Seorang Lagi Didakwa Biayai Pejuang IS Di Syria

S. Adie Zul
2016.07.26
Pulau Pinang
160726-my-is-courtPG-620 Bukhori Che Noor dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang untuk menghadapi pertuduhan membiayai keganasan, 26 Julai 2016.
[S. Adie Zul/BeritaBenar]

Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth, di Pulau Pinang atas pertuduhan membiayai seorang pengganas kumpulan militan Negara Islam (IS) dari Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang kini berada di Syria dengan membenarkan akaun bank miliknya digunakan oleh pengganas itu.

Bukhori Che Noor, 34 tahun didakwa di mahkamah berkenaan atas pertuduhan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun Maybank miliknya bagi manfaat pengganas Muhammad Wandy dan kesalahan itu dilakukan di Maybank cawangan Jalan Chain Ferry, Butterworth, antara November 2015 hingga 30 Jun 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130Q( 1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda serta boleh dilucutkan pemilikan bagi mana-mana harta terlibat jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dari Bukhori, yang tampil di mahkamah memakai baju kemeja-T hitam dan berseluar jeans biru, di bawah kawalan ketat pasukan polis.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Noor Azrul Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Norashima Khalid menetapkan 29 Ogos depan bagi tarikh sebutan semula kes itu untuk proses memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Georgetown.

Mengikut statistik polis Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 222 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, 72 daripada mereka telah didakwa di mahkamah.

Individu kedua dari Pulau Pinang

Bukhori, yang latar belakang pekerjaan tidak didedahkan oleh pihak pendakwaan, menjadi individu kedua dari Pulau Pinang yang didakwa atas kesalahan terlibat dalam penyaluran dana kepada ahli kumpulan pengganas.

Pada 14 Jun lalu, seorang pemandu pelancong Lisoffuan Abdullah, 37, dihadapkan ke mahkamah Majistret Balik Pulau atas dakwaan mengendalikan dana bagi seorang rakyat Malaysia, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, yang juga ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf di selatan Filipina.  

Lisoffuan didakwa telah membenarkan akaun banknya digunakan untuk perkhidmatan kewangan membabitkan keluar masuk wang bagi manfaat Muhammad Joraimee.

Pada 15 Jun lepas, abang pejuang IS itu, Mohamed Danny Mohamed Jedi, 29, telah didakwa di Mahkamah Majistret Melaka kerana mengendalikan harta milik adiknya dengan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun Maybanknya di Ayer Keroh, antara 28 Januari hingga 5 Mac lepas.

Wanndy atau nama laman sosial facebooknya Abu Hamza Al-Fateh, serta seorang rakannya, Mohd Faris Anuar telah menjadi tajuk utama di tanah air apabila mereka dilaporkan mengambil bahagian dalam rakaman video yang memaparkan pemenggalan kepala seorang banduan Syria, yang telah disiarkan dalam talian.

Pada 28 Jun lalu, iaitu beberapa jam selepas serangan di kelab malam Movida di Puchong yang mengakibatkan lapan orang cedera, Wanndy melalui facebook Abu Hamza Al-Fateh telah memuat naik status di laman sosialnya itu dengan mendakwa anggota kumpulan pengganas IS di Malaysia, yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Dua suspek masih diburu

Sementara itu, agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan pada Selasa bahawa polis Malaysia sedang berusaha memburu dua warganya yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Puchong, dengan memperluas kawasan buruan ke selatan Thailand.

Agensi berita itu melaporkan, sumber pihak keselamatan Thailand di Sungai Golok berkata terdapat laporan kemungkinan kedua-dua suspek Md Saifuddin Muji, 28, dari Rengit, Johor dan Jasanizam Rosni, 33, dari Parit Raja, juga dari Johor, berada di selatan negara berkenaan.

Serangan pada hujung bulan lepas di pusat hiburan di Selangor itu telah mengakibatkan lapan orang cedera dan merupakan serangan bom pertama di Malaysia yang dikaitkan dengan anggota kumpulan militan IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.