Pegawal Keselamatan Didakwa Miliki Gambar, Video Kumpulan IS

Hata Wahari
2017.11.17
Kuala Lumpur
171117-my-IS-620.jpg Pengawal keselamatan Zefrul Hashim ketika ditahan oleh anggota anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] di Perak, 16 Mac 2017.
[Ihsan PDRM]

Seorang pengawal keselamatan yang berusia lewat 30-an didakwa dengan dua pertuduhan kerana memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) dan Abu Sayyaf termasuk memiliki lebih 200 gambar dan video kumpulan pengganas itu pada bulan Mac tahun ini.

Zefrul Hashim, 39, mengaku tidak bersalah kepada kedua-dua pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Azman Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, Zefrul didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS serta Abu Sayyaf dengan mendorong seorang individu yang dikenali sebagai  “Zahra Alisya” melalui perbualan menggunakan aplikasi laman sosial Facebook Messenger di mana beliau menggunakan akaun dibawah nama ”Abu Qaqa”.

Zefrul didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Perpaduan, Ulu Kinta, Perak, kira-kira 203 km [126 batu] dari Kuala Lumpur antara 18 Februari dan 9 Mac tahun ini.

Bagi pertuduhan itu, Zefrul didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan dihukum bawah subseksyen 130J(1) kanun sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan mana-mana harta yang digunakan dalam tersebut boleh dirampas.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh  didakwa memiliki 109 keping gambar dan 116 buah video berkaitan kumpulan pengganas di dalam telefon bimbit miliknya pada jam 3.50 petang, 6 Mac lalu.

Kejadian itu berlaku di tempat yang sama, dengan tertuduh ditangkap pada 16 Mac lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, Zaferul didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Subseksyen 130JB(1) kanun sama.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan barang tersebut boleh dilucut hak, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menghadapi pertuduhan dari Timbalan Pendakwa Raya Norfaida Mohd Rashidee yang mewakili pendakwaan.

Hakim Azman menetapkan 14 Disember ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini memberitahu ia sedia menerima semula 53 orang rakyatnya yang menyertai IS tetapi terkandas di Timur Tengah selepas kejatuhan khalifah diiktiraf oleh IS sendiri di bandar Raqqa, kata ketua polis negara itu kepada BeritaBenar pada 7 November lepas.

Malaysia juga akan membenarkan suspek militan itu, yang pasport mereka telah dibatalkan, untuk kembali tetapi dengan satu syarat, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

"Sekiranya mereka sanggup menyerah diri, beritahu kami, dan kami akan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan," kata Fuzi.

"Jika kami boleh bantu, kami akan bantu. Tugas kami ialah untuk membantu orang,” katanya.

Pada 23 Okt, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Parlimen bahawa 53 rakyat Malaysia bersembunyi di medan pertempuran Iraq dan Syria, selepas pihak tentera yang disokong Amerika Syarikat mengesan para pejuang IS dan merampas Raqqa, yang dikenali sebagai ibu negeri de fakto kumpulan ekstremis itu. Beliau berkata, 34 rakyat Malaysia juga telah terbunuh dalam pertempuran di kedua-dua negara tersebut.

Fuzi berkata 53 rakyat Malaysia itu – yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak - masih berada di Syria dan mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana pertempuran sengit berlaku. Pegawai-pegawai lain sebelum itu mendakwa bahawa rakyat Malaysia mungkin telah mendapatkan perlindungan di kem-kem di sempadan Jordan dan Turki.                                  
Dalam tempoh empat tahun ini, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 349 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuklah IS. Enam puluh enam daripada suspek tersebut telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman berkaitan IS sejak 2013, kata pegawai-pegawai keselamatan.

Bagaimanapun, serangan bom tangan yang dikaitkan dengan IS pada tahun lalu di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur, telah mencederakan lapan orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.