1MDB: Jasmine Loo, sekutu rapat Jho Low beri keterangan di mahkamah
2024.02.13
Kuala Lumpur
Keterangan seorang saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Najib Razak pada Selasa mendedahkan bagaimana ahli perniagaan yang kini dalam buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho dikatakan mempunyai pengaruh besar dalam syarikat dana 1MDB serta keatas bekas Perdana Menteri Malaysia itu.
Jasmine Loo Ai Swan, yang merupakan bekas penasihat undang-undang 1Malaysia Development Berhad dan pernah menjadi pelarian sejak 2015, mula memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-50 dalam perbicaraan rasuah terhadap Najib yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana pelaburan negara yang bermasalah itu.
Menurut wanita berkenaan, Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berkelakuan seolah-olah dirinya merupakan proksi kepada Najib yang merupakan pengerusi 1MDB ketika itu.
"Jho Low selalu menggunakan pengaruhnya sebagai orang yang rapat dengan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Kebanyakan tindakannya mahu kami melihat dirinya sebagai proksi kepada Najib Razak dan Pengerusi Lembaga Penasihat (CBOA) IMDB.
"Kebanyakan perkara-perkara beşar yang memerlukan kelulusan Perdana Menteri perlu dibincangkan dahulu dengan Jho Low sebelum dibawa kepada Najib," kata Loo semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Wanita itu yang merupakan antara sekutu rapat Jho Low memberitahu mahkamah yang beliau mula mengenali ahli perniagaan dalam buruan itu sejak Oktober 2008 semasa ditawarkan jawatan pengarah eksekutif undang-undang di syarikat UBG Berhad yang diterajui Jho Low selaku pengarah.
Loo menerima bayaran sebanyak kira-kira RM45,000 daripada UBG, termasuk elaun, dan berkhidmat dari 1 Januari 2009 sehingga April 2011 sebelum menyertai 1MDB pada Mei 2011.
'Top down approach'
Semasa memberikan keterangan pada Selasa, Loo memberikan butiran bagaimana 1MDB diuruskan dengan cara 'top down approach' bagi projek yang melibatkan pelaburan yang besar, di mana pengurusan syarikat hanya akan menjalankan projek selepas mendapat "restu" daripada perdana menteri.
Saksi itu berkata, 1MDB mempunyai amalan di mana pengerusi syarikat iaitu Najib akan menandatangani resolusi pekeliling para pengarah (DCR) terlebih dahulu sebelum ahli-ahli lembaga pengarah yang lain menandatanganinya.
Loo percaya ia adalah kerana 1MDB mempunyai terma khas di mana persetujuan perdana menteri adalah diperlukan untuk semua projek besar dan penting.
"Saya percaya ini adalah kerana terdapat satu terma khas dalam Memorandum & Articles of Association 1MDB (Artikel 117) dimana persetujuan Najib Razak sebagai perdana menteri diperlukan untuk projek yang besar dan penting yang akan membawa implikasi kewangan kepada kerajaan.
"Ia juga kerana Najib Razak adalah wakil pemegang saham tunggal 1MDB dan Ahli Lembaga Pengarah akan mengikut kehendak pemegang saham iaitu dalam kes 1MDB, Kementerian Kewangan yang Diperbadankan yang diwakili Najib Razak sebagai Menteri Kewangan," kata Loo kepada mahkamah.
Menurut saksi tersebut, Jho Low selalunya memainkan peranan sebagai orang yang akan mendapatkan tandatangan Najib, tidak seperti kelaziman syarikat-syarikat di mana tanggungjawab itu dibuat oleh setiausaha syarikat atau ketua pegawai eksekutif.
Loo juga memberitahu mahkamah yang beliau tidak mengetahui bagaimana Jho Low mendapat tandatangan Najib.
"Saya juga ingin menyatakan bahawa sepanjang saya berkhidmat di 1MDB, saya cuma berjumpa dengan Najib Razak di dalam acara atau mesyuarat berkaitan 1MDB secara beramai-ramai bersama pengurusan 1MDB tetapi saya tidak pernah bersemuka secara bersendirian atau berurusan terus dengan Datuk Seri Najib untuk apa-apa berkaitan syarikat.
"Adakalanya Jho Low akan meminta saya menyediakan dokumen syarikat yang memerlukan tandatangan Najib dan saya akan menyediakannya serta saya akan memaklumkan terlebih dahulu kepada Shahrol (CEO 1MDB Shahrol Azral Halmi) permintaan Jho Low tersebut. Setelah saya serahkan dokumen-dokumen tersebut, saya tidak tahu bagaimana Jho Low mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib," kata Loo.
Loo merupakan bekas rakan sekutu Jho Low dan antara beberapa individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sejak kes skandal 1MDB terbongkar pada 2015.
Beliau telah bersembunyi di luar negara sebelum ditahan polis Malaysia pada 7 Julai tahun lalu apabila menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur dengan dihadiri peguamnya.
Taktala Jho Low, sekutu-sekutu rapatnya dan anggota keluarga masih hidup dalam pelarian, Najib telah dihantar ke penjara pada Ogos 2022 selepas mahkamah tertinggi Malaysia mengekalkan sabitan jenayah terhadapnya atas kesalahan rasuah iaitu menyeleweng dana 1MDB.
Beliau menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang dipenjarakan, dengan beberapa kes lain yang terkait dengan 1MDB masih lagi berjalan di mahkamah.
Pada 2 Feb lepas, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa tempoh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, sekaligus menyaksikan bekas perdana menteri itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, lebih awal berbanding tarikh asal iaitu pada penghujung 2034.
Lembaga itu turut mengurangkan jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah iaitu daripada RM210 juta (AS$44 juta) kepada RM50 juta (AS$10.5 juta). Najib perlu membayar denda itu sebelum selesai menjalani hukuman penjaranya, atau berdepan tambahan tempoh pemenjaraan selama setahun.
Pihak pendakwaan di Malaysia dan Amerika Syarikat percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 billion telah diseleweng dari 1MDB, sekaligus menjadikannya sebagai “skandal kleptokrasi terburuk” di dunia.