Pengarang buku guna ilustrasi Jata Negara dibebaskan selepas Polis rakam percakapan
2023.10.17
Kuala Lumpur

Pengarang buku yang diharamkan kerana menggunakan ilustrasi Jata Negara yang diubah suai pada kulit hadapan telah dibebaskan daripada tahanan selepas rakaman percakapanya diambil oleh pihak berkuasa, demikian menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Selasa.
Tangkapan terhadap Kean Wong, pengarang berusia 58 tahun itu dibuat pada Isnin, dikala Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikritik kerana dikatakan mengambil tindakan menghalang kebebasan bersuara.
Kean Wong, yang menyunting buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia', telah ditahan pada Isnin ketika cuba memperbaharui pasport beliau di sebuah pejabat Jabatan Imigresen di Selangor.
"Polis mengesahkan telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes penerbitan sebuah buku bertajuk Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia mengandungi imej yang menghina Jata Negara pada tahun 2020.
"Suspek berumur 58 tahun dipercayai menetap di Sidney, Australia, telah ditangkap di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, Selangor semasa memohon untuk memperbaharui pasport pada 16 Oktober 2023. Suspek telah dibebaskan pada 17 Oktober 2023 setelah tamat tempoh reman," kata Mohd Shuhaily dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan ibu pejabat polis Malaysia lewat petang Selasa.
Buku itu telah diharamkan tiga tahun lalu, selepas pihak berkuasa menerima pelbagai aduan dan laporan polis berhubung imej pada kulit depan yang dikatakan menghina negara.
Seorang pelukis tempatan menggunakan ilustrasi menyerupai Jata Negara yang telah dibuahsuai dan memasukan imej seorang wanita, bayi, dan seekor buaya menggantikan bahagian moto negara.
Polis kemudiannya telah melancarkan siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap syarikat tempatan Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd yang menerbitkan buku tersebut dan kemudiannya menyerbu sebuah premis di Petaling Jaya serta merampas lebih 300 naskhah buku berkenaan.
Keterangan daripada penerbit, pencetak buku dan pelukis telah diambil, tetapi Kean Wong tidak berjaya dikesan untuk membantu siasatan, demikian menurut laporan media tempatan pada waktu itu.
Tidak wajar
Dalam pada itu, peguam Ivan Teng yang mewakili Kean Wong mempersoalkan tindakan polis menahan anak guamnya semalaman, dan mendakwa semua proses yang dilakukan penyiasat sepatutnya boleh disiapkan semasa hari pengarang itu ditahan.
Tambahnya, Kean Wong juga tidak mungkin melarikan diri ke luar negara kerana beliau ditahan polis sebelum dapat memperbaharui pasportnya.
"Keluarga beliau juga berada di sini. Beliau akan memberikan kerjasama dan hadir ke balai polis untuk membantu siasatan tanpa perlu ditahan," kata Teng kepada BenarNews.
"Mereka (polis) hendak mengambil cap jari beliau dan merakam keterangannya selain mendapatkan maklumat dari telefonnya. Ini semua hanyalah kerja-kerja pentadbiran. Sepatutnya semua ini boleh diselesaikan semalam tanpa perlu menahan beliau," tambah peguam itu lagi.
Wathshlah Naidu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, pula menyifatkan siasatan ke atas Kean Wong itu sebagai satu pembaziran wang pembayar cukai dan dilakukan secara "berlebihan" kerana buku berkenaan diterbitkan tiga tahun lalu.
Tambahnya, siasatan kes berkenaan adalah berkisar terhadap ilustrasi muka depannya.
"Kes ini menunjukkan penggunaan kuasa secara sewenang-wenangnya, terutama sekali membabitkan undang-undang yang menekan.
"Kenapa beliau (Kean Wong) perlu ditahan ketika memberikan kerjasama kepada polis? Tahanan reman terhadap pengarang buku itu adalah sesuatu yang berlebihan," kata Naidu kepada BenarNews.
Aktivis tersebut turut meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar yang dikatakan sebagai sebuah kerajaan reformis "tetapi nampaknya memungkiri janji-janji mereka".
Beliau merujuk kepada keengganan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
"Ia menunjukkan kekangan berterusan terhadap hak rakyat," tambah Naidu.
Organisasi hak asasi manusia SUARAM pula menggesa supaya polis menghentikan siasatan mereka terhadap Kean Wong dengan serta merta.
Pengarah eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata polis perlu menunjukkan komitmen mereka kepada menegakkan hak rakyat yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.
"Walaupun polis mengeluarkan kenyataan bahawa Kean Wong telah dilepaskan dari tahanan, siasatan ke atas pengarang itu masih diteruskan.
"Tindakan pihak berkuasa dalam kes ini adalah berlebihan," kata beliau.
Buku Rebirth telah diolah oleh Kean Wong daripada kompilasi artikel-artikel yang pernah diterbitkan portal berita Malaysiakini.com dan New Mandala serta esei-esei baru mengenai masa depan Malaysia.
Berdasarkan laman web syarikat Silverfishbooks, Rebirth diberikan deskripsi sebagai sebuah buku yang menerokai kisah demokrasi negara sejak dua dekad lalu melalui gerakan-gerakan seperti Reformasi dan Bersih.