IS Ancaman Nyata Yang Boleh Akibatkan Malapetaka Dunia
2015.10.26
Ancaman militan Negara Islam (IS) merupakan satu kenyataan, dan jika tidak dikendalikan dengan baik di Asia Tenggara, boleh mengakibatkan malapetaka terbesar di dunia, Menteri Pertahanan Malaysia, Hishamuddin Hussein berkata pada Isnin.
Sehubungan itu, katanya, isu berkaitan IS akan menjadi fokus utama semasa mesyuarat menteri-menteri pertahanan anggota negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan lapan rakan dialog pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus di Kuala Lumpur daripada 2 sehingga 5 Nov ini.
“Selaku pengerusi ADMM tahun ini, Malaysia mempunyai peranan yang amat penting dalam memastikan rantau Asia Tenggara terus stabil,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kuala Lumpur.
ADMM-Plus tahun ini merupakan mesyuarat pertama yang dihoskan oleh Malaysia bagi membolehkan ASEAN membincangkan dengan rakan dialognya mengenai cara mengukuhkan kerjasama keselamatan dan pertahanan untuk keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.
ASEAN yang kini dipengerusikan oleh Malaysia, terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala rakan dialognya ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan AS.
Pada Mei lepas, semasa di Singapura, Menteri Pertahanan Malaysia itu dilaporkan sebagai berkata kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) kini menimbulkan ancaman serius kepada Asia Tenggara.
“Tambah lagi dengan kumpulan militan lebih tua seperti Abu Sayyaf dan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro di Filipina berikrar setia kepada ISIS dan berusaha mewujudkan sebuah negara Islam di rantau ini,” katanya kepada panel Dialog Shangri-La seperti dilaporkan Straits Times.
Beliau berkata “Malaysia menjalinkan kerjasama erat dengan rakan-rakan ASEAN termasuk Brunei dan Indonesia untuk memastikan tempat operasi kumpulan-kumpulan ini tidak menjadi kawasan di mana mereka boleh mengisytiharkan seorang khalifah,”
Penganalisis keselamatan juga telah menyuarakan kebimbangan mereka di dailog tersebut dengan kira-kira 30 kumpulan militan di rantau itu yang telah berikrar taat setia kepada ISIS, dan sebahagian daripada mereka berada di kawasan yang sukar ditembusi pasukan keselamatan seperti Mindanao di Filipina dan Poso di Sulawesi, Indonesia.
Akhbar Singapura itu melaporkan kira-kira 200 rakyat Malaysia telah menyertai ISIS di Syria, dengan lebih 100 lagi ditangkap kerana mempunyai kaitan dengan ISIS.
Semasa dialog itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga melahirkan kebimbangannya dengan menyatakan kemungkinan ISIS menubuhkan pengkalan di suatu tempat di rantau ini, "di kawasan geografi yang mempunyai kawalan fizikal seperti di Syria dan Iraq ... di tempat yang jauh dari pusat kuasa kerajaan negeri, di mana kuasa kerajaan tiada peranannya ".
"Ada banyak juga tempat seperti itu di Asia Tenggara. Jika ISIS berbuat demikian, ia akan menimbulkan ancaman yang sangat serius kepada seluruh Asia Tenggara," katanya.
Dalam pada itu, Pakar kriminologi Malaysia, Akhbar Satar, mengakui Malaysia sememangnya berhadapan dengan ancaman IS, dengan penyokong kumpulan berkenaan bersedia untuk melancarkan serangan keatas pelbagai sasaran berkepentingan seperti pentadbiran dan kedutaan-kedutaan asing.
“Ancaman IS dapat dibuktikan dengan arahan yang diberikan oleh pemimpin kumpulan itu di Syria dan Iraq yang mahukan penyokong mereka melancarkan serangan seperti yang dimuatkan dalam majalah IS, Dabiq,” katanya kepada BeritaBenar baru-baru ini.
Beliau, yang juga Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), menjangkakan ancaman yang lebih besar apabila mereka yang bertempur di Syria dan Iraq kembali ke tanahair dengan latihan ketenteraan dan doktrin propaganda yang bercanggah daripada agama Islam yang sebenarnya.
Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.