Follow us

Perhimpunan Tabligh Di India Jadi Kluster Baru Kes COVID-19

Staf BeritaBenar
Jakarta & Kuala Lumpur
2020-03-31
E-mel
Komen
Share
Anggota paramedik India sedang mendaftarkan sekumpulan lelaki Muslim yang akan ditempatkan di pusat kuarantin selepas menjalani saringan COVID-19 di New Delhi, 31 Mac, 2020.
Anggota paramedik India sedang mendaftarkan sekumpulan lelaki Muslim yang akan ditempatkan di pusat kuarantin selepas menjalani saringan COVID-19 di New Delhi, 31 Mac, 2020.
(AP)

Pihak berkuasa di Indonesia dan Malaysia sedang menyiasat untuk menentukan berapa ramai rakyat negara mereka mungkin dijangkitiĀ  kluster baru COVID-19 yang berpunca daripada satu perhimpunan besar-besaran umat Islam di New Delhi.

Lebih 350 orang, yang dibawa keluar dari markas tabligh di mana perhimpunan itu diadakan pada pertengahan Mac, telah dimasukkan ke hospital dan sekurang-kurangnya 10 orang yang menyertai perhimpunan itu telah meninggal dunia selepas dijangkitiĀ  koronavirus, menurut laporan Agence France-Presse. The Press Trust of India melaporkan kira-kira 8,000 orang telah menyertai perhimpunan tersebut.

Rakyat Indonesia dan Malaysia dilaporkan antara mereka yang menghadiri satu perhimpunan anjuran Jemaah Tabligh iaitu pertubuhan Muslim di India. Jemaah Tabligh Malaysia juga menganjurkan perhimpunan di negara itu pada akhir Februari di mana beratus-ratus kes koronavirus dikaitkan dengan perhimpunan tersebut.

"Menurut maklumat yang kami ada, terdapat 1,456 ahli Jemaah Tabligh Indonesia di luar negara dengan 731 orang daripada mereka berada di India," kata Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi pada sidang berita di Jakarta pada Selasa. Tidak jelas sama ada individu berkenaan menghadiri perhimpunan di New Delhi atau ada daripada mereka yang terkandas di dalam markas itu.

Perhimpunan di ibu negara India itu bermula pada 13 Mac, beberapa hari sebelum Ketua Menteri Delhi melarang diadakan perhimpunan yang disertai lebih daripada 50 orang bagi mengekang penularan virus itu, menurut laporan India Today. Beratus-ratus orang enggan meninggalkan bangunan markas itu dan terkandas di dalamnya selepas Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung selama tiga minggu di seluruh negara dengan turut menggantung pengangkutan awam dan menyekat pergerakan yang tidak penting.

Di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah ditanya sama ada rakyat negara itu menghadiri perhimpunan berkenaan di India.

"Benar. Kami sedang menyiasat," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini. "Jelas sekali terdapat risiko tinggi bagi mereka yang menghadiri perhimpunan itu. Oleh itu, kami cuba mendapatkan maklumat lanjut dari rakan sejawatan kami di India."

Di samping itu, pihak berkuasa telah mengenal pasti 87 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan Jemaah Tabligh di Sulawesi, Indonesia, yang dibatalkan pihak berkuasa tempatan pada saat-saat akhir pada 18 Mac, tetapi selepas ketibaan 3,000 orang pengikut pertubuhan itu,

"Kami sedang menjejaki mereka juga," katanya.

Perhimpunan di India dan Indonesia menyusuli perhimpunan besar-besaran Jemaah Tabligh di Kuala Lumpur pada akhir bulan lalu di Masjid Sri Petaling, yang disertai kira-kira 16,000 orang.

Kerajaan Malaysia melaporkan bahawa kira-kira separuh daripada 2,766 kes COVID-19 dikaitkan dengan perhimpunan itu. Pegawai di Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam mengesahkan kes COVID-19 di negara masing-masing turut mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu.

Retno berkata ramai warga asing yang merancang untuk menghadiri perhimpunan itu di Sulawesi, termasuk sekumpulan rakyat Malaysia, telah kembali ke negara masing-masing manakala 97 orang pula dikuarantin selepas tiga daripada mereka menunjukkan gejala COVID-19.


Lihat Laman Penuh