Follow us

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditahan SPRM

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-24
E-mel
Komen
Share
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia Irwan Siregar Abdullah tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 24 Oktober, 2018.
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia Irwan Siregar Abdullah tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 24 Oktober, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] menahan bekas Ketua Perbendaharaan Negara Mohd Irwan Siregar Abdullah atas tuduhan pecah amanah bersangkut penyelewengan dana kerajaan selepas beliau hadir di ibu pejabat badan pencegahan rasuah itu di Putrajaya pada Rabu.

“Ya, beliau [Mohd Irwan] telah ditahan dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk didakwa,” kata Azam Baki Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM dari bahagian operasi kepada BeritaBenar semasa dihubungi.

Mohd Irwan yang kini ditahan di lokap SPRM akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis untuk didakwa bersama-sama dengan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak atas kesalahan yang sama.

Difahamkan Irwan ditahan sejurus tiba pada 3.35 petang manakala Najib yang tiba pada 1.55 petang dibenarkan pulang selepas tiga jam diambil keterangan pada Rabu. Najib telah diminta hadir ke mahkamah pada Khamis untuk menghadapi pertuduhan.

SPRM turut mengeluarkan satu kenyataan media yang antara lain berkata “Kedua-duanya [Najib dan Mohd Irwan] akan dituduh secara bersama berhubung siasatan terhadap beberapa kes pecah amanah yang telah dilakukan oleh mereka melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia.”

“Mohd. Najib dan Mohd. Irwan Serigar akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018, jam 7.30 pagi untuk pertuduhan tersebut,” tambah kenyataan itu.

Gaji berjuta ringgit


Najib yang berhadapan dengan 32 pertuduhan sebelum ini, yang merangkumi pengubahan wang haram, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa akan berdepan dengan beberapa lagi pertuduhan baru pada Khamis.

Walaupun Mohd Irwan merupakan bekas pengerusi bukan eksekutif 1MDB, kenyataan SPRM yang dikeluarkan lewat Rabu itu, tidak langsung menyebut jika pertuduhan baru ini bersangkut dengan 1MDB.

Sepanjang perkhidmatannya dari 24 Ogos 2012 sehingga 13 Jun 2018, Irwan bekerja secara rapat dengan Najib kerana bekas perdana menteri itu turut memegang portfolio sebagai menteri kewangan.

Selepas kemenangan blok Pakatan Harapan, pada pilihan raya umum 14 Mei lepas, Mohd Irwan telah dipindah keluar dari Kementerian Kewangan. Kontraknya turut dipendekkan selepas diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa yang masih berkhidmat pada ketika itu.

Lim Guan Eng, Menteri Kewangan pada awal pagi Rabu memberitahu parlimen bahawa dalam tempoh 90 bulan perkhidmatan Mohd Irwan dengan kerajaan, dia menerima gaji sebanyak 2.94 juta ringgit (AS$ 705,702).

Ketika bekerja dengan kementerian, Mohd Irwan memegang sebanyak 23 jawatan tinggi di dalam Perbadanan Kementerian Kewangan, sebuah badan korporat milik kerajaan yang ditubuhkan pada 1957 untuk membantu kementerian memasuki kontrak, pembelian, pengambilalihan aset dan menguruskan aset negara.

Selain dari peranannnya dalam 1MDB, Mohd Irwan turut mempengerusi syarikat yang diberikan kepercayaan untuk membangunkan projek Bandar Malaysia yang baru-baru ini projeknya dibatalkan, termasuk projek keretapi berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang turut ditangguhkan kerajaan PH.

Irwan sebelum ini juga pernah terlibat dalam kontroversi apabila dia memberhentikan dana untuk program keusahawanan tajaan kerajaan selepas ketua program tersebut Nadira Yusoff meluahkan rasa kagumnya kepada Mahathir Mohamad dalam laman Facebook peribadi sebelum PRU ke 14.

Dalam cekupan skrin mesej perbualan dalam kumpulan “Malaysian Startup Ecosystem” di Whatsapp, Irwan mengecam Nadira dengan mengatakan statusnya dalam Facebook tidak bersesuaian kerana dia menerima imbuhan dari kerajaan yang ada pada waktu itu diketuai oleh Najib.

“Saya sangat kecewa. Jangan datang minta bantuan dari saya. Sesiapa yang anggap dia betul, tolong letak jawatan dalam kerajaan,” tulis Irwan dalam mesej perbualan kumpulan itu.

Nadira pada 13 Mei menerusi laman Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan selepas perbualan dalam kumpulan Whatsapp itu diviralkan.

Hasanah didakwa lagi

Dalam kes yang lain, Hasanah Abdul Hamid, bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri turut diarahkan oleh SPRM menghadirkan diri di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis untuk berhadapan dengan pendakwaan yang sama berkaitan penyelewengan dana kerajaan.

“SPRM turut mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa bekas Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Hasanah Ab Hamid berhubung isu pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM pada Rabu.

Pada 30 Ogos, SPRM berkata pihaknya telah menahan lapan individu yang merupakan kakitangan bahagian itu termasuk ketua pengarahnya berhubung siasatan ke atas penyelewengan wang berjumlah AS$12 juta (RM49 juta) yang dipercayai adalah dana pilihanraya.

Azam Baki semasa bercakap kepada media pada masa itu berkata, pihaknya telah menjumpai dana tersebut di beberapa lokasi termasuklah di dalam pejabat Perdana Menteri.

Hasanah yang ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun ekoran peralihan kuasa selepas  pilihanraya umum, bersama organisasi diterajui itu menerima kecaman hangat di media apabila menghantar sepucuk surat yang ditandatangani oleh beliau sendiri, dialamatkan kepada Pengarah Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang tular di media sosial.

Kandungan surat tersebut antara lain merayu dan meminta sokongan Pengarah CIA Gina Haspel untuk menyokong kepimpinan Najib Razak, yang disifatkan oleh Haniff Khatri, seorang pakar perundangan sebagai tindakan mengkianati negara dan sistem demokrasi berparlimen.

Ekoran itu, pada 31 Julai Hasanah bersama peguamnya telah membuat laporan polis berkenaan pendedahan surat itu yang dikatakan membongkar rahsia negara dan memporak-perandakan keselamatan pegawai-pegawai perisikan negara.

Lihat Laman Penuh