Tebusan Rakyat Malaysia Meninggal Dunia di Hospital Filipina

Zam Yusa & Hadi Azmi
2019.04.09
Kota Kinabalu & Kuala Lumpur, Malaysia
190409-PH-hostage-1000.JPG Heri Ardiansyah, tebusan rakyat Indonesia semasa diselamatkan oleh Tentera Laut Filipina di wilayah Sulu, selatan Filipina, Sulu, 5 April 2019.
[Dikeluarkan Angkatan Tentera Filipina/AP]

Mangsa culik Jari Abdullah, seorang rakyat Malaysia yang cedera ditembak oleh kumpulan yang dikaitkan dengan militan Negara Islam (IS) di selatan Filipina, semasa cuba melarikan diri, meninggal dunia di sebuah hospital di bandar Zamboanga, Mindanao pada Selasa, demikian disahkan oleh pihak berkuasa Filipina.

Jurucakap Pemerintah Selatan Tentera Filipina, Kolonel Gerry Besana semasa dihubungi BeritaBenar mengesahkan yang Jari telah meninggal dunia di West Metro Medical Center, iaitu kira-kira 1,334 km [833 batu] dari selatan Manila, pada jam 1.17 petang Selasa waktu tempatan, selepas lima hari berjaya diselamatkan.

“Kematian Jari adalah disebabkan kecederaan teruk terkena tembakan oleh penculiknya semasa cuba melarikan diri, keluarganya, Konsul Jeneral Malaysia di Mindanao, pegawai dari pasukan pengawasan antarabangsa, ada bersama semasa beliau meninggal dunia,” kata Besana kepada BeritaBenar.

Kolonel Tentera Filipina itu juga menambah dengan berkata, “Keluarga Jari turut mengeluarkan arahan untuk membenarkan alat bantuan hayatnya dimatikan,”

Akhbar tempatan Malaysia, The Star pada Selasa turut melaporkan bahawa ibu kepada Jari, Zuana Laudioto berada bersama-samanya semasa beliau meninggal dunia dan telah memohon untuk tidak dibuat bedah-siasat keatas mayatnya itu kerana katanya, anaknya ‘sudah cukup terseksa’.

Isteri mangsa, Nadin Junianti Najiri walaubagaimanapun tidak bersama menaiki pesawat yang disediakan oleh Kementerian Luar Malaysia untuk membawa keluarga mangsa ke bandar Zamboanga pada hujung minggu lalu.

Jari seorang nelayan diselamatkan di Pulau Simisa, iaitu sebahagian daripada gugusan Kepulauan Sulu di wilayah selatan Filipina pada 4 April lepas, dalam satu operasi menyelamat oleh tentera Filipina.

Terdahulu itu berlaku kejadian tembak menembak antara Tentera Filipina dan anggota kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai diketuai oleh Najir Arik di pulau tersebut. Jari ditemui terbaring oleh Pasukan Marin Sulu Filipina berhampiran laluan keluar yang digunakan penculiknya.

Empat bulan sebelum itu, nelayan tersebut bersama dua lagi rakan warga Indonesia dilaporkan hilang pada 6 Dis di kawasan Terumbu Pegasus di timur perairan Sabah selepas bot mereka ditemukan dengan enjin masih hidup.

Siasatan kemudian menunjukkan bahawa kesemua mereka menjadi mangsa penculikan sekumpulan tujuh lelaki yang didakwa memecut ke arah Sulu, kata pihak berkuasa Filipina.

Mangsa culik warga Indonesia

Dalam pada itu, seorang warga Indonesia Heri Ardiansyah, yang diculik bersama Jari telah dipertemukan secara rasmi dengan wakil Republik Indonesia, Kolonel Sigit Himawan Sutanto di Manila selepas beliau diselamatkan oleh tentera Filipina.

Menurut Besana, Heri bersama rakan senegara Hariadin, telah melarikan diri sehari selepas Jari, dan berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Filipina di sekitar perairan Pulau Simusa.

“Hariadin bagaimanapun lemas ketika cuba menyelamatkan diri dengan Heri Ardiansyah selamat,” kata Besana lagi.

Mengulas mengenai kematian Jari, Ketua Pemerintah Selatan Tentera Filipina Leftenan Jeneral Arnel Dela Vega meluahkan rasa simpatinya terhadap anggota keluarga nelayan berkenaan.

“Kami memanjangkan rasa simpati kami kepada keluarga Abdullah [Jari]. Pasukan kami akan berusaha sedaya upaya untuk menewaskan kumpulan Abu Sayyaf dan membawa keadilan kepada semua mangsa keganasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Kumpulan militan Abu Sayyaf merupakan kumpulan kecil tetapi kejam berbanding beberapa kumpulan militan lain di selatan Filipina. Kumpulan itu juga dipercayai masih menahan sejumlah tebusan tempatan dan asing di wilayah selatan yang bergolak di negara itu.

Selain melakukan penculikan, kumpulan itu sering menjadi tajuk utama berita sepanjang dekad lalu kerana didakwa terlibat dalam pengeboman dan pemenggalan kepala di selatan Filipina.

Sepanjang tiga tahun lalu, militan Abu Sayyaf memenggal kepala dua rakyat Kanada dan seorang warganegara Jerman yang diculik secara berasingan, kata pegawai tentera.

Seorang pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, menjadi pemimpin IS di Asia Tenggara dan mengetuai kepungan di bandar Marawi yang terletak di selatan negara itu pada Mei 2017. Pengepungan itu membawa kepada pertempuran lima bulan dengan pasukan kerajaan yang menyebabkan 1,200 kehilangan nyawa, dengan kebanyakannya adalah anggota militan termasuk Hapilon.

Kumpulan Abu Sayyaf turut dikatakan bertanggungjawab terhadap insiden pengeboman kereta di Pulau Basilan, yang menyebabkan kira-kira 11 orang terbunuh tahun lepas.

Kumpulan itu juga dikaitkan dengan kejadian pembunuhan 23 orang selain menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera di sebuah gereja Katolik tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.