Menteri Luar Iran Bertemu Perdana Menteri Malaysia

Radzi Razak & Aminah Farid
2019.08.29
Kuala Lumpur, Malaysia
180929-MY-IR-diplomacy620.jpeg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kiri) bertemu dengan Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif di pejabatnya di Putrajaya, Malaysia, 29 Ogos 2019.
[Mahathir Mohamad/Twitter]

Utusan utama Iran, Mohammad Javad Zarif, mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, pada Khamis sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik beliau di Asia Timur bagi melepaskan Tehran daripada sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat.

Menteri Luar Iran itu mengadakan pertemuan sarapan pagi bersama-sama rakan sejawatannya Saifuddin Abdullah sebelum mengadakan perbincangan dengan Mahathir, yang mengkritik sekatan yang dikenakan Washington tahun lepas dengan menyasarkan industri tenaga, perbankan, logam dan perkapalan Iran.

Sekatan itu dikenakan selepas pentadbiran Trump mengarahkan Amerika Syarikat supaya menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015, yang memberikan penarikan sekatan terhadap Iran sebagai pertukaran bagi langkah-langkah yang bertujuan menghalang Tehran daripada mendapatkan bahan-bahan yang boleh digunakan untuk membina senjata nuklear.

Pada Mei, selepas Iran mengumumkan bahawa ia tidak akan mematuhi sebahagian daripada perjanjian nuklear tersebut, Amerika Syarikat menambah lagi sekatan dengan menyasarkan pula industri besi, keluli, aluminium dan tembaga.

Seorang pegawai di Pejabat Perdana Menteri berkata pertemuan dua jam Mahathir dan Zarif di ibu pejabat pentadbiran Malaysia, Putrajaya, antara lain menyentuh mengenai sekatan Amerika Syarikat itu serta isu-isu yang memberi kesan kepada dunia Islam.

Beliau tidak mengulas lanjut tetapi Zarif, yang telah mengunjungi China dan Jepun sebelum tiba di Malaysia, berkata perbincangan dengan para pegawai Malaysia adalah "baik dan mesra."

Pertemuan Zarif dengan Saifuddin melibatkan perbincangan bagi meluaskan hubungan dua hala serta lawatan Mahathir ke Iran tidak lama lagi. Tehran Times melaporkan pada bulan lalu bahawa Mahathir dijangka melawat negara Timur Tengah itu pada Oktober.

Kedua-dua menteri itu juga berbincang mengenai perkembangan terkini berkaitan perjanjian nuklear Iran dan isu-isu utama di rantau itu serta dunia Islam, kata sumber di Kementerian Luar yang enggan dikenali.

Rakan kongsi perdagangan


Jumlah dagangan Malaysia-Iran dianggarkan bernilai hampir AS$600 juta dalam tempoh 10 bulan sehingga Januari 2019, menurut laporan media Iran pada Mac. Imbangan perdagangan adalah memihak kepada Iran.

Iran terutamanya mengeksport gas asli, besi bukan aloi/jongkong keluli dan bitumen ke Malaysia dalam tempoh 10 bulan itu manakala ia mengimport minyak sawit, jentera dan getah asli.

Minggu ini, Menteri Pertahanan Malaysia Mohamed Sabu memberitahu Reuters bahawa perbincangan sedang dijalankan dengan Iran, antara negara-negara lain, mengenai kemungkinan menggunakan minyak sawit sebagai bayaran bagi senjata kerana negara Asia Tenggara itu dalam usaha menggantikan peralatan lama bagi meningkatkan keupayaan pertahanannya.

Pada Mac, Setiausaha Rendah Perbendaharaan bagi Risikan Keganasan dan Kewangan Amerika Syarikat, Sigal Mandelker, melawat Malaysia dan Singapura untuk memberi amaran berhubung penglibatan dalam sebarang skim bagi menghindari sekatan terhadap Iran.

"Negara-negara ini perlu melihat dari sudut penting berhubung cara berbeza yang digunakan oleh rejim Iran untuk menipu komuniti antarabangsa berkaitan dengan penghantaran minyak," kata beliau yang merujuk kepada perbincangannya di Singapura dan Malaysia.

