Penyokong IS Menyusup Masuk Ke Indonesia dari Malaysia

Nani Yusof & Hata Wahari
2015.09.22
150922-MY-POSO620 Polis wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia geledah kawasan di Kabupaten Moutong Parigi di mana seorang petani dipancung, 17 September 2015.
BeritaBenar

Penyokong-penyokong asing kumpulan Negara Islam (IS) merancang untuk menyusup masuk ke Indonesia dari Malaysia bagi menjalani latihan ketenteraan sebelum dihantar ke Timur Tengah untuk latihan pertempuran bersama kumpulan militan itu, kata seorang pegawai kanan yang memerangi keganasan Malaysia kepada BeritaBenar.

"Setahu saya, ada 20 hingga 30 penyokong IS yang mahu ke Indonesia untuk menjalani latihan, atau menggunakan negara itu [sebagai transit] untuk ke Syria atau Iraq," kata Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Cawangan Khas Bagi Counter Terrorism Polis  Diraja Malaysia  dalam satu temu bual menerusi telefon pada Selasa.

Para pejuang jihad itu belum meninggalkan Malaysia kerana mereka masih berada dalam radar perkhidmatan keselamatan, katanya.

Ayob juga mendedahkan kepada BeritaBenar bahawa tiga pejuang jihad Malaysia telah melakukan pengeboman bunuh diri di Syria atau Iraq. Anggota keempatnya pula cuba melakukan pengeboman bunuh diri tetapi gagal.

"Kami mendapati bahawa tiga atau empat rakyat Malaysia telah menjadi pengebom bunuh diri, dan mereka melakukan tindakan ini kerana mahu mati syahid," kata Ayob.

Semua sekali, seramai 121 rakyat Malaysia termasuk 23 wanita telah menyertai IS di Timur Tengah, katanya. Sehingga Selasa, seramai 11 daripada mereka telah terbunuh di Syria atau Iraq termasuk tiga pengebom bunuh diri itu.

Tetapi Ayob menafikan dakwaan yang diperbesarkan oleh Ketua Agensi Antikeganasan Kebangsaan (BNPT) Indonesia bahawa "di Malaysia, terdapat beribu-ribu perjuang pejuang pengganas asing di sana yang bakal dikerahkan - kita tidak tahu ke mana - di bawah rangkaian  [IS]. "

Ketua BNPT Saud Usman Nasution membuat komen itu dalam satu wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) dengan memberi amaran mengenai "kemungkinan berlakunya kerahan pejuang asing dari Malaysia."

Syurga IS di Poso?

Laporan ABC yang disiarkan pada Isnin memetik Saud sebagai berkata bahawa IS bekerjasama dengan rangkaian penyeludupan untuk membawa pejuang asing ke Indonesia.

Pejuang-pejuang itu, pada mulanya akan mendarat di pulau barat laut Sumatera, Indonesia sebelum ke Kabupaten Poso, yang terletak di pulau Sulawesi, kata Saud kepada ABC.

Beliau menambah, bahawa sebanyak 52 warga Indonesia terbunuh semasa berjuang dengan IS di Timur Tengah, termasuk empat orang dalam serangan bom bunuh diri.

Seramai 514 warga Indonesia telah  ke Syria dan Iraq untuk menyokong perjuangan jihad IS, menurut perangkaan BNPT.

Pada 14 September, Saud memberitahu sesi Parlimen di Jakarta bahawa suspek militan dari luar negara telah berjaya ke Poso atau sedang merancang untuk  ke sana, lapor SINDONews.

Beliau berkata, Indonesia, yang telah menjadi negara sumber bagi ahli-ahli IS, kini merupakan negara destinasi mereka, lapor  saluran berita itu.

"Ini tidak boleh dipandang ringan, kerana ia adalah ancaman yang benar dan nyata," SINDONews memetik Saud sebagai berkata.

Memburu MIT

Poso terletak di wilayah bergolak Sulawesi Tengah. Kawasan gunung-ganangnya disyaki menjadi pangkalan bagi militan paling dikehendaki di Indonesia, Santoso. Beliau mengetuai Mujahideen Timur Indonesia (MIT), yang dilaporkan telah bersekutu dengan kumpulan militan Negara Islam.

Awal bulan ini, seramai tiga petani dipancung dalam pembunuhan berasingan di Moutong Parigi, satu lagi Kabupaten  di Sulawesi Tengah. Polis mengesyaki sekumpulan pejuang MIT melakukan pembunuhan itu.

"Sumber intel kami menyatakan bahawa kumpulan itu mempunyai kira-kira 30 ahli. Ia bukanlah besar sangat tetapi hampir semua daripada mereka mempunyai senjata berbahaya termasuk senjata api dan bom. Selain itu, kumpulan tersebut cekap dengan laluan kawasan itu, yang menjadikannya sukar bagi kami untuk mengesan mereka, "kata jurucakap Polis Sulawesi Tengah Hari Suprapto kepada BeritaBenar pada awal September.

Di Jakarta, jurucakap BNPT Irfan Idris berkata, warga asing telah menyertai unit bergerak itu tetapi jumlah sebenar mereka tidak diketahui.

"Pada masa ini, ada seorang warga asing dalam kumpulan itu.  Warga asing Uyghur itu bernama Faruk alias Magalasi. Namanya terdapat  dalam senarai orang paling dikehendaki kami, "kata Hari dari pasukan polis Sulawesi Tengah.

Kes empat Uyghur

Pada Julai, sebuah mahkamah di Jakarta Utara mensabitkan empat lelaki Uyghur lain atas tuduhan cuba  menyertai MIT dan memasuki negara ini secara haram, dan masing-masing dijatuhi hukuman enam tahun penjara.

Keempat-empat  lelaki itu ditahan pada September 2014 di Sulawesi Tengah semasa dalam perjalanan  untuk menemui Santoso, menurut pihak berkuasa Indonesia. Mereka berpura-pura menjadi pelancong.

Mereka mendarat di Indonesia setelah bergerak dari sebuah pelabuhan yang tidak dinamakan di Malaysia, kata seorang daripada defendan Abdul Basit semasa memberi keterangan pada perbicaraan  Jun lalu. Peguam mengenal pasti  tempat pendaratan itu sebagai Pekanbaru,  ibu kota wilayah Riau di Sumatera.

"Kami tidak mempunyai niat lain selain bercuti," kata Abdul kepada mahkamah.

Masih belum jelas sama ada empat warga Uyghur itu adalah rakyat Turki seperti dakwaan mereka, atau dari wilayah barat laut Xinjian, China di mana Uyghur berbahasa Turki adalah minoriti Islam yang ditindas. Walaupun lelaki itu memasuki Indonesia dengan pasport palsu Turki, pendakwa raya menegaskan bahawa defendan berkenaan sebenarnya dari China.

Sementara itu, pegawai China mendakwa kira-kira 300 Uyghur dari Xinjiang telah menyertai IS

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.