Malaysia ketatkan keselamatan lepas tahan lelaki Israel bersenjata pistol

Polis sedang menyiasat sama ada lelaki berusia 36 tahun dan mempunyai dwikerakyatan itu mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Mossad.
Ahmad Mustakim Zulkifli dan Nisha David
2024.03.29
Kuala Lumpur
Malaysia ketatkan keselamatan lepas tahan lelaki Israel bersenjata pistol Ketua Polis Negara Razarudin Husain bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, 9 Januari 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Polis Malaysia menahan seorang lelaki warga Israel yang disyaki ejen perisikan bersama sejumlah senjata dan ratusan butir peluru di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada Jumaat berkata susulan penangkapan lelaki berumur 36 tahun yang masuk ke negara itu menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lalu, polis meningkatkan kawalan keselamatan ke atas raja dan pemimpin negara.

Memandangkan berlaku konflik Palestin dan Israel, Razarudin berkata pihak polis mengambil langkah berwaspada dengan meningkatkan kawalan keselamatan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Lelaki Israel itu memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menggunakan pasport Perancis.

“Dia ditahan pada 27 Mac dan direman sehingga 31 Mac untuk siasatan lanjut. Semasa siasatan, beliau menyerahkan pasport Israelnya kepada polis.

“Dia memberitahu senjata api yang dimilikinya itu adalah untuk membunuh seorang lagi warga Israel kerana masalah keluarga dan ia dibeli di Malaysia menggunakan mata wang kripto.

“Polis sedang menyiasat perkara itu kerana kita tidak percaya semua katanya, boleh jadi dia ada agenda lain,” kata Razarudin kepada media sambil menyatakan polis sedang menyiasat kemungkinan lelaki itu merupakan sebahagian daripada unit perisikan Israel, Mossad.

Anwar lantang bersuara di pentas antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat dan Eropah mengenai pendirian tegas Malaysia menentang kezaliman Israel yang mengebom Gaza hingga menyaksikan lebih 30,000 rakyat Palestin terkorban serta menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan.

Dalam lawatannya ke Jerman baru-baru ini, Anwar mengkritik sikap hipokrit negara Barat dalam menangani konflik di Asia Barat dan menolak konflik itu bermula dari tarikh pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, sebaliknya pendudukan yang berlaku sejak lebih lima dekad lalu.

Malaysia yang mempunyai penduduk majoriti Islam merupakan pendukung kuat Palestin dan konsisten menentang kezaliman Israel menduduki tanah Palestin.

Razarudin berkata pihak polis percaya lelaki Israel itu tidak bertindak bersendirian sebaliknya mempunyai rangkaian dalam negara.

Katanya antara enam pucuk pistol yang dijumpai bersama lelaki itu sebahagiannya sudah siap dimasukkan peluru.

“Dia mungkin mempunyai rangkaian dalam negara yang kita belum kenal pasti. Senjata itu dibeli di Malaysia kerana mustahil dibawa masuk ke negara ini kerana dia menaiki penerbangan dari Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai kawalan ketat,” katanya.

Polis Malaysia menyiasat lelaki itu mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan sebat.

240329-MY-Israel-Inside.jpg
Peserta Himpunan 10K Solidariti Palestin berarak dari Masjid Asy-Syakirin, KLCC menuju ke kawasan berhampiran bangunan Kedutaan Amerika Syarikat bagi menunjukkan sokongan kepada Palestin di Kuala Lumpur, 28 Oktober 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Rangkaian Mossad

Muhammad Danial Azman, pensyarah kanan Institut Antarabangsa Dasar dan Pengurusan Awam, Universiti Malaya berkata dakwaan bahawa lelaki Israel yang ditahan itu sebagai pengintip untuk agensi perisikan asing tidak boleh diketepikan.

“Membuat andaian bahawa polis terlalu cepat membuat kesimpulan adalah tidak tepat. Ini kerana pasukan keselamatan bukannya bertindak tanpa sebab, sebaliknya bertindak berdasarkan maklumat lengkap yang diterima.

“Sidang akhbar yang diadakan oleh Ketua Polis Negara itu adalah bagi memberikan maklumat terkini kepada orang awam dan diikuti langkah undang-undang dalam parameter perlembagaan dan dasar keselamatan.

“Lagipun, kita perlu mempertimbangkan insiden sebelum ini yang didakwa melibatkan ejen perisikan Israel dalam kes bunuh pensyarah warga Palestin, Fadi Mohammad al-Batsh di Malaysia,” katanya kepada BenarNews.

Muhammad Danial berkata hubungan antara aktiviti suspek dan sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin adalah munasabah.

Enam tahun lalu, seorang jurutera Palestin yang menetap di Malaysia, Fadi Mohammad al-Batsh ditembak mati oleh individu dipercayai dari Eropah yang mempunyai kaitan dengan agensi perisikan asing menggunakan motosikal berkuasa tinggi berhampiran sebuah surau di Setapak, Kuala Lumpur. Keluarganya telah menyalahkan Mossad atas pembunuhan itu.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Pada Disember lalu, negara Asia Tenggara itu mengenakan larangan berlabuh ke atas semua kapal dagang milik Israel di Malaysia sebagai tindak balas pencerobohan darat Israel ke atas Gaza.

Pada 2018, kerajaan Malaysia mengusir diplomat Israel yang menyertai Forum Bandar Sedunia Ke-sembilan (WUF9) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kuala Lumpur. Kehadiran bekas Timbalan Duta Israel ke PBB David Roet dan delegasi rasmi negara itu adalah atas jemputan badan dunia berkenaan melalui agensi Program Penempatan Manusianya (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

Roet, yang dilapor memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel, telah mencetuskan kontroversi serta mengundang kritikan badan bukan kerajaan dan pembangkang.

Pada 2015, kerajaan Malaysia enggan memberikan visa kepada pasukan pelayar Israel untuk menyertai kejohanan kapal layar dunia di Langkawi yang mengundang kecaman ramai pihak.

Bagaimanapun, Malaysia dilapor membenarkan lawatan keagamaan terhad ke Israel oleh penganut agama tertentu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.