Isa Samad bebas sembilan tuduhan rasuah RM13 juta

Mahkamah Rayuan terima rayuan bekas Pengerusi Felda tolak sabitan kesalahan terima suapan RM13 juta (AS$634,115) dalam pembelian hotel di Sarawak.
Ili Shazwani Ihsan
2024.03.06
Kuala Lumpur
Isa Samad bebas sembilan tuduhan rasuah RM13 juta Bekas Pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad ditemui media selepas Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan rasuah dan hukuman penjara terhadap beliau di Putrajaya, 6 Mac 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Rayuan Malaysia pada Rabu telah membatalkan sabitan rasuah dan hukuman penjara enam tahun yang dikenakan ke atas bekas pengerusi agensi pembangunan tanah Persekutuan dengan menyatakan bahawa pihak pendakwaan tidak menyediakan bukti kukuh yang boleh dipercayai selain mengubah pertuduhan terhadapnya pada pertengahan prosiding kes.

Mohd Isa Abdul Samad, 74, telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan pada 2021 kerana didakwa menerima suapan bagi pembelian sebuah hotel di Sarawak pada 2014, semasa beliau memegang jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), tetapi telah diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.

Panel tiga hakim diketuai Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa terdapat merit dalam rayuan yang dikemukakan Mohd Isa sekali gus mengenepikan sabitan kesalahan serta hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2021.

Dua lagi hakim yang turut bersidang adalah Ahmad Zaidi Ibrahim dan S.M Komathy Suppiah.

“Secara keseluruhannya, sabitan ke atas sembilan pertuduhan tersebut adalah tidak selamat.

“Kami mendapati ada merit, oleh yang demikian rayuan terhadap sabitan serta hukuman dalam semua pertuduhan adalah dibenarkan dan perintah Mahkamah Tinggi diketepikan.

“Perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Hakim Vazeer Alam.

Mohd Isa, ahli politik veteran Parti Pertubuhan Melayu Bersatu (UMNO) dilantik mengetuai Felda, agensi yang ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan pekebun Melayu di luar bandar, oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak pada 2011.

Dengan keputusan panel Hakim Mahkamah Rayuan itu, beliau yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Besar Negeri Sembilan terlepas daripada sembilan pertuduhan rasuah lebih RM3 juta (AS$ 634,115).

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Mohd Isa bersalah kerana menerima suapan wang tunai daripada Ikhwan Zaidel yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gagasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) melalui pegawai khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Bayaran itu sebagai upah bagi atas kapisitinya sebagai Pengerusi Felda, membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh pihak Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) yang bernilai RM160 juta (AS$33. 819 juta).

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan yang diarah berjalan serentak serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan iaitu RM15.45 juta (AS$ 3.27 juta) di mana sekiranya gagal dibayar dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan.

Tersalah arah

Keputusan yang dibuat pada Rabu oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya adalah setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk hakim perbicaraan yang didapati tersalah arah semasa memutuskan terdapat prima facie dalam kes itu sedangkan terdapat percanggahan antara keterangan saksi dan pertuduhan.

“Kami mendapati hakim perbicaraan telah tersalah arah dalam membuktikan prima facie berdasarkan bukti SP16 (Ikhwan) bahawa kebimbangan terhadap pengaruh perayu sebagai pengerusi dalam urusan kontrak pembelian (MPHS) merupakan alasan beliau memberikan rasuah tersebut.

“Sedangkan pertuduhan yang dikenakan menetapkan rasuah tersebut diberikan sebagai ganjaran atas bantuan perayu dalam mendapatkan kelulusan (FICSB) berhubung pembelian hotel itu,” ujar Vazeer Alam.

Tambahnya pihak pendakwa juga mengemukakan dua naratif berbeza di mana dalam pertuduhan dan kenyataan pembukaan, mereka menyatakan rasuah tersebut diberikan sebagai ganjaran hasil bantuan yang diberikan dalam pembelian MPHS.

“Kemudiannya semasa perbicaraan berlangsung, motif rasuah ditukar kepada dorongan supaya perayu tidak campur tangan dalam kontrak pembelian hotel berkenaan,” ulas Vazeer Alam.

Sehubungan itu, hakim berkenaan menjelaskan, menurut undang-undang yang mantap, perayu hendaklah diberikan notis sewajarnya mengenai pertuduhan yang dihadapi atau ia boleh memudaratkan pembelaannya.

“Apabila terdapat dua versi pendakwaan yang bercanggah berhubung motif pemberian rasuah, maka faedah kesangsian sepatutnya diberikan kepada tertuduh atau perayu,” tambah beliau.

Sudah jangka keputusan

Sementara itu, Mohd Isa yang pernah digantung jawatan dan keahliannya dalam UMNO selama dua penggal atau enam tahun pada 2004, apabila didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti itu semasa ditemui pemberita selepas prosiding rayuan pada Rabu itu memberitahu, pihaknya sudah menjangka keputusan tersebut sejak awal lagi.

“Saya menjangka ia tidak ada masalah tetapi biarlah proses itu berjalan dan kita terima apa sahaja keputusan dan hari ini, kita ucapkan terima kasih atas keputusan yang telah dibuat,” kata beliau.

Sementara itu, peguam perayu Sallehudin Saidin memaklumkan pihaknya bersedia meneruskan kes ini hingga peringkat yang terakhir sekiranya pendakwa raya memfailkan rayuan.

Jelasnya pihak hakim ada menyatakan terdapat saksi tidak mempunyai kredibiliti dalam memberikan keterangan terhadap Mohd Isa selain tiada keterangan yang jelas menunjukkan beliau telah menerima wang suapan seperti dalam pertuduhan.

“Bagaimanapun, kita ada satu lagi peringkat rayuan andai kata pihak pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan,” jelas beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.