Mahathir: Malaysia Diberi Tekanan Untuk Tutup Akaun Bank Rakyat Iran

Muzliza Mustafa & Ali Nufael
2019.10.30
Kuala Lumpur, Malaysia
191030-MY-Iran-Bank620.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bertemu dengan Presiden Iran Hassan Rouhani di New York, 26 Sept, 2018.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Malaysia mula menutup akaun bank warga dan syarikat Iran kerana "terdapat tekanan yang sangat kuat daripada pihak tertentu," kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Rabu susulan laporan bahawa sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran telah menyebabkan tindakan sedemikian diambil.

"Kita terpaksa melakukannya kerana jika tidak, mereka akan menutup bank kita di luar negara. Ini perbuatan buli oleh orang yang sangat berkuasa," kata Mahathir kepada pemberita di Putrajaya.

"Hubungan kita dengan Iran sangat baik tetapi kita menghadapi beberapa tekanan yang sangat kuat daripada pihak tertentu, yang mungkin anda boleh agak, dan ia amat sukar kerana kita menerima ancaman (berkaitan tindakan) menutup bank-bank kita di luar negara," kata Mahathir.

Perdana Menteri menjawab soalan berkaitan laporan agensi berita antarabangsa Reuters bahawa banyak akaun bank warga Iran di Malaysia telah ditutup.

Kebanyakan warga Iran telah dimaklumkan oleh Bank CIMB dan RHB bahawa akaun mereka akan ditutup. Walaupun pegawai bank tidak menyatakan alasan penutupan akaun mereka, beberapa warga Iran yang bercakap kepada Reuters berkata langkah itu ada kaitan dengan pengawasan ketat berikutan sekatan yang dikenakan oleh AS sejak tahun lepas.

Pegawai di kedua-dua bank tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen.

Institut Timur Tengah melaporkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 100,000 warga Iran yang tinggal di Malaysia sejak 2013.

Pada Ogos lalu, diplomat terkemuka Iran, Mohammad Javad Zarif, telah melawat Malaysia bagi mendapatkan sokongan dalam usahanya untuk mencabar sekatan ekonomi AS.

Hanya beberapa hari sebelum lawatan itu, Menteri Pertahanan Mohamed Sabu berkata Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan Iran dan negara-negara lain tentang kemungkinan menggunakan minyak sawit untuk membayar pembelian senjata kerana negara itu berusaha memperkukuh kemampuan pertahanannya.

Semasa mengenakan semula sekatan ke atas Iran pada November 2018, Jabatan Negara AS telah mengumumkan bahawa tindakan itu adalah yang paling keras pernah dikenakan terhadap Iran dan akan menjejaskan industri kritikal seperti tenaga, perkapalan, pembinaan kapal dan kewangan.

Langkah itu bertepatan dengan tindakan AS keluar daripada perjanjian nuklear 2015 yang menarik balik sekatan terhadap Iran sebagai pertukaran bagi kaedah yang bertujuan menghentikan negara tersebut daripada membeli bahan yang boleh digunakan untuk senjata nuklearnya.

Pada April, AS telah memberi tekanan kepada lima pelanggan terbesar Iran iaitu India, Jepun, Korea Selatan, Turki dan China - daripada membeli minyaknya.

Rakan kongsi perdagangan

Jumlah dagangan Malaysia-Iran dianggarkan bernilai hampir 2.5 bilion ringgit [AS$600 juta] dalam tempoh 10 bulan sehingga Januari 2019, menurut laporan media Iran pada Mac. Imbangan perdagangan adalah memihak kepada Iran, yang mengeksport cecair gas asli, besi bukan aloi/jongkong keluli serta bitumen, dan mengimport minyak sawit, jentera dan getah asli dari Malaysia.

Pada Mac, Setiausaha Rendah Negara bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan AS, Sigal Mandelker telah melawat Malaysia dan Singapura untuk memberi amaran berkaitan sebarang penglibatan dalam skim bagi sekatan yang dikenakan terhadap Iran.

"Adalah sangat penting bagi negara-negara ini melihat dengan jelas cara berbeza yang digunakan oleh rejim Iran untuk menipu komuniti antarabangsa berkaitan penghantaran minyak," katanya.

Jabatan Negara AS tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas kenyataan Mahathir pada Rabu atau laporan Reuters.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.