Mahathir menuduh Amerika Syarikat melakukan provokasi berterusan terhadap Iran, yang katanya mungkin mendorong konflik sebenar berlaku di Timur Tengah.

"Saya fikir, sejauh yang saya dapat lihat, ia adalah Amerika Syarikat yang melakukan semua provokasi," kata Mahathir kepada CNBC, sambil memberitahu, "Pertama, mereka menarik diri daripada perjanjian [nuklear], dan kini mereka menghantar kapal perang ke Teluk [Parsi] dan melakukan perkara-perkara yang memprovokasi Iran. "

Mahathir membuat kenyataan itu semasa menghadiri sidang kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Bangkok.

Kunjungan ke Malaysia pada Khamis merupakan yang kedua bagi Zarif sebagai menteri luar negeri. Dua tahun lalu, beliau menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai nasib umat Islam Rohingya Myanmar.

James Chin, pakar geopolitik dari Universiti Tasmania, berkata beliau percaya Iran mengharapkan Mahathir  untuk "menyatakan sesuatu bagi menyokong perjuangan mereka menentang A.S."

"Saya tidak fikir lawatan itu akan membawa kepada apa-apa kejayaan kecuali aspek perhubungan awam bagi rakyat Iran untuk menunjukkan bahawa ada negara yang masih sanggup menjadi tuan rumah mereka," katanya.

Oh Ei Sun, pakar di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, pula berkata kunjungan delegasi Iran penting bagi Tehran kerana dua sebab.

"Pertama, Iran dikenakan sekatan besar-besaran oleh Amerika Syarikat, dan dengan menerima kunjungan Menteri Luar Iran, Dr Mahathir kembali menonjolkan antagonistic penentangan terhadap Amerika Syarikat seperti yang pernah dilakukannya semasa menjadi perdana menteri sebelum ini, untuk menunjukkan kebebasan Malaysia dalam hal ehwal luar negeri dan perpaduan dengan negara-negara membangun serta dunia Islam,"kata Oh kepada BeritaBenar.

"Dan kedua, Iran adalah rejim Syiah manakala umat Islam Malaysia kebanyakannya Sunni. Syiah secara rasminya dilihat sebagai kultus menyimpang. Jadi, Dr Mahathir menunjukkan perbezaan yang jelas antara keperluan dasar luar berbanding politik agama dalam negeri, "katanya.

Terdapat sekurang-kurangnya 100,000 ekspatriat Iran di Malaysia, mengikut angka 2013 dari Institut Timur Tengah. Rakyat Iran itu kebanyakannya Syiah Muslim dan walaupun dialu-alukan di Malaysia, mereka tidak dibenarkan menunjukkan amalan Syiah secara terbuka. Ia dianggap menyimpang kerana Islam di Malaysia diwakili oleh mazhab Sunni Shafi'i.

Zarif: AS lancarkan 'keganasan ekonomi'

Semasa lawatannya, Zarif juga menyampaikan ucapan pada forum anjuran  Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), sebuah badan pemikir Malaysia, mengenai keselamatan dan isu-isu lain yang mempengaruhi dunia Islam.

Dalam sesi setengah jam itu, Zarif mengingatkan bahawa kumpulan ekstremis Negara Islam tetap menjadi ancaman walaupun selepas ia gagal mempertahankan kubunya di Syria dan Iraq.

Selepas forum itu, Zarif mengulangi gesaannya bahawa Amerika Syarikat perlu mematuhi perjanjian nuklear 2015 jika mahu mengadakan perbincangan dengan Tehran.

"Amerika Syarikat terlibat dalam perang ekonomi dengan rakyat Iran dan tidak  mungkin kami berbincang dengan Amerika Syarikat kecuali mereka berhenti mengadakan perang dan terlibat dalam keganasan ekonomi terhadap rakyat Iran," katanya.

Awal minggu ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau akan bertemu Presiden Iran Hassan Rouhani dalam keadaan yang sepatutnya bagi menamatkan konfrontasi mengenai perjanjian nuclear itu, yang dirundingkan semasa di bawah pentadbiran Obama.

Rouhani menegaskan bahawa Iran tidak akan berbincang dengan Amerika Syarikat sehingga semua sekatan terhadap negara itu ditarik balik.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.