UMNO Yang Dicemari Skandal Kembali Berkuasa Di Malaysia

Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri, Ahli Parlimen dari parti bertunjangkan etnik Melayu, UMNO, sebagai Perdana Menteri Ke-9, beberapa hari selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-08-20
Share
UMNO Yang Dicemari Skandal Kembali Berkuasa Di Malaysia Ismail Sabri Yaakob (tengah), akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 20 Ogos 2021.
[AFP]

KEMASKINI pada 3 petang waktu tempatan ETS - 2021-08-20

UMNO, parti politik Malaysia yang dicemari dengan rasuah dan tewas pada pilihan raya umum lalu berikutan skandal rasuah, kembali berkuasa tanpa perlu bertanding dalam pilihan raya umum apabila Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat melantik Ahli Parlimen parti itu, Ismail Sabri Yaakob, sebagai Perdana Menteri ke-9 negara itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah akan menyaksikan Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada Sabtu, demikian diumumkan pegawai Istana Negara, empat hari selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Istana Negara membuat pengumuman mengenai pelantikan itu selepas Yang di-Pertuan Agong mengadakan mesyuarat dengan sembilan Raja-raja Melayu di Malaysia pada Jumaat.

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, “Seri Paduka berkenan melantik Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9,” menurut kenyataan Istana Negara itu.

“Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa dengan pelantikan Perdana Menteri, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik itu,” menurut Istana Negara.

Selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong bertitah menolak pilihan raya umum diadakan berikutan penularan pandemik itu di Malaysia.

Bagi menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong memilih Ismail Sabri iaitu naib presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO yang bertunjangkan etnik Melayu – dengan pelantikan itu dilihat mengecewakan banyak pihak yang mendakwa bahawa pemimpin baru itu bersifat perkauman dan gagal menangani pandemik ketika berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan Muhyiddin.

Ismail Sabri telah dicalonkan oleh sejumlah majoriti Ahli Parlimen - 114 daripada 220 Ahli Parlimen – menurut kenyataan Istana Negara.

Perdana Menteri baru perlu segera mengusulkan undi percaya di Parlimen untuk membuktikan keabsahan sokongan majoriti Ahli Parlimen, demikian dititahkan Yang di-Pertuan Agong pada awal minggu ini. Parlimen dijadualkan mengadakan persidangan pada 6 September dan tidak diketahui sama ada sesi itu akan dilanjutkan.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong itu berbeza berbanding tahun lalu apabila baginda melantik Muhyiddin sebagai perdana Menteri dengan beliau tidak perlu melakukan usul undi percaya di Parlimen - yang kemudian dapat dielakkan oleh bekas perdana menteri itu selama 17 bulan yang penuh kontroversi semasa menerajui kerajaan Perikatan Nasional yang tidak dipilih.

Ismail Sabri merupakan ahli politik veteran yang baru-baru ini dipilih sebagai timbalan perdana menteri Muhyiddin dan menteri kanan yang bertanggungjawab menangani langkah-langkah membendung pandemik itu.

Kes-kes baru COVID-19 melonjak tinggi walaupun dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan seterusnya – dengan banyak pihak menganggapnya tidak cukup ketat - oleh kerajaan Muhyiddin pada Jun, dengan jangkitan harian merekodkan jumlah tertinggi pada Jumaat buat hari kedua berturut-turut. Malaysia mencatatkan 1.5 juta kes jangkitan virus itu setakat ini.

'Wain lama dalam botol lama yang sama'

UMNO kembali berkuasa tiga tahun selepas tewas dalam pilihan raya umum buat pertama kalinya dalam tempoh lebih 60 tahun. Parti itu disingkirkan daripada tampuk pemerintahan pada 2018 susulan gelombang kritikan hebat berikutan pembongkaran mengenai skandal kewangan yang melibatkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, dan penyelewengan berbilion dolar daripada 1MDB iaitu dana kewangan negara yang diasaskan beliau.

Namun, kali ini UMNO akan memerintah dengan majoriti tipis dan disokong oleh sejumlah Ahli Parlimen yang setia kepada Muhyiddin, yang kejatuhannya telah dirancang oleh parti itu.

Selain itu, semua Ahli Parlimen kecuali seorang yang menyokong Ismail Sabri adalah sebahagian daripada parti gabungan kerajaan Muhyiddin, yang kehilangan sokongan majoriti apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Harapan pimpinannya pada 4 Ogos lalu.

Muhyiddin berpaut pada kedudukannya itu selama 12 hari selepas kehilangan sokongan majoriti dan tidak mengendahkan desakan supaya diadakan segera usul undi percaya, yang dilaporkan turut digesa oleh Yang di-Pertuan Agong.

Setelah Muhyiddin akhirnya melepaskan jawatannya awal minggu ini, UMNO mengumpulkan sokongan untuk calonnya, Ismail Sabri, seperti yang dilakukan oleh kerajaan gabungan sebelum ini pada Mac 2020.

Tunku Mohar Tunku Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpendapat keadaan itu tiada bezanya dengan kerajaan sebelum ini.

"Kerajaan ini tiada bezanya dengan kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti. Ia umpama pepatah wain lama dalam botol yang baru,” kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

Sama seperti kerajaan pimpinan Muhyiddin, kerajaan baru ini juga tidak dipilih oleh rakyat Malaysia.

