sepanjang minggu lalu, kata Menteri itu.

Menurut data kerajaan, Malaysia dan Indonesia membekalkan kira-kira 60 juta metrik tan minyak sawit setiap tahun atau kira-kira 85 peratus daripada pengeluaran dunia.

Berdasarkan kenyataan Khairuddin, pada tahun lepas sahaja India telah mengimport sejumlah 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berjumlah RM9.8 bilion(AS$2.25 bilion).

Jumlah berkenaan telah meningkat kira-kira 67 peratus berbanding tahun sebelumnya (2018) dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan.

Krisis kritikan terhadap India bagaimanapun telah menyebabkan kejatuhan mendadak eksport bahan berasas sawit oleh Malaysia dalam empat bulan pertama tahun ini.

"Beberapa siri peristiwa telah mencetuskan trend kejatuhan mendadak dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India. Sepanjang suku pertama tahun 2020, kebanyakan import minyak sawit oleh India adalah dari negara pengeluar lain.

"Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada bulan Januari – April 2020 telah menunjukkan penurunan drastik hampir 94 peratus kepada 96,145 tan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, iaitu 1.6 juta tan," kata Khairuddin.

Malaysia sebelum ini tetap berpegang pada pendiriannya terhadap India walaupun setelah negara berkenaan mengambil tindakan balas secara ekonomi.

Ketika mengulas mengenai tindakan menyekat import minyak sawit yang dikenakan India, Mahathir pada pertengahan Januari berkata bahawa sesebuah negara tidak boleh membenarkan pertimbangan ekonomi mengatasi bantahan untuk bersuara terhadap perkara "salah".

"Kita bimbang kerana kita jual banyak minyak sawit kepada India. Tetapi dalam erti kata lain, kita perlu bercakap jujur dan apabila sesuatu yang salah, kita perlu bersuara," kata Mahathir ketika itu.

Namun, perubahan politik Malaysia yang menyaksikan kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan diganti dengan kerajaan persekutuan diterajui pakatan politik baru dinamakan Perikatan Nasional pada Mac lalu dikatakan telah turut membawa angin perubahan dalam hubungan diplomasi kedua-dua negara.

Menurut laporan eksklusif oleh Reuters yang diterbitkan pada Selasa, hubungan dagang antara Malaysia dan India menjadi bertambah baik selepas pertukaran kerajaan itu yang kini di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Memetik sumber, agensi berita itu melaporkan bahawa Malaysia telah menandatangani satu perjanjian untuk membeli 100,000 tan beras dari India minggu lepas manakala pemain-pemain utama industri import di India pula telah mengikat kontrak untuk mengambil sehingga 200,000 tan minyak sawit mentah dari Malaysia.

"Hubungan kita dengan India telah semakin pulih sejak kerajaan baru ditubuhkan," Khairuddin dilaporkan sebagai berkata oleh Reuters.

Kesan baik ekonomi

Sementara itu, ketua ahli ekonomi untuk Kumpulan Ambank, Anthony Das berkata keputusan kerajaan India untuk membenarkan semula import minyak sawit dari Malaysia dijangka akan memberikan kesan yang baik terhadap ekonomi negara serta membantu memperkukuhkan lagi hubungan dagang kedua-dua negara.

Menurut beliau, antara faktor yang memacu peningkatan import itu adalah penurunan stok inventori domestik negara berkenaan dan diskaun harga yang diberikan Malaysia, dan ditambah lagi dengan faktor cukai eksport yang dikenakan Indonesia.

"Cukai eksport Indonesia telah membolehkan pedagang minyak sawit Malaysia untuk memberikan diskaun. Diskaun ini mungkin akan ada untuk sementara waktu.

"Inventori minyak sawit kita telah meningkat kepada lebih dua tan pada bulan April, jauh melebihi jangkaan ekoran peningkatan mendadak pengeluaran sementara permintaan pula menurun ekoran perintah kawalan pergerakan kerana wabak Covid-19. Jadi, semua faktor ini adalah sesuatu yang menarik untuk pembeli dari India," kata Das.

Namun, Das berkata, walaupun kadar permintaan dari India dijangka akan terus meningkat, tetapi kadar kenaikan import oleh negara berkenaan akan bergantung kepada situasi perintah berkurung COVID-19.


Lihat Laman Penuh