Nurul Izzah Bersedia Beri Keterangan Kepada Polis
2015.09.17
Ahli Parlimen pembangkang Malaysia Nurul Izzah Anwar bersedia memberi keterangan kepada pihak polis sekembalinya ke tanah air dari Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan anak Ketua Pembangkang yang di penjarakan, Anwar Ibrahim, berada di Washington DC untuk menghadiri beberapa pertemuan dengan Ahli Kongres AS, Jabatan Negara, para peguam dan pemimpin masyarakat sivil dalam usaha untuk mengumpulkan tekanan antarabangsa terhadap Putrajaya supaya memberi perhatian perubatan serta-merta bagi bapanya, yang memerlukan pembedahan segera kerana kecederaan di bahunya.
“Saya bersedia untuk memberi keterangan kepada pihak polis dan akan menetapkan tarikhnya iaitu selepas pulang ke Kuala Lumpur,” katanya sambil memohon maaf tidak dapat memberi maklumbalas panjang semasa dihubungi BeritaBenar di ibu negara Amerika pada Khamis.
Sementara itu, peguam Nurul Izzah, Latheefa Koya, semasa dihubungi BeritaBenar di Kuala Lumpur pada lewat malam Khamis mengesahkan sepasukan anggota penyiasat Polis Bukit Aman telah datang mencari ahli parlimen itu di Ibu Pejabat PKR dan juga rumah beliau di Segambut pada Selasa tetapi beliau tidak berada di dalam negara.
Nurul Izzah merupakan ahli Parlimen pembangkang kedua selepas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) disiasat oleh polis Bukit Aman kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.
Ia susulan laporan dua buah akhbar tempatan The New Straits Times dan Berita Harian yang menyiarkan laporan mendakwa Nurul Izzah ada membuat tawaran membeli data curi mengenai transaksi antara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan PetroSaudi International.
Pada 8 September lepas, kedua-dua akhbar tempatan itu, telah menyiarkan laporan butiran siasatan kes membabitkan bekas pekerja PetroSaudi, Xavier Andre Justo, yang membuat pengakuan bertulis di atas kerelaannya sendiri, yang antara lain mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai lMDB yang dicurinya pada tahun 2011.
Menurut laporan itu, Justo turut mendakwa editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown adalah orang tengah di dalam urusan di antara Nurul Izzah dan dirinya.
Pada hari yang sama laporan itu dikeluarkan Nurul Izzah menafikan dakwaan beliau pernah menawarkan kontrak kerajaan kepada Justo, sebagai bayaran untuk memperolehi data mengenai 1MDB itu.
Ahli Parlimen pembangkang itu semasa ditemui media berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua akhbar berkenaan yang membuat laporan berdasarkan pengakuan bertulis oleh Justo itu.
Tetap tarikh
Sementara itu, Latheefa memberitahu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis berkaitan tarikh dan waktu yang sesuai untuk Nurul Izzah hadir memberi keterangan selepas beliau pulang ke tanah air.
“Penyiasatan dibuat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan terhadap Nurul Izzah, ia berdasarkan kepada laporan akhbar New Straits Times (NST) dan Berita Harian yang baru-baru ini melaporkan bahawa Nurul Izzah telah menawarkan kontrak AS$2 juta kepada bekas pekerja PetroSaudi Xavier Andre Justo dengan menjanjikan kontrak untuk maklumat yang dicuri daripada majikannya,” kata Latheefa kepada BeritaBenar pada Khamis.
Media Thailand melaporkan Justo, seorang lelaki warga Switzerland, kini sedang menerima hukuman penjara di Bangkok, selepas beliau mengaku bersalah cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International bulan lepas.
Bekas eksekutif IT berumur 49 tahun itu mengaku menyerahkan dokumen yang dicuri berkaitan urus niaga antara bekas majikannya dengan 1MDB kepada 'seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia' dan telah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Jenayah Thailand pada 17 Ogos lepas.
Perintah itu bermula pada hari beliau ditahan di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand, pada 22 Jun lepas.
Justo ditahan selepas PetroSaudi memfailkan aduan, dan kemudian dibawa ke Bangkok dan semasa berada di dalam tahanan, lelaki berkenaan mengaku cuba memeras ugut dengan menggunakan maklumat yang diperolehi daripada PetroSaudi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga sepuluh tahun dan denda antara 2,000 baht (AS$56) dan 20,000 baht (AS$562).
Dalam pada itu, Latheefa berkata, semasa lawatan Nurul Izzah ke Amerika Syarikat, Ahli Parlimen berkenaan dijangka memberi taklimat kepada para pegawai negara Amerika mengenai dakwaan skandal yang membabitkan Perdana Menteri Najib Razak, termasuk sumbangan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib dan isu 1MDB.
Tony yang telah memberi keterangan sebanyak dua kali kepada polis Bukit Aman menegaskan beliau tidak mengenali, dan tidak pernah mendengar nama Justo serta tidak mengetahui apa yang berlaku di antara editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown.