Follow us

Agong, Permaisuri Dikuarantin Selepas Tujuh Petugas Istana Negara Positif COVID-19

Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-26
E-mel
Komen
Share
Pegawai kesihatan berpakaian khas sedang menjalankan ujian saringan COVID-19 untuk memastikan sama ada jemaah tabligh dijangkiti atau tidak dengan wabak berkenaan di Masjid Shah Alam, Selangor, 26 Mac 2020.
Pegawai kesihatan berpakaian khas sedang menjalankan ujian saringan COVID-19 untuk memastikan sama ada jemaah tabligh dijangkiti atau tidak dengan wabak berkenaan di Masjid Shah Alam, Selangor, 26 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dikuarantin setelah tujuh kakitangan Istana Negara disahkan positif COVID-19 di mana kes jangkitan di negara itu telah disahkan melebihi 2,000 dengan dua kawasan di Johor berada dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan ketat selepas 83 kes dikenalpasti di kawasan tersebut.

Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin telah mengeluarkan satu kenyataan yang memaklumkan bahawa pasangan diraja Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari mulai Rabu, setelah tujuh kakitangan Istana Negara disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ingin dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menjalani proses saringan di Istana Negara dan disahkan negatif COVID-19. Lanjutan dari proses saringan ini, Seri Paduka Baginda berdua sedang menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari mulai semalam,” demikian kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan yang ketujuh-tujuh kakitangan Istana Negara kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Berikutan itu, pihak berkuasa kesihatan sedang giat menjalankan usaha mengesan kontak rapat dan sumber jangkitan yang menyebabkan tujuh kakitangan dijangkiti COVID-19 itu turut menjalankan kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman di dalam Istana Negara bagi membasmi virus tersebut.

"Sehubungan dengan ini, Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan supaya tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang telah dijadualkan berlangsung semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik ini pulih," demikian kata kenyataan tersebut.

PKP diperketatkan di Johor

Sementara itu, dua kawasan di Johor menjadi kawasan pertama di Malaysia yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan yang diperketatkan sehingga hampir menyerupai perintah berkurung, ekoran  peningkatan 50 kes menjadi 83 kes setakat ini berbanding hanya 31 kes seperti yang dilaporkan oleh KKM melalui infografiknya pada Selasa.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata dua kawasan itu ialah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, di daerah Kluang.

Katanya, keputusan mengetatkan PKP di kawasan berkenaan bermula Jumaat hingga 9 April depan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Menteri Kesihatan setelah 83 kes COVID-19 yang direkodkan di daerah itu, 61 daripadanya dilaporkan dari kedua-dua kawasan tersebut.

"Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di dua kawasan tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order) di kedua kawasan,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan pada lewat Khamis.

Beliau berkata tindakan pengetatkan PKP di kawasan tersebut melibatkan 3,570 penduduk tempatan daripada 650 keluarga, yang sekaligus bermakna kedua-dua kawasan tidak boleh diakses oleh orang luar dan mereka yang berada di dalam kedua kawasan tersebut juga tidak dibenarkan keluar dari rumah mereka dalam tempoh penguatkuasaan PKP berkenaan.

Ismail Sabri berkata semua bentuk perniagaan turut dihentikan dengan makanan asas akan diagihkan kepada penduduk setempat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sepanjang tempoh tersebut.

"Pangkalan perubatan akan dibuka manakala semua laluan keluar masuk ditutup. Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan mengawal di kedua-dua kawasan," tambah Menteri Pertahanan itu lagi.

Beliau turut meminta supaya semua bertenang dan mengikut arahan petugas KKM dan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa dalam tempoh dua minggu itu.

Menurut statistik terkini dikeluarkan KKM pada Khamis, terdapat 235 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,031.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes positif, 55 peratus atau 1,117 kes, datangnya daripada kluster perhimpunan tabligh yang melibatkan lebih kurang 16,000 peserta di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung Februari lalu.

