Malaysia siasat kemungkinan agensi Israel terlibat dalam penculikan warga Palestin

Pihak berkuasa telah mendakwa 11 rakyat Malaysia dalam kes penculikan, penderaan dan soal siasat ke atas seorang pengatur cara.
Noah Lee & Nisha David
2022.10.19
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia siasat kemungkinan agensi Israel terlibat dalam penculikan warga Palestin Peratap mengelilingi keranda Fadi Mohamad Al Batsh, jurutera Palestin yang mati ditembak empat hari sebelum itu di Kuala Lumpur, 25 April 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat sama ada sebuah agensi perisikan Israel terlibat dalam insiden penculikan seorang warga Palestin di Kuala Lumpur akhir September lepas, kata seorang pegawai kanan pada Rabu.

Sebelas rakyat Malaysia telah didakwa di mahkamah minggu lepas berhubung insiden penculikan itu setelah polis menyerbu dan menyelamatkan seorang pengatur cara komputer yang didakwa dipukul serta disoal siasat oleh pihak yang menculiknya selama 24 jam.

Pada Rabu, polis menyoal siasat editor akhbar New Straits Times yang melaporkan secara eksklusif dakwaan wujud hubungan dengan Mossad dalam kes itu sehari sebelumnya sekali gus menyaksikan para pegawai di Gaza mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Kami sedang menyiasat elemen Mossad dalam kes penculikan ini. Kami belum dapat mengesahkan penglibatan agensi itu,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim kepada pemberita.

Azmi merujuk laporan New Straits Times yang mendakwa bahawa agensi perisikan Israel itu adalah dalang di sebalik penculikan seorang warga Palestin di Kuala Lumpur pada 28 Sept lepas.

Akhbar itu melaporkan bahawa Omar Z.M. Albelbaisy Raeda, 31, telah diculik oleh kumpulan yang didakwa ingin mendapatkan maklumat mengenai perisian yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

New Straits Times melaporkan bahawa Raeda telah ditutup mata dengan kain dan dipaksa memasuki sebuah kenderaan berwarna putih sebelum dibawa ke sebuah chalet. Sejurus tiba ke destinasi, beliau diikat pada sebuah kerusi di mana mangsa “telah disoal siasat dan dipukul oleh ejen rakyat Malaysia apabila jawapannya tidak memuaskan hati agensi perisikan Israel itu.”

Selepas kisah itu terbongkar, media Malaysia melaporkan bahawa polis telah menahan 11 suspek termasuk seorang wanita yang kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Okt lepas di mana mereka didakwa atas pertuduhan menculik.

Akhbar New Straits Times turut mendakwa bahawa Mossad telah mengendali sebuah sindiket perisikan di Malaysia, diketuai seorang wanita rakyat tempatan yang bekerja sebagai penyiasat persendirian dan direkrut oleh agensi itu pada 2018 serta telah dihantar ke luar negara untuk menjalani latihan pengintipan.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan bahawa kesemua 11 individu adalah suspek dalam kes penculikan seorang warga Palestin namun tidak menamakan Raeda. Beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penglibatan Mossad sebaliknya menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kes itu, yang mungkin mengganggu siasatan polis dan mengelirukan orang awam.

Selain itu, para pegawai Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan sama ada wanita yang ditahan dan individu yang didakwa mengetuai sindiket perisikan tersebut adalah orang yang sama.

Terdahulu, pada hari sama, Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin mengeluarkan kenyataan merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin menghargai usaha pihak berkuasa Malaysia dalam menyelamatkan seorang rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza yang telah diculik di Malaysia oleh rejim Israel melalui ejen Mossadnya. Selain itu, mereka dapat mendedahkan operasi ejen Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.

“Pada masa yang sama, kami mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan perkhidmatan keselamatan Malaysia, kami juga mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang berada di Malaysia, dan kami menggesa agar pelakunya diheret ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.

Bukan perkara luar biasa

Seorang penganalisis keselamatan berkata bukan perkara luar biasa bagi agensi perisikan Israel itu untuk menyasarkan rakyat Palestin di luar negara terutama mereka yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Hamas.

“Jika dikatakan bahawa penculikan yang gagal itu adalah satu langkah terdesak, maka ia bukanlah satu perkara yang baharu bagi Mossad. Israel sentiasa memantau pergerakan rakyat Palestin terutama mereka yang mempunyai kaitan dengan pergerakan Hamas dan dianggap berpotensi menjadi ancaman,” kata Bakri Mat, seorang Profesor Madya di Universiti Utara Malaysia kepada BenarNews.

“Ejen Mossad sebelum ini telah dikaitkan dengan beberapa siri pembunuhan dan menyasarkan pembunuhan ejen Hamas di luar negara seperti di Malaysia pada 2018, dan Qatar pada 2010.”

Bagaimanapun, beliau berkata insiden ini tidak akan menyebabkan rakyat Palestin berasa kurang selamat berada di Malaysia.

“Apa yang lebih penting ialah pihak berkuasa keselamatan perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Pada April 2018, seorang jurutera rakyat Palestin bernama Fadi Mohamad Al Batsh, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Hamas, telah mati ditembak di Kuala Lumpur. Hamas menuduh Mossad bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu namun tiada suspek diberkas.

Bapa kepada tiga orang anak, Al Batsh telah berada di Malaysia selama lebih tujuh tahun dan memegang status penduduk tetap Malaysia, menurut para pegawai sejurus selepas beliau dibunuh.

Malaysia, sebuah negara dengan jumlah populasi hampir 33 juta orang yang majoritinya beragama Islam, tidak mempunyai hubungan diplomatic dengan Israel. Negara itu turut menjadi tuan rumah kepada utusan khas Palestin dan kira-kira 3,000 rakyat negara itu, kebanyakannya pelajar universiti.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para pegawai di Kuala Lumpur menafikan dakwaan Israel bahawa ejen Hamas telah menjalani latihan di bumi Malaysia untuk melakukan operasi ketenteraan terhadap negara Yahudi itu.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.