PBB: Perekrutan Pejuang Negara Islam dari Asia Tenggara Berpindah ke Afghanistan
2020.02.07
Jakarta & Kuala Lumpur
Polis Indonesia pada Jumaat berkata mereka kini mengawasi mana-mana rakyat negara itu yang merancang untuk menyertai cawangan Negara Islam (IS) di Afghanistan selepas para pegawai unit anti-keganasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa IS sedang memfokus kepada merekrut pejuang dari Asia Tenggara untuk operasinya di Afghanistan.
Jawatankuasa Anti-keganasan Majlis Keselamatan PBB, dalam satu laporan kepada badan dunia itu minggu lepas, berkata usaha Negara Islam untuk merekrut militan dari Asia Tenggara “dilaporkan telah memindahkan fokus mereka daripada berhijrah ke Iraq dan Republik Arab Syria kepada menyertai ISIL-K [Negara Islam di Iraq dan Levant di Afghanistan – iaitu Khorasan].”
“Polis telah lama menyedari perkara ini dan kami akan terus memantau mana-mana rakyat Indonesia yang mungkin cuba berhijrah ke Khorasan,” kata jurucakap polis nasional Asep Adi Saputra kepada BeritaBenar, merujuk kepada wilayah yang diisytihar IS di Afghanistan.
Di Kuala Lumpur, Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua sayap anti-keganasan polis negara, berkata pihaknya tidak menyaksikan sebarang trend baharu dalam kalangan militan di Malaysia yang berhasrat untuk berhijrah ke Afghanistan.
Beberapa dekad lalu, negara itu umpama magnet kepada puak pelampau Islam dari seluruh dunia, termasuk Asia Tenggara, yang telah berjuang dalam konflik lampau atau dilatih di sana oleh al-Qaeda.
“Kami tidak melihat sebarang perubahan dalam trend setakat ini yang membabitkan rakyat Malaysia. Kami akan terus memantau individu-individu yang dipercayai menyokong Negara Islam,” kata Ayob kepada BeritaBenar.
“ISIL-K tidak popular dalam kalangan pejuang rakyat Malaysia, Indonesia atau Filipina. Kebanyakan anggotanya berasal dari Pakistan, Afghanistan dan India,” katanya.
Laporan jawatankuasa PBB itu, yang diterbitkan pada 31 Jan, mengemas kini Majlis Keselamatan mengenai ancaman IS terhadap seluruh dunia selepas kubu terakhir kumpulan itu di Syria tumbang pada Mac 2019 dan pemimpin tertingginya, Abu Bakr al-Baghdadi, terbunuh semasa serbuan oleh Pasukan Khas AS pada Oktober lepas.
“Isu pejuang pengganas asing kekal akut, dengan negara anggota terus menilai bahawa antara separuh dan dua pertiga daripada lebih 40,000 orang yang telah menyertai khalifah itu masih hidup,” menurut laporan itu. “Ini dijangka memburukkan lagi ancaman ISIL secara global, dan mungkin [al-Qaeda] pada tahun-tahun akan datang.”
Meskipun terdapat pemindahan dari segi geografi dalam usaha perekrutan IS yang menyasarkan penduduk Asia Tenggara, “kumpulan-kumpulan yang bersekutu dengan ISIL khsusnya kekal sebagai ancaman yang berterusan dan semakin berkembang di rantau itu,” kata laporan itu, yang menggunakan nama singkatan lain bagi Negara Islam.
“Mereka yang kembali ke rantau itu dari Iraq dan Republik Arab Syria adalah paling berbahaya, kerana mereka mungkin meningkatkan keupayaan kumpulan itu dan menukar metodologi serangan,” tambah laporan itu.
Majoriti pejuang yang memasuki kawasan selatan Filipina yang bergolak adalah dari tempat lain di Asia Tenggara, katanya. Pada 2017, pejuang pro-IS telah menawan bandar Marawi di selatan Filipina selama lima bulan sehingga tentera kerajaan berjaya mengusir mereka dalam satu pertempuran yang turut memusnahkan bandar itu.
Selepas Negara Islam muncul pada 2014, beratus-ratus pejuang dan keluarga mereka dari Asia Tenggara telah meninggalkan negara asal masing-masing untuk menyertai IS.
Bagaimanapun, hampir setahun selepas pekan Baghuz di Syria - kubu terakhir IS di Timur Tengah – tumbang kepada pasukan Kurdish Syria, kerajaan Indonesia dan Malaysia masih bergelut dengan persoalan sama ada akan mengambil kembali rakyat mereka yang kini meringkuk dalam kem-kem di seluruh rantau itu susulan kekalahan IS. Sejak beberapa tahun lepas, bagaimanapun, hanya sejumlah kecil yang dibenarkan kembali ke tanah air.
Para pegawai Agensi Antikeganasan Nasional Indonesia (BNPT) dan tentera di Filipina menolak permintaan BeritaBenar untuk mengulas penemuan laporan PBB itu berhubung perekrutan pejuang di Asia Tenggara untuk ke cawangan IS di Afghanistan.
ISIL-K, yang ditubuhkan oleh bekas pejuang Taliban, mengumumkan pembentukannya dalam sebuah video secara online pada Januari 2015, kata pegawai PBB. Sejak itu, kumpulan tersebut telah melancarkan pengeboman serta serangan di Afghanistan dan Pakistan.
Wilayah Khorasan yang diwujudkan IS pada asalnya adalah terdiri dari India, Pakistan dan Afghanistan, kata Sidney Jones, pengarah Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC), sebuah badan pemikir Jakarta.
“Sebelum ini, nama Khorasan meliputi semua kawasan ini namun selepas Mei 2019, ia hanya merujuk kepada Afghanistan,” katanya.
Menurut seorang penyelidik di Institut Pembinaan Keamanan Antarabangsa di Jakarta, Thayep Malik, “sejak adanya pengganti Abu Bakr al-Baghdadi, belum ada sebarang pengumuman mengenai langkah untuk berpindah ke Khorasan.”
Meskipun begitu, terdapat segelintir militan Indonesia yang telah berhijrah ke Afghanistan, katanya.
“Mereka mungkin sedang meninjau kawasan yang selamat untuk dijadikan sebagai pangkalan mereka. Bagaimanapun, Taliban tidak akan berdiam diri kerana ia menganggap [IS] sebagai musuh,” katanya kepada BeritaBenar.
“Bukan mudah sebenarnya untuk menubuhkan sebuah pangkalan di Afghanistan sekali lagi kerana mereka bakal berdepan dengan Taliban.”