Katanya, kluster sama turut menjadi penyumbang terbesar dalam senarai kes kematian berkait COVID-19, yang sehingga kini telah meragut 23 nyawa termasuk seorang doktor.

Beliau memberitahu sidang media di Putrajaya pada Khamis bahawa tahap jangkitan yang berkait dengan kluster perhimpunan berkenaan sudah mencapai hingga generasi kelima.

Katanya, daripada 711 kes indeks berkaitan dengan kluster terbabit, KKM sudah mengesan bahawa pemindahan jangkitan daripada individu kepada individu sudah berlaku sehingga lima kali.

"Kalau kita lihat kluster tabligh sahaja, katakan 711 kes indeks, mereka ini menjangkiti ahli keluarga mereka. Keluarga mereka itu generasi pertama. Kemudian ahli keluarga itu pula menjangkiti jiran, dan jiran itu menjangkiti pula kawan mereka.

"Kita lihat sudah ada lima generasi jangkitan," katanya ketika menjawab soalan pemberita samada hasil siasatan KKM mendapati terdapat kluster lain yang menyumbang kepada peningkatan kes positif.

Tambahnya, perkara sedemikian yang menyebabkan siasatan KKM untuk mengesan punca jangkitan menjadi rumit dan memakan masa.

KKM bincang dengan pakar China


Sementara itu, menurut Noor Hisham, pasukan pakar perubatan dari kementerian itu telah mengadakan satu perbincangan melalui mesyuarat dalam talian dengan pakar perubatan dari China yang terbabit dengan usaha melawan penularan virus Covid-19 di negara berkenaan pada tengah hari Khamis.

Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai kaedah rawatan baru serta ubat-ubatan yang digunakan oleh China.

"Kita melihat kepada benda baru untuk dipelajari, samaada penggunaan ubat, teknik termasuk ubat baru dari China dan juga Avigan dari Jepun.  Kita dengar pandangan mereka, sebab mereka sudah melaksanakan beberapa kaedah tetapi kita kena melihat, dan kaji cara-cara dan kaedah baru, dan apa yang perlu kita lakukan untuk merawat pesakit COVID-19," kata Noor Hisham.

Ditanya mengenai tawaran oleh China untuk menyumbangkan tenaga kepakaran doktor mereka, beliau berkata sehingga kini Malaysia mempunyai jumlah doktor yang mencukupi.

"Alhamdulilah setakat ini jumlah doktor kita mencukupi. Tapi kalau mereka hendak hantar (doktor mereka), kita akan mengkaji (tawaran berkenaan)."

Awal minggu ini, Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein memberitahu pemberita bahawa kementeriannya telah mengusahakan satu mesyuarat dalam talian antara pakar perubatan China dengan KKM untuk berkongsi langkah terbaik dalam menghadapi penularan virus Covid-19.

Katanya Wisma Putra juga sedang berbincang dengan Beijing bagi mendapatkan khidmat pakar perubatan dari negara itu untuk dihantar ke Malaysia.

Kesan tabligh perhimpunan di Indonesia


Sementara itu, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pada Khamis bahawa pihaknya sudah berjaya mengesan 36 rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Makkasar, Indonesia pada 18 Mac lalu yang pulang melalui negeri itu.

Mereka yang dikesan termasuk lapan orang yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbor pada hari yang sama.

Menurut Ayob, kesemua mereka yang dikesan itu telah melalui proses nyah-kuman, disaring, dan diuji bagi COVID-19 serta maklumat diri mereka diambil oleh petugas Jabatan Kesihatan Johor.

Keputusan ujian ke atas kesemua mereka menunjukkan keputusan negatif, namun kesemuanya diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari.

"Di antara 23 Mac hingga hari ini, sejumlah 36 peserta himpunan tabligh di Makassar telah kembali, termasuk lapan hari ini," katanya kepada BeritaBenar.

Tambah Ayob, pihak berkuasa sedang menunggu kepulangan kira-kira 30 lagi peserta himpunan tersebut memasuki negeri berkenaan.

Lihat Laman Penuh