Guru Kaunseling Tidak Bersalah Dalam Kaitan Dengan IS: Peguam

Muzliza Mustafa & S. Adie Zulkifli
2016.11.01
Kuala Lumpur & Penang
161101-MY-counselor-1000.jpg Pegawai dari unit anti-keganasan menahan seorang guru kaunseling di rumahnya di Kedah, 28 Sept, 2016.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Seorang peguam mempertahankan seorang guru kaunseling sebuah sekolah di Kedah yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dengan berkata anak guamnya tidak bersalah.

Guru kaunseling berusia 30 tahun yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Kulim ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam beberapa siri serbuan di enam buah negeri dimana seramai 16 individu yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti keganasan ditangkap pada lewat September dan awal Oktober.

Empat belas daripada 16 yang ditahan itu terdiri daripada anggota kumpulan yang dikenali sebagai Gagak Hitam, diketuai oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang pejuang IS yang berpangkalan di Syria, kata polis.

Sumber yang rapat dengan siasatan tersebut mendakwa yang guru kaunseling itu mengetuai rangkaian Gagak Hitam di Malaysia dan menghantar wang kepada Wanndy di Syria, sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali.

Wanndy dipercayai merancang serangan bom tangan yang didakwa dilakukan oleh IS sehingga menyebabkan lapan pelanggan kelab malam di Kuala Lumpur itu cedera pada Jun lepas, kata polis.

Guru kaunseling itu ditahan pada September 28 lepas, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, dan masih berada dalam tahanan pihak berkuasa.

Pada 25 Okt lepas, beliau telah didakwa di Mahkamah Majistret Kulim, atas tuduhan memberikan sokongan kepada organisasi pengganas serta memiliki barang yang berkaitan dengan kumpulan berkenaan, kata peguam Fadhly Yaacob. Kertas tuduhan tidak menyatakan apakah antara barang yang dirampas.

Fadhly memberitahu BeritaBenar anak guamnya mengaku tidak bersalah. "Saya akan mempertahankan anak guam saya dan memainkan peranan saya sebagai peguamnya. Bagi saya, beliau tidak bersalah seperti didakwa."

Penangkapan itu mengejutkan anggota keluarga lelaki yang popular di kalangan murid-murid dan rakannya di sekolah menengah di Kulim itu, kata peguamnya.

"Penahanannya telah memberi kesan terhadap keluarga beliau. Mereka tidak percaya bahawa dia terlibat dalam aktiviti [ini], " kata Fadhly sambil menggambarkan anak guamnya sebagai seorang lelaki yang beriman lagi baik hati.

Bagaimanapun, peguam itu enggan memberi kebenaran kepada BeritaBenar untuk bertemu bual dengan keluarga beliau sambil memaklumkan itu adalah hak peguam dan pelanggan.

Tertuduh biayai aktiviti IS: sumber


Menurut sumber yang rapat dengan penyiasatan itu, guru berkenaan mula berhubung buat pertama kalinya dengan Wanndy pada Januari 2015, iaitu apabila Wanndy berkongsi berita mengenai peristiwa yang berlaku di Syria.

"Dia hanya mula membayar 'infaq' (perkataan Arab yang bermakna, membuat sedekah secara sukarela untuk mendapat keberkatan daripada Allah) pada bulan Mac – iaitu sebanyak tiga kali - kepada Wanndy dan kepada beberapa orang lain melalui orang tengah tempatan," kata sumber itu kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Adalah dipercayai bahawa wang yang dihantar itu bertujuan membiayai aktiviti IS, tambah  sumber itu

"Setakat ini, siasatan telah menunjukkan bahawa peranannya hanya untuk menyalurkan dana kepada IS. Tidak ada sebarang bukti bahawa dia telah melatih sesiapa atau pelajar sekolah untuk menyertai IS, "kata sumber itu yang enggan mendedahkan jumlah wang yang telah dihantar ke luar negara.

Sumber itu juga mendakwa bahawa guru kaunseling itu mengikuti akaun Facebook milik beberapa pejuang Malaysia di Syria, dan dia telah berjanji taat setianya kepada pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi.

‘Seorang orang terdedah’

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri Kedah, guru kaunseling itu mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih.

"Kami berasa amat sedih dengan penangkapan itu, yang juga merupakan yang pertama di Kedah. Jabatan Pendidikan Negeri telah mengeluarkan arahan yang jelas sebelum ini kepada semua guru untuk menjauhkan diri daripada apa saja aktiviti yang berkaitan dengan IS," kata Tajul Urus Mat Zain kepada BeritaBenar.

"Bagaimanapun, kami juga perlu mengakui bahawa agak mustahil bagi pihak berkuasa sekolah untuk memantau setiap pergerakan guru-guru di luar waktu kerja mereka. Kami mengesyaki bahawa guru itu telah bersimpati dengan ideologi pelampau melalui hubungan dengan ahli militan di Internet, "katanya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihak berkuasa Malaysia telah memberi amaran bahawa negara itu sedang menghadapi ancaman daripada IS yang berusaha merekrut belia tempatan untuk menjadi anggotanya melalui media social; serta ancaman daripada warga Malaysia, anggota IS, yang kembali dari medan pertempuran di Timur Tengah, yang berkomplot untuk melancarkan serangan di negara sendiri.

Menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat, kira-kira 1,000 orang dari Malaysia dan tempat lain di Asia Tenggara telah menyertai IS di Syria dan Iraq pada akhir tahun lepas. Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS dengan sekurang-kurangnya 75 lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu telah di dakwa di mahkamah.

"Semua orang terdedah kerana IS mempunyai propaganda yang kuat dan telah menembusi media yang membawa keuntungan kepada mereka," Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia memberitahu BeritaBenar baru-baru ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.