Follow us

Hishammuddin: Malaysia Akan Bawa Pulang 136 Jemaah Tabligh Terkandas Di India

Ray Sherman & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-07-15
E-mel
Komen
Share
Menteri Luar Malaysia Hishamuddin Hussein bercakap kepada pemberita di Parlimen, Kuala Lumpur, 15 Julai, 2020.
Menteri Luar Malaysia Hishamuddin Hussein bercakap kepada pemberita di Parlimen, Kuala Lumpur, 15 Julai, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada akhir minggu ini merancang untuk membawa pulang 136 ahli Jemaah Tabligh yang menyertai satu majlis di India pada Mac lepas, yang menyebabkan pembentukan kluster COVID-19 dan seterusnya ditahan di Delhi atas kesalahan visa, Menteri Luar Malaysia berkata pada Rabu.

Hishammuddin Hussein berkata, kesemua mereka yang terkandas, telah ditahan pihak berkuasa India sebelum itu, atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan, apabila negara bereknaan melaksanakan penguatkuasaan peraturan bagi mengekang penularan pandemik tersebut dan merupakan antara 191 rakyat Malaysia yang berada dalam situasi kritikal di luar negara.

“Kementerian Luar Negeri sedang menyelaras dan berusaha untuk membawa pulang semua Jemaah Tabligh menerusi satu pesawat sewaan khas pada 17 Julai 2020. Jumlah jemaah Tabligh yang dijangka dibawa pulang menerusi pesawat ini adalah seramai 136 orang, termasuk sembilan orang yang berada di Kolkata dan dua orang di Sahranpur.

“Antara 136 jemaah, 125 jemaah Tabligh di New Delhi telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan dari pertuduhan pada 9 dan 10 Julai lalu. Baki 52 Jemaah lagi masih menjalani proses perundangan dengan seorang lagi jemaah Tabligh yang berada di Amravathi, bebas daripada sebarang pertuduhan,” demikian menurut Hishamuddin pada sidang media di Bangunan Parlimen di ibunegara Malaysia pada Rabu.

Beliau berkata, undang-undang India tidak membenarkan pemegang pas lawatan sosial menghadiri acara keagamaan dan rakyat Malaysia harus sedar bahawa mereka memang bersalah kerana melanggar undang-undang negara itu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, himpunan Tablighi Jamaat adalah kumpulan terbesar dijangkiti COVID-19 di beberapa wilayah di India, beberapa bulan yang lalu.

India adalah negara ketiga yang paling teruk terjejas di dunia, akibat wabak tersebut, dengan lebih dari 937,000 kes, dan kira-kira 24,000 kematian dicatatkan setakat ini.

Hishammuddin memberi jaminan perwakilan Malaysia di India akan terus memantau situasi dengan teliti untuk memastikan rakyat yang terkandas itu mendapat bantuan konsulat, makanan, keperluan, dan ubat-ubatan yang diperlukan.

"Saya harap keluarga mereka yang terjejas dapat terus bersabar sehingga usaha untuk membawa pulang insan tersayang mereka dapat dilakukan dengan lancar," kata menteri itu.

Menurut Hishammuddin lagi seramai 23,955 rakyat Malaysia yang terkandas di 82 negara kerana wabak itu, telah dibawa pulang, sementara masih ada 10,159 yang lain, termasuk 9,270 pelajar tahun akhir, masih tersekat di luar negara.

Pada 13 Mac lalu, Jemaah Tabligh iaitu pertubuhan Muslim di India telah menganjurkan satu perhimpunan di New Delhi yang dihadiri ribuan peserta termasuk dari negara-negara Asia seperti Malaysia dan Indonesia, beberapa hari sebelum Ketua Menteri Delhi melarang sebarang perhimpunan lebih 50 orang bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, menurut laporan akhbar tempatan India Today.

Beratus-ratus orang enggan meninggalkan bangunan markas pertubuhan itu dan terkandas di dalamnya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara termasuk menggantung pengangkutan awam dan menyekat pergerakan yang tidak penting.

Susulan perintah berkurung itu, kira-kira 190 jemaah tabligh rakyat Malaysia telah ditahan pihak berkuasa India untuk dikuarantin, termasuk sekumpulan mereka yang cuba menaiki pesawat penerbangan ihsan kerajaan Malaysia untuk membawa rakyatnya yang terkandas oleh pihak imigresen.

Di Malaysia, Pertubuhan Jemaah Tabligh menjadi tumpuan berhubung jangkitan COVID-19 selepas satu himpunan besar-besaran yang diadakan di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir Februari menjadi punca kepada ratusan jangkitan di lebih enam buah negara.

Markas Jemaah Tabligh Malaysia terletak di Masjid Sri Petaling dan telah menganjurkan pelbagai program yang melibatkan peserta tempatan dan luar negara.

Kira-kira 1,500 warga asing dari 12 negara menghadiri perhimpunan itu dengan kebanyakan mereka didapati dijangkiti virus COVID-19 termasuk dari Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam, menurut laporan.


Lihat Laman Penuh