Sulu: Kerajaan Malaysia akan lindungi aset negara, tidak kompromi isu kedaulatan

Malaysia tidak akan berkompromi mempertahankan hak dan kedaulatan negara dari segi undang-undang.
Noah Lee & Nisha David
2022.07.19
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Sulu: Kerajaan Malaysia akan lindungi aset negara, tidak kompromi isu kedaulatan Barisan teksi sedang menunggu untuk mengisi minyak di stesen minyak Petronas dengan berlatar belakang Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, 10 Februari, 2016.
[Olivia Harris/Reuters]

Perdana Menteri Malaysia pada Selasa memberikan jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan pimpinannya akan mempertahankan semua aset yang berada di luar negara, selepas syarikat gergasi petroleum milik negara, PETRONAS diserahkan notis rampasan aset terhadap dua firmanya di Azerbaijan dalam kes tuntutan pampasan oleh waris Kesultanan Sulu berkaitan negeri Sabah.

Ismail Sabri Yaakob memberitahu media bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara itu, serta akan berusaha melalui tindakan undang-undang untuk terus menentang tuntutan hampir AS$15 bilion yang dibuat oleh waris Kesultanan Sulu tersebut.

"Waris Kesultanan Sulu membawa kes tuntutan mereka ke mahkamah….(Jadi) kita akan melindungi semua harta kita di luar sana secara perundangan….

“Saya beri jaminan bahawa kita tidak akan berkompromi atau berganjak seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara…. Bukan aset Petronas sahaja tapi aset lain di luar negara, kita akan tengok,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara di Putrajaya pada Selasa.

Beliau menjawab satu pertanyaan daripada wartawan sama ada kerajaan bercadang untuk menggerakkan aset keselamatan negara bagi mempertahankan aset Malaysia daripada dirampas.

Ismail berkata pasukan khas yang ditubuhkan kerajaan untuk menangani tuntutan tersebut akan meneliti isu secara menyeluruh. Ini termasuk melihat risiko terhadap aset negara yang lain di luar negara.

Pada 12 Julai, agensi berita Financial Times melaporkan bahawa dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan, yang dikatakan bernilai AS$2 bilion, telah dirampas oleh bailif mahkamah yang menguatkuasakan satu perintah mahkamah Perancis berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Menurut laporan itu, waris Kesultanan Sulu telah memulakan proses timbang tara di Mahkamah Arbitrasi di Perancis sebagai tindak balas terhadap tindakan Malaysia yang berhenti membayar pajakan tahunan sebanyak RM5,300 (AS$1,190) sejak tahun 2013, dengan Putrajaya tidak mengambil bahagian semasa proses timbang tara itu berlangsung.

Malaysia bertindak menghentikan bayaran berkenaan susulan insiden pencerobohan negeri Sabah oleh kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina yang berlaku pada tahun 2013.

Petronas bagaimanapun menyatakan bahawa aset kedua-dua anak syarikatnya di Azerbaijan itu telah dilupuskan sebelum tindakan rampasan tersebut dan hasilnya telah dibawa pulang ke Malaysia.

Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula pada 13 Julai lalu pula memberitahu yang Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan 'Final Award' oleh penimbang tara Gonzalo Stampa.

non-state-actors’

Sementara itu, Panglima Tentera Laut Mohd Reza Mohd Sany yang merupakan salah seorang panelis dalam Persidangan Keselamatan Negara berkata Kesultanan Sulu merupakan salah satu ancaman dari 'non-state actors' ke atas kedaulatan Malaysia.

Kata beliau, ancaman terhadap kedaulatan negara wujud dalam pelbagai faktor, dan keupayaan tentera Malaysia telah diuji sebanyak tiga kali sejak berakhirnya Perang Dingin pada awal 1990an, termasuk ketika insiden pencerobohan di Sabah pada 2013, Konfrontasi oleh Indonesia pada 1963, dan semasa menangani Parti Komunis Malaya.

"Ancaman wujud dalam pelbagai bentuk termasuk ‘state actors’ seperti China, Singapura dan Indonesia, serta anasir non-state actors seperti Kesultanan Sulu dan kumpulan Abu Sayyaf.

Ancaman berbentuk tradisional dan bukan tradisional yang bertujuan mengintimidasi serta menganggu gugat kedaulatan negara oleh pihak yang berkepentingan," kata Mohd Reza.

Tambah pegawai tinggi tentera itu, isu pertindihan tuntutan wilayah maritim di Laut China Selatan yang berlarutan sejak 1980an juga merupakan satu bentuk ancaman yang jelas terhadap kedaulatan Malaysia.

"Saya tidak tahu macam mana hendak nyatakan, setakat hari ini ada enam negara meletakkan tuntutan termasuk China.

"Tindakan tegas dan assertive dan aktiviti di zon kelabu oleh China, kehadiran aset China, penambakan tanah, tindakan provokasi oleh aset mereka telah meningkatkan pergeseran antara negara yang menuntut (wilayah maritim di Laut China Selatan).

"Tindakan China menolak keputusan mahkamah arbitrasi sebagai tidak sah mengeruhkan lagi keadaan isu pertindihan wilayah," kata Mohd Reza.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.