IS: Pegawai Imigresen dan Pembantu Perubatan Antara Tujuh Yang Ditahan

Hata Wahari
2017.03.13
Kuala Lumpur
170313-my-imigresen-620.jpg Gambar dikaburkan oleh Polis DiRaja Malaysia menunjukkan pasukan Anti-keganasan membawa seorang pegawai imigresen yang ditahan di bandar Sandakan, Sabah, 9 Mac 2017.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Dua pegawai kerajaan Malaysia dan dua lagi warga Filipina adalah antara tujuh individu yang ditahan oleh Unit Anti-keganasan Malaysia kerana dipercayai ahli kumpulan Negara Islam, kata Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar pada Isnin.

Beliau berkata, penangkapan lima lelaki dan dua wanita itu dibuat dalam beberapa siri serbuan di Sabah dan Selangor selama lima hari mulai Rabu lepas.

“Dua orang pegawai - seorang pegawai imigresen yang bertugas di Sabah dan seorang lagi bekas pembantu perubatan sebuah hospital kerajaan di Jerantut, Pahang, ditahan dalam serbuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Empat lelaki dan dua wanita ditahan di Sabah selepas beberapa siri serbuan pada pertengahan Januari lepas. Negeri itu dijadikan hab transit mereka dari Asia Selatan dan Tenggara yang mahu menyertai IS  Filipina (ISP).

"Tiga daripada mereka adalah warga Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap di Malaysia manakala dua lagi adalah rakyat Filipina," tambah beliau dalam kenyataan media itu.

Suspek ketujuh adalah seorang lelaki yang merupakan bekas pembantu perubatan yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ahad, sekembalinya daripada Turki selepas ditahan pihak berkuasa negara itu kerana dipercayai mahu menyusup masuk ke Syria.

Walaupun Khalid tidak menamakan suspek, beliau berkata semua yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012.

Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 285 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut angka terkini daripada kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Pegawai Imigresen atur perjalanan militan

Khalid berkata, pegawai imigresen yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun itu, bertugas di Lapangan Terbang Sandakan, bandar pantai timur Sabah yang bersempadan dengan selatan Filipina didakwa mengatur perjalanan anggota IS dari Malaysia dan Indonesia yang menuju ke Selatan Filipina tanpa dokumen sah.

"Wanita itu bekerja sebagai pegawai yang memeriksa dokumen perjalanan di lapangan terbang berkenaan," katanya sambil menambah dia ditangkap pada 9 Mac lepas, “ tambah Khalid.

Tangkapan pada 8 Mac lalu melibatkan seorang warga Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap Malaysia berusia 27 tahun, kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada rakyat Malaysia yang menjadi buruan, Dr Mahmud Ahmad dan Mohamad Joraimee Awang Raimee.

Dr Mahmud, 37 tahun adalah bekas pensyarah mengenai perbandingan agama di Universiti Malaya, dan beliau merupakan  salah seorang daripada beberapa rakyat Malaysia yang kini beroperasi di selatan Filipina, menurut pakar keganasan Asia Tenggara Rohan Gunaratna.

Polis Malaysia pada Januari berkata, Dr Mahmud dan dua lagi rakyat Malaysia, iaitu anggota Darul Islam Sabah, Amin Bacho dan Joraimee Awang menyertai sel IS dengan merancang untuk menggunakan negeri timur Sabah sebagai transit untuk menghantar anggota IS ke Filipina. Sel berkenaan mempunyai pangkalan di Marawi City, Mindanao, menurut pegawai-pegawai Malaysia

Manakala seorang lelaki rakyat Filipina berusia 18 tahun merupakan anggota IS yang telah berbai’ah dengan Isnilon Hapilon, seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Basilan yang juga adalah Amir bagi IS di selatan Filipina itu.

Isnilon, pemimpin IS Filipina, dilaporkan cedera akibat operasi ketenteraan Filipina di Lanao del Sur pada Januari lepas.

Penyeludupan militan Indonesia

Pada Khamis, pihak berkuasa Malaysia menahan dua lagi warga Filipina yang mempunyai status penduduk tetap Malaysia di Sandakan, kerana membantu dalam penyeludupan tiga militan rakyat Indonesia yang mahu ke selatan Filipina melalui Sabah, kata Khalid.

Beliau berkata, wanita berusia 53 tahun adalah penjual tiket feri manakala seorang lagi adalah buruh lelaki berusia 40 tahun.

"Sejak tahun lepas, kedua-duanya disyaki telah membantu dalam penyeludupan tiga militan Indonesia ke Selatan Filipina," tambah beliau.

Khalid berkata, seorang lelaki warga Filipina, yang bekerja sebagai mekanik kereta ditahan di Sandakan kerana merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai IS di negara itu.

Bekas pembantu perubatan dari Jerantut yang ditahan sekembalinya daripada Turki pada Ahad, disyaki berlepas ke Istanbul pada Oktober lalu dengan merancang untuk menyusup masuk ke Syria.

Beliau yang mendapat bantuan seorang anggota IS yang dikenali sebagai Abu Fateh, berasal dari Sulawesi, Indonesia, bagaimanapun, ditahan oleh pihak berkuasa Turki bersama beberapa anggota kumpulan IS warga Indonesia dan dihantar pulang.

Anis Natasha turut menyumbang kepada laporan ini.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.