Kesempatan Cuti Semester Sertai IS

Oleh Hata Wahari
2015.07.23
150723-MY-IS620 Pasukan Petugas Khas Iraq menahan beberapa orang lelaki yang dipercayai anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam satu operasi di bandar Najaf. 22 Julai 2015
AFP

Polis Malaysia percaya pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Timur Tengah menggunakan kesempatan cuti semester untuk menyertai gerakan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan mendapati beberapa pelajar Malaysia yang berada di Timur Tengah mengambil kesempatan semasa cuti semester untuk menyertai IS serta berjihad ke Syria.

“Hasil siasatan Polis mendapati mereka menggunakan modus operandi yang pernah  digunakan oleh pelajar Malaysia di Pakistan sebelum ini, yang mengambil kesempatan untuk berjuang semasa cuti semester universiti dengan menyertai kegiatan Al-Qaeda di Afghanistan,” katanya kepada BeritaBenar baru-baru ini.

Beliau berkata, “Agak sukar untuk memantau kegiatan pelajar-pelajar di luar negara terutama mereka yang tidak berdaftar dengan pejabat Kedutaan Malaysia di negara-negara terbabit,”

Tidak berdaftar dengan Kedutaan

“Sesetengah pelajar kita yang berada di luar negara berdaftar dengan pihak kedutaan kita. Kumpulan ini mudah untuk kita pantau tetapi ada sebilangan lain tidak berdaftar, dan pergi atas pembiayaan ibu bapa atau persendirian, kumpulan ini kita tidak dapat kawal,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan dan soal siasat, polis mendapati kesemua mereka yang menyertai kumpulan militan IS tidak kira umur, latar belakang, pendidikan dan pekerjaan, dipengaruhi oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang telah diputar belit serta disalah tafsir bagi menarik mereka kea rah ideologi songsang kumpulan tersebut.

“Mereka berhubung dalam media sosial, mereka tidak kenal satu sama lain dan ideologi mereka berdasarkan salafi jihadi iaitu salafi yang hidup 300 tahun selepas kewafatan Nabi Muhamad S.A.W,’’ katanya semasa ditemui di pejabatnya di Bukit Aman.

Ayub berkata, kajian yang dijalankan oleh pihak polis mendapati media sosial masih menjadi medium utama kumpulan IS dalam merekrut anggota baru kumpulan itu serta  memperluaskan ideologi mereka.

Katanya , kumpulan IS bijak menggunakan teknologi terkini terutama laman sosial Facebook biarpun kegiatan mereka giat disekat oleh pihak berkuasa.

“Sasaran IS adalah terhadap orang muda yang mudah dipengaruhi. Mereka juga merupakan golongan yang paling ramai menggunakan media sosial ketika ini.

"Dalam konteks rakyat Malaysia yang baru hendak pergi atau telah berada di Syria serta baru menyertai kumpulan militan IS,  siasatan kami mendapati 95 peratus daripada mereka direkrut melalui media sosial.

Media Sosial medium utama

“Pihak polis sememangnya berdepan dengan kesukaran dalam mengawal serta menyekat pengaruh media sosial ini, kerana kumpulan militan IS mahir menggunakan teknologi terkini,” tambah beliau.

“Bila kita sekat laman sosial contohnya, Youtube, IS akan menggunakan alternatif lain. Mereka guna WeChat serta medium lain, atau menggunakan media sosial secara sulit untuk menyebarkan ideologi mereka,"

Penglibatan golongan remaja dan pelajar dengan IS semakin membimbangkan pihak berkuasa Malaysia. Dalam beberapa siri tangkapan yang dibuat sejak tahun lepas, remaja dan pelajar paling ramai tersenarai sebagai mereka yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kumpulan itu.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata seorang remaja berusia 14 tahun adalah antara 17 individu yang ditahan polis kerana cuba menyertai kumpulan militan IS.

Pada Febuari lalu, seorang gadis juga berusia 14 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum berlepas ke Syria, disyaki mahu menyertai kekasihnya yang juga merupakan seorang pengikut IS.

Manakala seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), 20, nekad melarikan diri ke Syria semata-mata mahu berkahwin dengan pejuang militant, bekas pemuzik era 90-an, yang dikenalinya melalui Facebook.

Kumpulan IS juga dipercayai memancing remaja dan pelajar dengan menjanjikan gaji bulanan sebanyak AS$2,000 (RM7,200) beserta penginapan dengan "polisi tidak boleh pulang" melainkan jika dibenarkan.

Ayub berkata. polis Malaysia sentiasa menjalinkan kerjasama rapat dengan Interpol, walaupun wujud kekangan dari segi keselamatan yang sekaligus menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk memasuki negara bergolak buat ketika ini.

"Interpol turut menghadapi kesukaran -  jika memasuki Syria dan Iraq, dua negara yang kini tengah bergolak, macam mana Interpol hendak menguatkuasakan peraturan undang-undang dan sebagainya,” keluhnya.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata sejumlah 66 individu dari Malaysia dilaporkan berada di Syria dan Iraq untuk menyertai kumpulan militan IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.