Pekerja Restoran Didakwa Sekali Lagi Berkaitan Keganasan

Noah Lee & Ali Nufael
2019.10.25
Kuala Lumpur, Malaysia
191025-MY-IS-Supporter620.jpg Tertuduh Hafiz Othman, 42, diiringi keluar daripada bangunan mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, 25 Okt. 2019.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat menfailkan pertuduhan tambahan memiliki bahan propaganda pengganas terhadap seorang pekerja restoran yang ditahan di lapangan terbang semasa mahu berlepas ke Wilayah Sinar Mesir atas dakwaan dengan niat melakukan aktiviti keganasan.

Hafiz Othman, 42, yang berasal daripada Telok Intan, Perak pada Jumaat dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh atas kesalahan memiliki barangan propaganda keganasan kumpulan IS di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tujuh tahun jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan dibacakan terhadap Hafiz di hadapan Hakim Norashima Khalid kerana memiliki empat naskhah majalah Dabiq bertajuk Kembalinya Fitrah, The Flood (Banjir), dan Panggilan Untuk Hijrah, serta majalah Al Mustaqbal itu bertajuk The Last War (Malhamah al-Kubro).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Malim Nawar, Kampung Changkat Baru, Malim Nawar di Kampar, Perak pada jam 2.30 petang pada 18 Mei lalu.

Kesemua majalah berkenaan dirampas sehari selepas beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA].

Menurut Ketua Pengarah Bahagian Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM], Ayob Khan Mydin Pitchay semasa dihubungi BeritaBenar, Hafiz ditahan polis di KLIA semasa mahu berlepas ke Kaherah, pada 17 Mei lepas.

Pekerja restoran itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, atas tuduhan mahu ke Wilayah Sinai Mesir, melalui Kaherah dari Malaysia dengan niat melakukan aktiviti keganasan pada 30 Mei lepas.

Beliau telah dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 130 JA Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan dengan kesalahan seseorang itu boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun berserta denda.

Mesir telah bertempur dengan sekutu IS Wilayah Sinai dan beberapa kumpulan ekstremis lain di utara wilayah itu sejak 2011, dalam kempen yang semakin meningkat sejak Presiden Abdel Fattah al-Sisi memerintah negara itu selepas satu rampasan kuasa pada 2013.

Menurut kenyataan disediakan Polis, semasa prosiding pada Jumaat Hafiz hanya mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norashima, tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.

"Pertuduhan telah dibacakan dan tertuduh mengangguk faham akan pertuduhan tersebut. Tertuduh diwakili oleh peguam yang dilantik oleh ahli keluarga iaitu Firma Chambers of Naim Atiqah dari Shah Alam, Selangor,” demikian menurut kenyataan itu.

Pihak pendakwaan kerajaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Izhanuddin Alias, yang kemudian telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk memindahkan prosiding kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan dibenarkan oleh Hakim.

Difahamkan, tiada tawaran ikat jamin dibuat oleh pihak pendakwaan untuk tertuduh dalam kes tersebut.

Adik tahanan ISA

Sementara itu, menurut sumber yang namanya tidak boleh disiarkan berkata Hafiz merupakan adik kepada Alias Othman, yang didakwa menjadi anggota kumpulan Jemaah Islamiyah dan ditahan polis pada tahun 2000.

Alias telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga dibebaskan pada tahun 2006 bersama-sama lima yang lain di atas perintah Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, yang juga adalah Menteri Dalam Negeri.

Berdasarkan laporan akhbar tempatan, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Mohd Johari Baharom berkata bahawa keputusan membebaskan suspek pengganas itu dibuat setelah kerajaan berpuas hati bahawa mereka tidak lagi menjadi ancaman pada keselamatan negara.

ISA adalah undang-undang pencegahan Malaysia yang diwartakan kerajaan pada tahun 1960, sebelum ia dihapuskan oleh pentadbiran Putrajaya di bawah Perdana Menteri Najib Razak pada 2012.

Akta berkenaan dihapuskan kerana ia dikatakan sebagai undang-undang lapuk dan tidak menepati kehendak hak asasi manusia kerana membenarkan tahanan tanpa bicara dan tanpa dihadapkan ke mahkamah.

Ia kemudiannya digantikan dengan SOSMA yang memperuntukkan bahawa seseorang tahanan itu hanya boleh ditahan selama 24 jam sebelum dia perlu di bawa ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan lanjut, yang boleh mencecah sehingga maksimum 28 hari sebelum seseorang itu perlu dilepaskan atau didakwa di mahkamah.

SOSMA memperuntukkan hak tahanan diwakili peguam.

Menurut PDRM sehingga setakat ini, pihak polis telah merekodkan sebanyak 221 pertuduhan terhadap suspek yang terlibat dengan IS dan daripada jumlah itu, 196 kes didapati bersalah oleh mahkamah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.