Menteri Pertahanan Baru Indonesia Lawat Malaysia Rapat Hubungan Ketenteraan

Ali Nufael
2019.11.14
Kuala Lumpur, Malaysia
191114-MY-ID-Defense1000.jpg Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto memberi tabik hormat kepada pegawal pertahanan sambil disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu semasa menunjungi Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, 14 Nov, 2019.
[AP]

Menteri Pertahanan Indonesia yang baru dilantik Prabowo Subianto mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, negara luar pertama yang dilawati selepas dipilih menganggotai kabinet di bawah pimpinan Presiden Jokowi pada Khamis.

Prabowo yang berada di Kuala Lumpur untuk lawatan dua hari bermula Khamis itu berkata, lawatannya ke Malaysia adalah susulan dari arahan Presiden Indonesia yang mahukan hubungan ketenteraan kedua-dua negara dapat dieratkan lagi.

“Hari ini kunjungan rasmi saya yang pertama sebagai Menhan(Menteri Pertahanan) dan negara pertama adalah Malaysia. Saya mendapat arahan dari Presiden [Jokowi] agar hubungan Malaysia-Indonesia dijaga dan dieratkan,” kata Prabowo dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu selepas pertemuan kedua-duanya di Kementerian Pertahanan di ibu negara Malaysia.

Beliau berkata, kunjungan pertamanya itu berjalan lancer kerana banyak pandangan dan pemikiran yang sama dapat dikongsikan dalam mencari bentuk kerjasama baru.

“Saya sangat optimis dalam melihat masa hadapan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara. Kami akan cari bentuk kerjasama baru… mungkin pertukaran pegawai atau pelajar.. mungkin juga kerjasama dalam bidang teknik industri pertahanan,” tambah Prabowo.

Selain itu, Menteri Pertahanan Indonesia itu juga berkata, kunjungannya ke Malaysia umpama seperti pulang ke kampung halaman kerana pernah bersekolah di Kuala Lumpur.

Antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam pertemuan tertutup itu ialah ancaman keselamatan bukan tradisional khususnya ancaman keganasan yang merupakan fokus utama kedua-dua negara.

Sebelum itu, Mohamad dalam sidang akhbar yang sama berkata Malaysia sentiasa komited dalam menjalinkan hubungan rapat dengan Indonesia sebagai negara jiran yang penting dan sahabat yang akrab.

“Malaysia amat gembira dengan jalinan diplomatik antara dua negara sejak 62 tahun lalu menjadi harmoni dan sangat istimewa dan juga berada pada tahap yang tinggi di semua peringkat,” kata Mohamad.

Bekas komando

Malaysia dan Indonesia sentiasa melakukan kerjasama dalam bidang pertahanan terutamanya di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang turut berkembang melalui Jawatankuasa Am Persempadanan yang telah ditubuhkan pada 1972.

Malaysia dan Indonesia turut terlibat dalam beberapa inisiatif keselamatan sub-rantau seperti Malacca Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang turut melibatkan Filipina.

Prabowo berusia 68 tahun adalah seorang bekas komando Tentera Indonesia dan jutawan, telah dilantik menjadi Menteri Pertahanan Indonesia pada 23 Oktober lepas yang membawa kejutan besar kepada rakyat negara itu kerana beliau merupakan saingan Jokowi semasa piliharaya lepas.

Hubungan Malaysia dan Indonesia dilihat makin kukuh selepas gabungan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad memenangi Pilihanraya Umum ke 14 tahun lepas.

Jokowi melakukan lawatan rasmi pertama ke Malaysia selepas memenangi Pilihanraya Umum Indonesia pada 8 Ogos sebagai lawatan balas kepada kunjungan Mahathir dua bulan sebelum itu.Mahathir turut hadir pada majlis perlantikan rasmi Jokowi sebagai Presiden Indonesia akhir bulan lepas membuktikan hubungan erat antara dua negara.

Kedua negara turut berkerjasama dalam menangani isu perdagangan komoditi kelapa sawit selepas berdepan dengan diskriminasi terhadap produk minyak sawit dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.

Indonesia dan Malaysia merupakan dua negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.