Selepas kekalahannya pada pilihan raya umum 2018, UMNO berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan setelah Pakatan Harapan yang menewaskannya tumbang pada Februari 2020. Kini, gabungan parti Muhyiddin memberi sokongan kepada UMNO.

Namun, ramai yang bersuara dalam media sosial bahawa mereka sekali lagi dibebani dengan kerajaan yang tidak dipilih oleh rakyat Malaysia.

"Kerajaan yang dibubarkan akibat ketidakcekapan mereka sendiri, kini dijadikan kerajaan sekali lagi," menurut catatan Twitter @ MrFaizAhmad.

Dan @Gobinat Murugayah menarik perhatian kepada pepatah "wain lama" dalam catatan Twitter beliau: "Ini seperti wain lama yang sama dalam botol lama yang sama, cuma labelnya sahaja ditukar. Rasanya pastilah sama. "

Apa yang bakal berlaku kepada perbicaraan 1MDB?

Sementara itu, ramai yang membangkitkan persoalan mengenai perbicaraan kes 1MDB berikutan kembalinya UMNO ke tampuk kuasa.

Bekas perdana Menteri Najib telah disabitkan bagi kes pertama dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun tetapi beliau kini menunggu keputusan rayuannya terhadap sabitan itu. Beliau turut didakwa bagi kes kedua yang berkaitan dengan 1MDB namun, perbicaraan itu masih belum bermula. Selain itu, rakan-rakan yang bersekutu dengannya juga menghadapi kes mahkamah.

Dalam kes berasingan, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sedang dibicarakan bagi 47 pertuduhan rasuah yang melibatkan jutaan ringgit.

Penganalisis Oh Ei Sun yakin kes rasuah tersebut boleh tergugat apabila UMNO kembali berkuasa.

"…akan ada beberapa perjanjian, antara Ismail Sabri dan ... UMNO," kata Oh kepada BenarNews.

"Ada pelbagai cara yang membolehkan mereka "melengahkan" dan mengurangkan pendakwaan itu tanpa menggugurkan pertuduhan secara terang-terangan... Mereka juga boleh menarik balik pertuduhan tersebut, mereka boleh berbuat demikian, tetapi ia tidak wajar dilakukan, bukan? "

Dakwaan perkauman terhadap Ismail Sabri

Ada juga pihak yang bukan sahaja khuatir mengenai UMNO malah bimbang dengan Ismail juga.

Satu petisyen bertajuk "Kami tidak mahu Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri Malaysia" di Change.org telah menghimpunkan 350,600 tanda tangan sejak digerakkan pada Rabu apabila terdapat petunjuk pasti bahawa calon UMNO yang akan dinamakan sebagai perdana menteri.

Portal itu menyatakan bahawa Ismail Sabri telah khilaf dalam menangani pandemik tersebut serta pernah membuat komen yang menyinggung perasaan kaum Cina di negara itu.

Namun, walaupun terdapat keraguan mengenai UMNO, sebilangan besar rakyat Malaysia menyatakan di media sosial bahawa mereka gembira kerana ketidakstabilan politik negara itu sudah berakhir.

Ahli akademik Tunku Mohar tidak ketinggalan menyuarakan kritikan dengan berkata bahawa rekod Ismail sarat dengan kegagalan.

Sebagai contoh, keputusan beliau menyediakan pusat beli-belah eksklusif untuk para peniaga Melayu menjual peranti digital, berakhir dengan kegagalan dan sekadar menjadi usaha jangka pendek, kata ahli akademik itu.

"Tiada siapa yang tahu tentang idea atau visi beliau," kata Tunku Mohar.

‘Rapuh seperti sebelum ini’

Namun, walaupun terdapat keraguan mengenai UMNO, sebilangan rakyat Malaysia menyuarakan dalam media sosial bahawa mereka gembira kerana ketidakstabilan politik sudah berakhir.

Penganalisis Oh berpendapat mereka meraikan kegembiraan itu terlalu awal.

"Kerajaan ini rapuh seperti mana kerajaan sebelum ini," kata Oh.

Selain itu, gabungan pimpinan Muhyiddin - yang mempunyai 50 Ahli Parlimen - boleh melakukan perkara yang sama kepada UMNO seperti mana apa yang dilakukan oleh UMNO kepada pemimpin mereka, katanya.

Sekiranya kesemua Ahli Parlimen itu menarik balik sokongan mereka kepada Ismail Sabri, beliau terpaksa bergantung kepada sokongan 64 Ahli Parlimen, yang terlalu kurang daripada jumlah 111 yang diperlukan oleh perdana menteri untuk terus berkuasa.

Tempoh pemerintahan kerajaan semasa dijadualkan berakhir pada Julai 2023.

Beberapa parti pembangkang juga mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikannya sebagai perdana menteri, tetapi mereka juga kecewa kerana gagal kembali berkuasa sebagai kerajaan walaupun memenangi pilihan raya umum 2018.

Mohamad Sabu, yang juga presiden parti Amanah iaitu anggota Pakatan Harapan yang memenangi pilihan raya umum 2018, berharap rakyat Malaysia tidak hilang kepercayaan terhadap sistem pilihan raya demokrasi negara itu.

"Saya berkecil hati dan terguris kerana mereka yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018 tidak memperoleh semula mandat itu," katanya dalam satu kenyataan.

“Mungkin rakyat melihat proses pilihan raya negara kini menjadi sia-sia."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh