Keluarga Harap Paderi Koh Pulang Untuk Tahun Baru Cina

Ahli keluarga mangsa culik Paderi Raymond Koh Keng Joo sangat berharap paderi berkenaan akan pulang untuk menyambut Tahun Baru Cina meskipun genap setahun beliau hilang dalam indisen penculikan yang berlaku di Petaling Jaya, kata isterinya pada Selasa.

Susanna Liew dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan turut mempersoalkan tangkapan seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam penculikan Paderi berkenaan oleh pihak berkuasa Malaysia baru-baru ini, sekaligus menamatkan prosiding siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [Suhakam] berkaitan kes tersebut.

"Kenapa dia didakwa atas tuduhan menculik hanya setelah beberapa bulan berlalu dan cuma sehari sebelum siasatan awam itu disambung semula? Jika benar lelaki itu terlibat, dia patut tahu di mana Koh berada sekarang. Bebaskannya dan biarkan pesalah sebenar diberkas dan keadilan ditegakkan," kata Liew dalam kenyataan itu.

Susanna juga mempersoalkan tindakan pihak polis menghentikan siasatan awam Suhakam terhadap kehilangan Koh, Januari lalu dan masih berharap suaminya itu dibebaskan daripada penculikan memandangkan ibu Koh tidak sihat.

"Ibunya sakit dan sudah setahun tidak berjumpanya," kata wanita itu.

Pada 16 Januari lepas, Suhakam melalui Pesuruhjayanya Mah Weng Kwai telah memaklumkan yang pihaknya telah menerima sepucuk surat daripada Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang memberitahu prosiding siasatan awam terhadap kehilangan paderi berkenaan telah dihentikan selepas polis mendakwa seorang suspek atas tuduhan menculik Koh.

Suspek tersebut, Lam Chang Wan, 31, didakwa di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menculik atau melarikan secara paksa pada 15 Januari lepas.

Pendakwaan terhadap Lam, sekaligus mengakibatkan Suhakam terpaksa menamatkan siasatan awam terhadap kehilangan Koh yang telah masuk hari ke 12 atas perintah undang-undang yang menggariskan kewajipan untuk suruhanjaya tersebut menghentikan serta-merta mana-mana aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan mahkamah.

Lam pada mulanya ditangkap dan didakwa memeras ugut anak kepada Koh, iaitu Jonathan Koh Szu Hao, 33, dengan meminta sebanyak RM30,000 sebagai wang tebusan bagi pembebasan ayahnya dan lelaki itu telahpun dituduh dibawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kepada seseorang ketakutan dengan tujuan hendak melakukan pemerasan.

Walau bagaimanapun dalam prosiding sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dalam keterangannya berkata Lam didapati tiada kaitan dengan penculikan Koh kerana dia sekadar mengambil kesempatan atas kejadian itu dengan memeras ugut mereka.

Henti siasatan

Ketua Polis Negara dalam kenyataan media pada 16 Januari lepas berkata, lelaki yang ditahan telah didakwa di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Januari, kerana mempunyai niat untuk menculik serta melarikan secara paksa paderi berkenaan.

"Seorang lelaki Cina warganegara Malaysia bernama Lam Chang Nam, telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada 15 Januari kerana disyaki terlibat dengan tujuh lagi individu lain yang masih bebas menculik Paderi Koh awal tahun lalu," kata Mohamad Fuzi dalam kenyataan itu.

Lam, 31, pemandu sambilan Uber didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan di Petaling Jaya kira-kira jam 10.25 pagi pada 13 Februari tahun lalu dan beliau boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Bukit Mertajam dari Parti Tindakan Demokratik [DAP], Steven Sim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa turut mempersoalkan sama ada pendakwaan terhadap Lam oleh pihak berkuasa Malaysia dilakukan semata-mata untuk menghentikan siasatan awam Suhakam.

"Apabila Pastor Koh diculik saya berpendapat ia bukanlah kes jenayah biasa tetapi merupakan satu tindakan berbentuk keganasan," katanya sambil mempersoalkan penyiasatan polis yang masih gagal untuk menyelesaikan kes tersebut walaupun sudah setahun berlalu.

Dalam sebuah temuramah bersama KiniTV, sebuah portal media tempatan, seorang lagi anak Koh iaitu Elizabeth memberitahu yang beliau tidak lagi mempunyai kepercayaan tinggi terhadap Polis kerana percaya pihak berkuasa Malaysia telah menemui ayahnya.

"Pada awalnya saya menyimpan harapan tinggi bahawa ayah dapat ditemui oleh pihak polis lebih-lebih lagi selepas penemuan rakaman CCTV ketika penculikan itu berlaku. Saya yakin yang polis dapat menemui ayah saya. Kini saya rasa kepercayaan saya telah hilang," kata Elizabeth seperti dalam rakaman visual yang disiarkan oleh portal media tempatan itu.

Keluarga paderi berkenaan juga pernah memberitahu pihak media yang mereka tidak menerima sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan yang dijalankan oleh polis melibatkan kes tersebut.

Malah pihak Polis sebelum ini turut enggan bekerjasama dengan panel siasatan awam dengan tidak mengeluarkan lakaran gambar rajah tempat kejadian dan rakaman CCTV yang diambil oleh pihak mereka kerana maklumat tersebut termaktub di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Walau bagaimanapun, bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan anggotanya terlibat dengan kes penculikan paderi itu dengan memberitahu panel siasatan awam Suhakam bahawa anggota keselamatan negara itu berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes penculikan tersebut.

"Perlu ada beberapa lambang polis. Sekiranya tidak ada, itu bukan operasi polis," kata Khalid, ketua polis negara yang baru bersara pada Oktober lepas, ketika memberi keterangan semasa ditanya sama ada penculik memakai balaclava (topi bulu menutup muka dan leher) itu mungkin anggota polis.

Rakaman CCTV menunjukkan penculikan Koh telah dirancang tetapi Khalid berkata ia tidak dilakukan secara profesional.

"Gerakan ini semua boleh dipelajari dari filem dan mereka cuba mengikutnya," kata Khalid sambil menambah penculikan itu tidak kemas dan bagi orang awam ia mungkin nampak cekap.

Dakwaan polis terlibat dalam penculikan Koh timbul setelah Roeshan Celestine Gomez berkata beliau sendiri menyaksikan detik kejadian berlaku sambil memaklumkan seorang pegawai penyiasat di Balai Polis Kelana Jaya, tempat beliau membuat laporan memberitahu yang penculikan tersebut kelihatan sebagai satu "operasi polis."

Selain Koh, siasatan awam tentang kehilangan beberapa aktivis sosial seperti Amri Che Mat, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Sitepu, turut diperdengarkan Suhakam.