Pemulihan Ubah Kehidupan, kata Bekas Pemimpin IS Malaysia
2019.10.01
Kuala Lumpur, Malaysia
Seorang lelaki Malaysia berusia 36 tahun berkata beliau sudah bersedia untuk mati bagi organisasi militan Negara Islam [IS] – tetapi itu sebelum beliau ditangkap pada Februari 2016 dan seterus menjalani pemulihan akidah.
Lelaki itu memberitahu pemberita pada Selasa bahawa beliau mentadbir 13 kumpulan sembang di WhatsApp dan Telegram dan telah merekrut 50 individu untuk menjadi ahli kumpulan pelampau Negara Islam. Pegawai Penjara Malaysia tidak membenarkan pemberita yang menemubual lelaki tersebut untuk menggunakan nama sebenar kerana hubungannya dengan IS.
"Ya, saya mahu mati untuk IS tetapi terima kasih kepada Tuhan, saya tidak sampai ke peringkat itu," katanya.
Lelaki itu merupakan sebahagian daripada anggota kumpulan IS di Malaysia yang telah disabitkan dengan kesalahan serta dihukum penjara selama dua tahun pada April 2016 termasuk perlu menjalani program pemulihan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2002 kerana terlibat dalam kegiatan IS. Pertuduhan terhadapnya dibuat kerana beliau telah merekrut dan menyebarkan propaganda serta membantu mengumpulkan dana kepada mereka yang mahu ke Syria dan Iraq untuk menyertai pejuang IS yang lain.
"Bagi saya, program pemulihan itu berkesan. Siapa sangka mereka akan dapat mengubah ideologi saya, tetapi mereka akhirnya berjaya," kata bekas anggota IS itu kepada pemberita selepas pelancaran bengkel mencegah dan mengatasi ekstremisme keganasan di Penjara Kajang, Selangor yang berlangsung selama tiga hari.
"Sekiranya anda bertanya kepada saya pada peringkat awal saya ditahan dan dipenjarakan, saya akan membuang fasilitator dan orang-orang yang bekerja dalam program pemulihan ini, kerana ketidakupayaan mereka untuk menentang hujah saya," tambahnya.
"Tetapi sesi dengan tokoh agama, penceramah yang mereka bawa kadang-kadang setiap minggu, dua minggu atau bulanan bergantung kepada ketersediaan individu, membantu saya memahami agama dengan lebih baik."
Lelaki itu berkata beliau terlibat dengan IS pada ketika beliau ingin mempelajari lebih lanjut tentang Islam.
"Tidak ada masalah di rumah, hidup saya baik-baik saja. Tetapi pada masa itu, saya sedang mencari ajaran Islam yang benar dan setiap hari saya melihat video ketidakadilan yang dilakukan terhadap rakan-rakan Islam di luar negara di Facebook dan membaca bahan-bahan yang membuat saya marah," katanya.
"Saya tidak hanya boleh berdiri dan bercakap tentang ketidakadilan. Saya merasakan bahawa saya bertanggungjawab untuk membantu saudara-saudara Muslim saya," katanya.
Bengkel itu dihadiri pegawai dari Jabatan Agama Islam, Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia.
Lelaki itu berkata beliau menjadi peneraju sel IS dan menubuhkan Generasi Al Qubro, sebuah kumpulan Telegram yang ditugaskan untuk merekrut anggota IS dan mengumpul dana untuk membantu mereka yang ingin melakukan perjalanan ke Syria. Kumpulan itu mengumpul 15 ribu ringgit (AS$3,577) dalam tempoh tiga bulan, katanya.
"Selepas saya mewujudkan kumpulan saya sendiri, saya akan melepaskan kepada yang lain dan meletakkan semua tumpuan saya menjadi satu. Saya menamakan kumpula Generasi Al-Qubro sempena mengambil nama Al-Malhama Al-Kubra, pertempuran besar yang berlaku pada akhir zaman antara orang Islam dan kafir. Dan generasi bagi mereka yang berada dalam kumpulan dan bersedia untuk berperang," katanya.
Sejak dibebaskan daripada penjara pada April 2018, bekas perekrut IS itu telah membantu pegawai penjara Malaysia dan pihak berkuasa lain untuk menyebarkan kesedaran melalui forum dan wawancara.
"Ini adalah lebih kepada menebus diri saya dengan berkongsi apa yang berlaku kepada saya dan apa yang telah saya lakukan pada masa lalu, supaya orang lain tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda IS," katanya.
Pemulihan bermula pada hari pertama
Pemulihan dan integrasi ke dalam komuniti penghuni radikal bermula pada hari mereka melaporkan diri ke penjara dan seterusnya sehingga mereka bebas, kata Zulkifli Omar, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia.
"Semua tahanan harus mengikuti program pembangunan manusia yang dikendalikan oleh pegawai penjara yang terlatih," kata Zulkifli.
Malaysia mempunyai 116 tahanan radikal bersama-sama dengan 2,000 yang disenaraikan sebagai tahanan berisiko tinggi di antara 72,000 banduan yang menjalani hukuman mereka di 53 buah penjara di seluruh negara, menurut statistik penjara Malaysia yang dikeluarkan Selasa.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Zainal Abidin Abu Hassan berkata bengkel tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk membangunkan Rancangan Tindakan Negara dalam Mencegah Keganasan Extremism.
"Program ini melibatkan banyak pihak dan ini menunjukkan kerjasama penting dalam mengawal, mengurus dan memulihkan, terutamanya dari segi deradikalisasi dan juga menubuhkan anti naratif yang berkaitan dengan ekstremisme dan radikalisme," katanya.