Follow us

Malaysia Lantik ISTAC Siasat Dakwaan Penindasan Terhadap Uyghur

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-12-30
E-mel
Komen
Share
Wanita Islam memegang poster semasa perhimpunan di luar Kedutaan China di Jakarta, 27 Disember, 2019.
Wanita Islam memegang poster semasa perhimpunan di luar Kedutaan China di Jakarta, 27 Disember, 2019.
[AP]

Malaysia telah melantik institut antarabangsa di sebuah universiti tempatan untuk meneliti laporan mengenai dakwaan bahawa berlaku pelanggaran hak asasi manusia oleh Beijing terhadap masyarakat Islam Uyghur di wilayah Xinjiang China, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Kerajaan memilih Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Kuala Lumpur untuk "mengkaji dan mengesahkan laporan berita mengenai penindasan yang dikatakan dibuat terhadap komuniti Uyghur di Xinjiang, China," lapor agensi berita rasmi Bernama memetik kenyataan Saifuddin.

Seorang pegawai Kementerian Luar yang tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media memberitahu BeritaBenar bahawa Saifuddin membuat kenyataan itu dalam satu majlis di Pahang, sebuah negeri di bahagian timur Semenanjung Malaysia.

"Malaysia bukan dalam senarai negara yang menyokong sahaja laporan yang disediakan kerajaan China dan pada masa sama, kita juga tidak berada dalam kumpulan negara yang mengkritik China secara terbuka. Ini kerana kita mahu pastikan kebenaran laporan yang kita baca dan terima," katanya seperti dilaporkan Bernama pada Ahad.

ISTAC ditempatkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah kampus yang ditubuhkan pada tahun 1980-an dengan matlamat menjadi pusat penyelidikan antarabangsa terkemuka dalam bidang pemikiran, budaya dan tamadun Islam, menurut laman web universiti itu. Malaysia bersama beberapa negara berpenduduk majoriti Islam lain, termasuk Arab Saudi, Mesir, Turki, Bangladesh dan Pakistan, adalah penaja bersama universiti itu semasa ia ditubuhkan.

Saifuddin juga berkata semasa pertemuannya dengan Menteri Luar China Wang Yi pada 12 Sept, beliau telah berjanji bahawa Malaysia "akan mengamalkan pendekatan bertamadun" berhubung kontroversi yang menyelubungi nasib masyarakat Uyghur, termasuk laporan bahawa Beijing mula memenjarakan sejumlah 1.8 juta orang Uyghur dan minoriti Islam lain di kem-kem tahanan di Xinjiang.

"Kita perlu mengesahkan perkara ini, termasuk pergerakan separatis Uyghur di wilayah Xinjiang, dan sama ada terdapat unsur-unsur keganasan dalam isu ini," kata menteri itu, menurut akhbar tempatan New Straits Times.

China mula memenjarakan masyarakat Uyghur pada April 2017 atas alasan bahawa anggota kumpulan minoriti Islam mempunyai pandangan "agama yang keras” dan idea-idea "politik yang salah."

Saifuddin mengeluarkan kenyataan itu selepas Duta China di Kuala Lumpur, Bai Tian, mengutuk protes pro-Uyghur yang berlangsung di luar pejabat kedutaan negara itu di ibu negara pada Selasa dan Jumaat. Beratus-ratus penunjuk perasaan membawa sepanduk dan poster mendesak kerajaan China agar "menghentikan pembunuhan etnik Uyghur."

"Kami tidak akan menerima tuduhan yang tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan yang berdasarkan kepalsuan," kata diplomat China itu pada Ahad.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dilihat mengambil pendirian yang lebih tegas serta berjanji tidak akan mengekstradisi orang Uyghur yang berlindung di Malaysia.

Meskipun Beijing pada asalnya menafikan kewujudan kem-kem tahanan itu, China kemudian cuba menukar perbincangan dengan menyifatkan fasiliti itu sebagai “sekolah berasrama penuh” yang menyediakan latihan vokasional kepada masyarakat Uyghur, tidak menggalakkan radikalisasi dan membantu melindungi negara itu daripada keganasan.

“Jika orang Uyghur melarikan diri ke Malaysia untuk mencari suaka, Malaysia tidak akan mengekstradisi mereka meskipun terdapat permintaan dari China,” kata beliau sambil menambah bahawa kerajaannya tidak akan mencampuri urusan dalaman China. “Mereka dibenarkan ke negara ketiga kerana mereka mempunyai kebimbangan yang berasas mengenai keselamatan mereka.”

Lihat Laman Penuh