Jata Negara: Malaysia Siasat Syarikat Penerbitan Menurut Akta Hasutan
2020.06.30
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa mengumumkan bahawa siasatan di bawah Akta Hasutan sedang dijalankan ke atas sebuah syarikat penerbitan tempatan yang mengeluarkan buku menggunakan ilustrasi Jata Negara yang diubah suai, dengan lebih 300 naskhah buku sudah dirampas daripada premis syarikat di Selangor itu.
Pada hari yang sama, eksekutif syarikat berkenaan juga membuat permohonan maaf kepada umum kerana menggunakan imej berkenaan untuk kulit buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia', yang dianggap sesetengah pihak sebagai satu penghinaan kepada negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Huzir Mohamad memberitahu satu sidang media pada petang Selasa bahawa mereka telah menerima sejumlah 32 laporan mengenai ilustrasi berkenaan, dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Terkini, pasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas telah menyerbu sebuah syarikat di Petaling Jaya pada jam 3 petang Selasa, dan mereka mendapati bahawa buku berkenaan telah dicetak sebanyak 1,000 naskhah sebelum ini.
"Kita sudah mengenalpasti syarikat yang mencetak itu. Sejumlah 313 naskhah yang masih disimpan oleh syarikat penerbitan buku itu telah dirampas," kata Huzir dalam sidang media yang diadakan di Ibupejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, polis juga telah mengenalpasti individu-individu yang terlibat di dalam merekacipta kulit buku itu dan sedang berusaha mengesan mereka.
Buku berkenaan mula dicetak dan dijual pada awal tahun ini menggunakan ilustrasi daripada sebuah lukisan yang dihasilkan seorang pelukis tempatan, yang mana lukisan itu menyerupai Jata Negara dengan kebanyakan bahagian asal telah diubahsuai. Antara pengubahsuaian yang dibuat adalah kemasukan imej seorang wanita dan seorang bayi, serta seekor buaya yang menggantikan bahagian moto negara.
Ia merupakan sebuah buku yang diterbitkan Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd, dan diolah oleh pengarang Kean Wong daripada kompilasi artikel-artikel yang pernah diterbitkan portal berita Malaysiakini.com dan New Mandala serta esei-esei baru mengenai masa depan Malaysia.
Berdasarkan laman web syarikat Silverfishbooks, Rebirth diberikan deskripsi sebagai sebuah buku yang menerokai kisah demokrasi negara sejak dua dekad lalu melalui gerakan-gerakan seperti Reformasi dan Bersih.
Buku berkenaan menjadi tumpuan kritikan sejak beberapa hari lalu apabila gambar kulit hadapannya dimuatnaik di media sosial oleh pihak yang mempersoalkan pengubahsuaian Jata Negara.
Susulan daripada itu, beberapa kumpulan serta individu termasuk ahli politik telah mengeluarkan kenyataan menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat menghasilkan buku itu.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan rasmi, menyatakan bahawa kerajaan Malaysia memandang serius penggunaan Jata Negara tanpa kebenaran.
"Kerajaan Malaysia memandang serius berhubung penyalahgunaan dan pengubahsuaian Jata Persekutuan oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran dan ia menjadi kesalahan di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963," kata kenyataan itu yang dikeluarkan pada Selasa.
Di bawah Seksyen 3(1) akta berkenaan, tiada sesiapa boleh menggunakan lambang rasmi kerajaan atau sebarang tiruan yang menyerupainya kecuali dengan kebenaran bertulis daripada menteri yang berkenaan. Sesiapa yang didapati bersalah di bawah undang-undang itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000(AS$233).
"Sehubungan itu, mana-mana pihak yang melanggar larangan penggunaan Jata Persekutuan boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 Seksyen 3 (1)," kata Jabatan Perdana Menteri.
Penerbit mohon maaf
Sementara itu, pengasas dan pengarah Gerakbudaya, Chong Ton Sin berkata kepada pemberita bahawa syarikat berkenaan tidak mempunyai niat untuk menghina Jata Negara dan ingin memohon maaf kepada mereka yang berasa tersinggung dengan kulit buku berkenaan.
Kata beliau, kulit hadapan buku itu adalah berdasarkan sebuah lukisan yang dihasilkan beberapa tahun lepas dan pernah dipamerkan secara terbuka dalam beberapa pameran awam, termasuk di Sarawak, dan ia menyebabkan mereka tidak menjangka bahawa imej berkenaan akan menjadi isu besar.
"Ia tidak disengajakan. Perkara ini bukan sesuatu yang kami lakukan untuk menghina Jata Negara atau menyinggung sesiapa.
"Jika kami telah membuatkan sesiapa berasa tersinggung atau kurang senang dengan penerbitan buku ini, saya ingin memohon maaf. Ia akan menjadi pengajaran buat kami untuk menjadi lebih sensitif di masa hadapan," kata Chong.
Beliau juga menyatakan bahawa akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan mereka.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Aysraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan media yang disiarkan melalui laman Facebook beliau pada Selasa berkata bahawa permohonan maaf oleh Chong tidak boleh diterima dengan mudah kerana membabitkan lambang kedaulatan negara, dan menggesa supaya tindakan tegas diambil pihak berkuasa.
"Harus diingat martabat dan maruah negara tidak sesekali boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya," katanya.
Penggunaan undang-undang keras
Sementara itu, sebuah organisasi yang memperjuangkan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pula mengkritik pengunaan Akta Hasutan bagi menyiasat karya satira seperti buku Rebirth itu, dan menyifatkan bahawa undang-undang berkenaan sudah lapuk serta menindas.
Penyelaras Suaram, Amir Abdul Hadi berkata undang-undang berkenaan digubal pada 1948 oleh penjajah British untuk digunakan terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan pemerintah dan ia sepatutnya sudah dihapuskan.
"Selain itu, adalah tiada merasakan sebarang masalah dengan buku berkenaan kerana apa-apa hasil seni, buku atau lukisan berbentuk satira seperti ini tidak harus disekat atau digunakan undang-undang seperti ini. Kalau kita lihat di negara-negara maju, benda seperti ini bukan satu lagi isu buat mereka.
"Saya merasakan bahawa kita kena meninggalkan budaya politik simbol dan slogan ini. Kami menggesa intimidasi ke atas Gerakbudaya dan penulis dihentikan segera," kata Amir kepada BeritaBenar.
Tambah beliau, budaya mengkritik patut dibiarkan berkembang, dan sebarang ketidaksetujuan sepatutnya dibincangkan secara ilmiah dan bukan dengan penggunaan undang-undang keras.