Bom Di Jakarta: Malaysia Keluar Amaran Tahap Tinggi

Nani Yusof & Suhana Osman
2016.01.14
160114-MY-ID-JKTattack620 Orang ramai berpusu-pusu menyelamatkan diri daripada seorang lelaki yang bersenjata semasa serangan di Jakarta. 14 Jan 2016.
AFP

Malaysia mengeluarkan amaran keselamatan negara tahap tinggi selepas beberapa siri kejadian pengeboman dan tembak menembak di ibu negara Indonesia, Jakarta, yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) pada Khamis.

Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar berkata, PDRM memperketatkan lagi kawalan keselamatan di kesemua kawasan tumpuan awam dan pelancong di seluruh negara itu.

“Kawalan yang sama juga dilaksanakan di pintu masuk negara dan sempadan dalam menyekat sebarang aktiviti yang mempunyai elemen keganasan,” katanya dalam satu kenyataan media mengulas mengenai kejadian terbaru di Jakarta itu.

Jakarta digegarkan dengan beberapa siri letupan dan tembak menembak dalam kejadian berhampiran Gedung Sarinah, sebuah pusat membeli belah yang terletak di sekitar Jalan Thamrin, di tengah-tengah kotaraya itu pada kira-kira pukul 10.50 pagi Khamis.

Kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab dalam serangan bunuh diri di lokasi yang hanya 3 km (1.86 batu) dari Istana Presiden di tengah-tengah kotaraya Jakarta itu

Tujuh orang termasuk lima suspek penjenayah dan dua orang awam iaitu seorang warga Kanada dan seorang lagi rakyat tempatan disahkan maut manakala 24 orang lagi dilaporkan cedera, termasuk lima anggota polis, empat warga asing (Jerman, Austria, Algeria dan Belanda) dan 15 rakyat tempatan, menurut Polis Indonesia.

‘Pantau militan’

Khalid menegaskan, pihak berkuasa Malaysia sedang memantau perkembangan terbaru di ibu negara Indonesia dalam memastikan kawalan keselamatan di negara jiran, Malaysia terjamin.

“Sesiapa yang berada di dalam radar  yang disyaki mempunyai hubungan dengan kegiatan pengganas akan dipantau secara berterusan,” tambahnya lagi.

Perdana Menteri Najib Razak turut memberi reaksi mengenai kejadian pengeboman di ibu negara Indonesia dengan melahirkan rasa sedih dan terkejut.

“Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu dalam apa jua cara…Ingatan dan doa bersama rakyat Indonesia,” kata Najib dalam akaun facebooknya pada petang Khamis.

Najib turut menghubungi Presiden Joko Widodo untuk menyampaikan ucapan takziah dan simpati kerajaan Malaysia kepada pemerintah serta rakyat Indonesia, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negara Malaysia lewat petang Khamis.

"Kementerian ingin mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian letupan bom tersebut. Kedutaan Malaysia di Jakarta sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Indonesia dan memantau perkembangan terkini," kata kenyataan itu.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zahrain Mohamed Hashim, semasa dihubungi BeritaBenar berkata, tidak ada rakyat atau pelajar Malaysia yang berada di tempat kejadian semasa berlakunya insiden itu.

“Terdapat kira-kira seribu rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja dalam pelbagai sektor di Jakarta,” katanya sambil memaklumkan bahawa Kedutaan Malaysia terletak kira-kira 5 km (3.1 batu) dari lokasi kejadian.

‘Pengalaman’

Sementara itu, menceritakan pengalaman berada kurang 800 meter dari tempat kejadian, seorang wartawan Malaysia yang sudah setahun bertugas di Jakarta berkata, beliau menyangka bunyi kuat yang kedengaran semasa berada di pejabat yang terletak di Wisma Antara di Jalan Medan Merdeka Selatan hanyalah bunyi dari kerja-kerja pembinaan.

