Enam Anggota Keselamatan Antara 10 Ditahan Terlibat IS
2015.08.20

Polis Malaysia pada Khamis menahan 10 warga tempatan termasuk dua wanita kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS) serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, kesemua 10 individu itu terdiri daripada enam orang anggota pasukan keselamatan, dua orang kakitangan kerajaan, seorang guru tadika dan seorang bekas pereka bentuk dalaman yang kesemuanya berusia antara 24 tahun dan 42 tahun.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi yang berjalan serentak di Kuala Lumpur, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Rabu.
“Kumpulan ini merancang untuk membeli senjata api bagi tujuan melancarkan serangan di Malaysia, membantu penyusupan masuk anggota IS yang kembali dari Syria dan merekrut orang ramai yang mahu menyertai kumpulan IS serta menyembunyikan maklumat berhubung dengan aktiviti IS di Malaysia.
"Kesemua mereka disyaki terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan pengganas IS, mengumpul dana dan mengatur pemergian rakyat Malaysia untuk menyertai IS di Syria,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat petang Khamis.
Pada 9 Julai lepas, polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria kerana berkomplot untuk melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang dan 12 lagi ditahan pada April lepas di Selangor kerana dipercayai merancang serangan di ibu negara Kuala Lumpur.
Setakat ini, Malaysia telah menahan seramai 111 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu, sejak Febuari 2013.
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada Jun lepas berkata, enam individu telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan polis.
“Sehingga kini, siasatan kita mendapati sejumlah 66 individu dari Malaysia dilaporkan berada di Syria dan Iraq. Mungkin jumlahnya lebih besar ..apa yang kita peroleh setakat ini adalah hasil daripada maklumat risikan," katanya.
Khalid menambah, kesemua suspek ditahan di bawah BAB VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).