Dua Rakyat Indonesia Antara Tiga Dihukum Penjara 10 Tahun Berkaitan Keganasan


2018.03.28
180326-MY-IS-620.jpg Anggota polis anti-keganasan Malaysia mengiringi Nor Azmi Zahyi keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana merancang untuk menyertai militan yang menyokong Negara Islam di selatan Filipina, 28 Mac 2018.
[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Sebuah mahkamah di Malaysia timur telah menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atas dua rakyat Indonesia dan seorang warga tempatan pada Rabu selepas mensabitkan mereka dengan kesalahan merancang untuk melakukan aktiviti keganasan di kawasan berhampiran selatan Filipina.

Rakyat Indonesia itu – Faisal (yang hanya menggunakan satu nama) dan Ali Misron – dihukum bersama-sama rakyat Malaysia, Nor Azmi Zahyi, selepas mereka mengaku bersalah di depan Hakim Ravinthran Paramaguru di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di negeri Sabah.

Faisal, 24, dan Nor Azmi, 49, ditahan pada 15 Jun tahun lepas di Sandakan, sebuah daerah tempatan yang menyediakan perkhidmatan feri ke selatan Filipina, kata pihak berkuasa sambil menambah bahawa Ali, 36, telah ditahan di Lapangan Terbang Sandakan kemudian pada petang hari yang sama.

Mereka didakwa di bawah kanun keseksaan Malaysia yang keras dan mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas setiap tertuduh, kata pihak pendakwaan.

Nor Azmi menukar pengakuannya pada Rabu selepas mengaku tidak bersalah sebelum ini, manakala kedua-dua rakyat Indonesia telah mengaku bersalah bulan lepas.

Pihak pendakwaan berkata ketiga-tiga tertuduh telah berkomunikasi menerusi Facebook untuk bertemu di sebuah masjid di pusat bandar Sandakan sebelum merancang untuk bertolak ke Tawi-Tawi, sebuah wilayah pulau di selatan Filipina.

Dari situ, mereka merancang untuk melakukan perjalanan ke utara dan berhubung dengan militan pro-IS yang sedang terlibat dalam pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan Filipina di bandar Marawi, kata penyiasat.

Laluan transit


Dalam bulan Februari, pihak berkuasa Malaysia berkata mereka telah mendedahkan pelan kumpulan ekstremis Abu Sayyaf untuk menubuhkan satu pangkalan di Sabah susulan penahanan 10 orang yang didakwa membantu suspek militan melakukan perjalanan ke pangkalan kumpulan itu di selatan Filipina.

Serpihan puak ASG yang diketuai Isnilon Hapilon, pemimpin IS yang diiktiraf di Filipina, telah mengepung Marawi selama lima bulan dan telah bertempur dengan pasukan keselamatan yang menyaksikan sejumlah 1,200 orang terbunuh, kebanyakannya anggota kumpulan militan, kata para pegawai Filipina.

Pihak berkuasa berkata mereka berjaya mendedahkan pelan itu selepas beberapa serbuan dilakukan di negeri Sabah, yang terletak di kepulauan Borneo, iaitu dari 25 Jan hingga 6 Feb.

Sabah telah lama menjadi laluan transit bagi militan asing, termasuk dari negara jiran Indonesia, kata ketua cawangan khas polis anti-keganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay, pada Januari.

“Jika mereka tidak transit dari Sabah, mereka boleh terus ke selatan Filipina dari negara asal mereka,” katanya. “Namun perjalanan adalah jauh jika melalui Laut Sulawesi, jadi lebih senang untuk transit dari Sabah.”

Para pegawai Malaysia mengumumkan hukuman ketiga-tiga tertuduh sehari selepas Menteri Luar Anifah Aman bertemu Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Sullivan di Washington. Semasa rundingan dua hala, mereka bersetuju untuk memperkukuh hubungan dalam bidang keselamatan utama susulan “ancaman yang semakin meningkat” oleh kumpulan ekstremis Negara Islam (IS), kata para pegawai Jabatan Negara AS.

“Ketika ISIS kehilangan wilayah yang dikuasai di Syria dan Iraq, ancaman ISIS telah berevolusi kerana veteran yang sering terlibat dalam pertempuran cuba kembali negara asal mereka atau meneruskan perjuangan di rantau lain,” termasuk Asia Tenggara, kata seorang jurucakap Jabatan Negara AS kepada BeritaBenar, merujuk kepada IS menggunakan nama lain.

Roni Toldanes di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.