Follow us

Malaysia Dakwa Dua Lelaki Diusir Dari Syria

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Sepang, Malaysia
2019-12-17
E-mel
Komen
Share
Anggota polis Malaysia mengiringi Ahmad Naim Zaid (berbaju kelabu) dan Mohd Azmer Ramlan beredar keluar dari kamar mahkamah di Sepang, Malaysia, 17 Disember 2019.
Anggota polis Malaysia mengiringi Ahmad Naim Zaid (berbaju kelabu) dan Mohd Azmer Ramlan beredar keluar dari kamar mahkamah di Sepang, Malaysia, 17 Disember 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Sebuah mahkamah Malaysia pada Selasa mendakwa dua lelaki yang diusir dari Syria bulan lepas, dengan pertuduhan pergi ke negara asing bagi tujuan melakukan perbuatan keganasan.

Mohamad Azmer Ramlan, 40, dan Ahmad Naim Zaid, 34, didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Sepang yang terletak di pinggir Kuala Lumpur - dua tahun selepas mereka ditangkap dan ditahan oleh angkatan bersenjata yang disokong Amerika Syarikat ketika bertempur dengan pasukan Negara Islam (IS) di Timur Tengah pada masa itu.

Para pegawai anti-pengganas Malaysia menahan Mohamad Azmer dan Ahmad Naim pada 22 Nov sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kedua-duanya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Malaysia atau SOSMA, undang-undang yang diperkenalkan oleh negara yang mempunyai majoriti Muslim itu pada 2012 bagi memerangi kegiatan militan dan ancaman keselamatan.

Menurut sumber keselamatan Malaysia berpangkat tinggi, Mohamad Azmer merupakan lulusan ijazah sarjana dalam jurusan kejuruteraan dari University of Oxford manakala Ahmad Naim adalah bekas penuntut ijazah doktor falsafah di Universiti Malaya.

Pendakwa raya mendakwa kedua-dua lelaki itu mengikut Kanun Keseksaan. Kedua-dua tertuduh, jika disabitkan kesalahan, berdepan dengan hukuman penjara 30 tahun dan sejumlah besar denda.

"Pada 11 Mac 2015, anda meninggalkan Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di daerah Sepang, Selangor untuk pergi ke Syria dengan niat melakukan perbuatan keganasan. Oleh kerana itu, anda telah melakukan kesalahan," menurut kertas pertuduhan itu yang merujuk kepada Ahmad Naim, tanpa butiran lanjut.

Menurut pendakwa raya Mohamad Azmer juga melakukan kesalahan sama ketika dia pergi ke Syria pada Julai 2014.

Kedua-duanya merupakan rakyat Malaysia pertama yang dihantar pulang sejak pasukan tentera Turki menyeberangi masuk sempadan Syria pada Oktober dan melancarkan serangan terhadap para pejuang Kurdish yang disokong Amerika Syarikat dengan menawan apa yang dikatakan sebagai kubu khalifah terakhir umat Islam di negara itu pada awal tahun ini.

Mohamad Azmer berkahwin dengan wanita Syria dan mempunyai seorang anak, kata sumber berpangkat tinggi kepada BeritaBenar. Dia dihantar pulang ke Malaysia manakala isteri dan anaknya dipercayai masih berada di kem pelarian Rojava di timur laut Syria, kata sumber itu.

Sumber itu, yang enggan namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media, juga memberitahu bahawa Ahmad Naim telah diusir bersama-sama dengan isteri dan dua anaknya yang juga rakyat Malaysia.

Isteri Ahmad Naim ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), menurut sumber itu.

Peguam bela Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya, Mohamad Azmer, berhasrat untuk mengaku bersalah. Beliau meminta hakim untuk mempercepatkan pemindahan kes itu ke Mahkamah Tinggi, yang mempunyai bidang kuasa terakhir berhubunh kes tersebut.

"Tertuduh telah pergi ke Syria. Itulah inti pati pertuduhan,” kata Hamdan kepada Hakim Saifuakmal Mohd Said. "Tertuduh berhasrat untuk mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi."

Hamdan juga berkata Mohamad Azmer telah insaf semasa berada di Syria dan bertindak menyerah dirinya bersama-sama dengan isterinya yang berketurunan Kurdish-Arab dan anak lelaki mereka kepada pihak berkuasa tempatan pada dua tahun lalu. Mohamad Azmer dipenjarakan manakala isteri dan anaknya dihantar ke kem pelarian, kata peguam itu.

Untuk membuktikan bahawa anak guamnya sudah lama insaf ketika berada dalam tahanan penjara, Hamdan membaca surat yang dikatakannya ditulis oleh Mohamad Azmer kepada Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IRCRC) dan kepada bapanya bagi menjelaskan keadaannya dan meminta bantuan supaya dihantar pulang ke tanah airnya.

"Jelas sekali, tertuduh telah insaf dan amat berharap bahawa dia akan disatukan semula dengan isteri dan anaknya. Isterinya bukan pengganas, dia dihantar ke kem pelarian dan bukan penjara, "kata Hamdan.

Hakim Saifulakmal menolak permohonan ikat jamin Mohamad Azmer dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 10 Jan.

Di mahkamah berasingan, Ahmad Naim mengangguk ketika dia mendengar pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah. Dia memberitahu bahawa dia tidak diwakili peguam dan hakim menetapkan 20 Jan sebagai tarikh sebutan kes tersebut.

Mohamad Azmer dan Ahmad Naim ditangkap secara berasingan pada 2017 oleh Pasukan Demokrasi Syria serta ditahan di Penjara Shirkin di Qamishli, sebuah bandar terletak bersebelahan bandar Nusaybin di Turki, kata sumber kepada BeritaBenar.

Lebih 55,000 suspek militan dan anggota keluarga mereka ditahan dan dibawa ke pusat tahanan sejak IS tewas di wilayahnya, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kira-kira 11,000 anggota keluarga para pejuang dari hampir 50 negara sedang ditahan di khemah Al Hol di timur laut Syria dan berada "dalam keadaan yang sangat teruk," kata PBB.

Kira-kira 50 orang tahanan itu yang berjuang untuk IS adalah rakyat Malaysia, kata para pegawai.

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan 495 orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan kegiatan keganasan sejak 2013, menurut statistik kerajaan yang dihimpunkan oleh BeritaBenar. Berpuluh orang daripada mereka sudah dibebaskan namun, tiada jumlah sebenar yang dapat diperoleh.



Lihat Laman Penuh