Azeman Ariffin, koresponden agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) memberitahu BeritaBenar semasa dihubungi dari Washington DC lewat malam Khamis berkata, selepas tidak berpuas hati mendengar beberapa kali bunyi kuat, beliau melihat melalui tingkap tingkat 16 pejabatnya dan mendapati orang ramai bertempiaran di sana sini untuk menyelamatkan diri.

“Saya tertanya-tanya pada diri sendiri dan kemudiannya menghubungi beberapa rakan media lain, dan dimaklumkan bahawa berlakunya serangan bom…sebelum meninggalkan pejabat untuk ‘menyiasat’ mengenai kejadian itu, saya sempat memaklumkan ibupejabat di Kuala Lumpur mengenai kejadian ini,” tambah beliau.

Azeman turut menceritakan pengalaman memberanikan diri pergi ke tempat kejadian dan melihat orang ramai panik, menangis, bergetar badan kerana ketakutan selain melihat mangsa-mangsa yang cedera dan mayat di jalan.

“Polis Indonesia menutup hampir kesemua jalan serta tidak membenarkan sesiapa melintasi sekitar kawasan kejadian… Dalam keadaan sedemikian juga ada orang yang cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan menjerit ‘lari, lari’ dan ia sekaligus mewujudkan keadaan panik, walaupun tiada apa yang berlaku,” tambahnya lagi.

Azeman juga memaklumkan BeritaBenar bahawa kawasan sekitar Jalan Sabang, yang sering menjadi kunjungan orang ramai untuk menikmati pelbagai juadah pada waktu malam, menjadi lengang kerana kesemua kedai ditutup selepas kejadian awal pagi itu.

‘Risikan militan’

Memberi reaksi mengenai kejadian di Jakarta itu, Pensyarah Kriminologi di Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P. Sundramoorthy berkata, serangan ini menunjukkan militan IS sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat mereka dengan cara menimbulkan ketakutan dan melakukan kerosakan di negara-negara yang telah mengambil langkah luar biasa untuk menghalang ancaman keganasan.

“Hakikat bahawa kumpulan militan masih mampu menembusi zon kawalan dan melancarkan serangan adalah sesuatu yang mengejutkan selepas pelbagai usaha diambil untuk membendung ancaman mereka,” katanya kepada BeritaBenar lewat malam Khamis.

“Ini menunjukkan yang kumpulan pengganas ini mempunyai rangkaian perisikan yang amat berkesan sehingga mereka mampu menemui kepincangan dalam sistem kawalan keselamatan dan mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa,”

Katanya, serangan militan IS seperti di Indonesia dan Thailand perlu dilihat dengan amat serius biarpun pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan bahawa keadaan adalah selamat.

Katanya, walaupun serangan militan itu membawa kemusnahan dan pengorbanan nyawa yang tidak berdosa, semua pihak perlu melihat senario itu sebagai ancaman yang amat membimbangkan.

“Adalah jelas militan IS mensasarkan tempat-tempat yang mempunyai nilai simbolik kepada masyarakat, seperti yang berlaku di Istanbul dan Bangkok serta Jakarta - untuk menerapkan ketakutan kepada masyarakat dengan menjalankan serangan ke atas kawasan-kawasan yang sepatutnya mendapat kawalan keselamatan,” tambah beliau.

Katanya, kerjasama di antara pertubuhan-pertubuhan  masyarakat amat penting pada waktu ini.

Dua bulan lepas, Indonesia telah meningkatkan keselamatan di lapangan terbangnya selepas menerima ancaman yang ditujukan kepada salah sebuah lapangan terbang di Jakarta. Risikan polis negara itu mendapati ada rancangan keganasan oleh beberapa kumpulan, termasuk serangan bunuh diri semasa sambutan Tahun Baru.

Lebih 514 warga Indonesia dipercayai berada di Syria dan Iraq berjuang sebagai anggota militan IS manakala lebih 1,000 orang dipercayai menyokong kumpulan itu dari seluruh negara berkenaan.


S. Adie Zul turut menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.