Lelaki Israel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan senjata api di Malaysia
2024.04.12
Kuala Lumpur
Lelaki Israel yang ditahan polis hujung bulan lalu didakwa di mahkamah Malaysia pada Jumaat dengan dua pertuduhan memperdagang sejumlah senjata api dan memiliki 158 butir peluru di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Shalom Avitan, 37, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Tasnim Abu Bakar.
"Saya mengaku tidak bersalah," Avitan memberitahu mahkamah dalam bahasa Inggeris pada Jumaat.
Avitan didakwa di bawah Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 atas tuduhan memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis termasuk Sig Sauer, Glock, Smith & Wesson, Cougar dan Stoeger Cougar di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur antara 26 hingga 28 Mac lalu.
Di bawah seksyen itu, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan dikenakan tidak kurang enam kali sebatan.
Warga Israel itu juga didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki 158 butir peluru tanpa permit senjata yang boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 (AS$2,106) atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua pertuduhan itu tidak menawarkan jaminan dengan Avitan dibawa ke Penjara Sungai Buloh, negeri Selangor sementara menanti sebutan semula kes pada 21 Mei depan.
“Anak guam saya berada dalam tahanan polis selama 18 hari telah didakwa hari ini (Jumaat),” kata peguam bela tertuduh, Navinjit Singh kepada BenarNews.
"Selepas ini, dia akan dibawa ke Penjara Sungai Buloh, Selangor sementara menunggu tarikh sebutan kes akan datang.”
Terdahulu Avitan yang bertopeng muka dan berkemeja-T berwarna hitam dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dalam keadaan bergari dengan kawalan ketat anggota polis lengkap bersenjata pada pukul 8.15 pagi.
Dia kelihatan sentiasa menundukkan kepalanya ketika dibawa keluar oleh anggota polis dari lori 'black maria' sebaik tiba di pekarangan kompleks mahkamah melibatkan konvoi enam buah kenderaan polis dan dua motosikal trafik.
Sumber polis memberitahu BenarNews, proses membawa Avitan ke mahkamah turut dipantau rapat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain dan kawalan ketat melibatkan lebih 15 anggota polis termasuk dari Bahagian D9 (Siasatan Khas).
Tujuh suspek masih direman
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain memberitahu BenarNews pada Jumaat bahawa seramai tujuh suspek masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung penahanan lelaki Israel itu termasuk tiga warga asing.
Katanya enam lagi individu yang ditahan berkaitan kes berkenaan pula sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan dilengkapkan.
"Lelaki warga Israel berkenaan mengaku tidak bersalah atas pendakwaan dibuat terhadapnya di Mahkamah Sesyen hari ini (Jumaat) atas dua pertuduhan memperdagang enam senjata api dan memiliki 158 peluru.
"Walaupun dia sudah dituduh atas pemilikan senjata api, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar kerana terdapat suspek yang boleh membantu mengetahui motif belum ditahan," katanya kepada BenarNews.
Kes melibatkan warga Israel itu menjadi tumpuan rakyat Malaysia apabila Razarudin dalam sidang media hujung bulan lalu mengesahkan polis telah menahan lelaki itu di sebuah hotel dengan memiliki sejumlah pistol dan ratusan butir peluru pada 27 Mac lepas.
Beliau memberitahu, lelaki Israel itu masuk ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lalu dan tinggal di beberapa hotel sebelum diberkas pasukan polis.
Memandangkan ketika ini berlaku perang Israel-Hamas di Gaza, Razarudin berkata pihak polis bertindak meningkatkan kawalan keselamatan ke atas Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia ekoran penangkapan lelaki warga Israel itu.
Susulan penangkapan Avitan, Razarudin memberitahu BenarNews, pihak polis berjaya menahan sepasang suami isteri di daerah Kuala Selangor, kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur yang dikatakan menjadi pengedar senjata api kepada lelaki Israel itu.
Pada 5 April lepas, Razarudin memberitahu BenarNews, polis telah menahan 16 individu termasuk seorang warga Eropah Timur Georgia dan dua rakyat Turkiye berhubung kes tangkapan lelaki Israel itu.
Seramai 12 daripada suspek itu merupakan warga tempatan termasuk pasangan suami isteri yang dikatakan bertindak sebagai pengedar senjata kepada lelaki Israel itu.
Pada Isnin lalu, seorang wanita, Syarifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor atas tuduhan memiliki pistol Luger CZ 75 P-01 CAL. 9 manakala suaminya, Abdul Azmin Mohd Yasin, 43, didakwa membantu isterinya dengan membawa senjata.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 8 dan 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) yang jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika menafikan dakwaan sistem imigresen Malaysia longgar mengesahkan Avitan masuk ke negara itu secara sah menggunakan pasport Perancis yang dikeluarkan kedutaannya di Tel Aviv, Israel.
Malaysia yang penduduknya majoriti Islam, tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan rakyatnya dilarang melawat ke negara berkenaan melainkan mendapat kebenaran khas daripada Kementerian Dalam Negeri.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengkritik Israel kerana pengeboman tentera rejim Zionis itu ke atas Semenanjung Gaza berikutan serangan mengejut di bawah operasi 'Taufan al-Aqsa' ke atas wilayah Palestin yang diduduki rejim itu pada 7 Oktober lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 1,100 rakyat Israel terbunuh.
Serangan balas Israel menyebabkan lebih 33,000 orang terkorban kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, kata kementerian kesihatan Gaza.
Anwar telah mempertahankan hubungan Malaysia dengan Hamas, namun menafikan terlibat dalam aktiviti sayap ketenteraannya.
Pada Khamis, Anwar dalam perbualan telefon dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel di Gaza yang membunuh tiga orang anak dan empat cucu pengerusi biro politik pergerakan Palestin itu ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.