Bekas Anggota JI Dan KMM Bantu Anggota Militan Baru
2015.10.23
Pihak berkuasa Malaysia mendedahkan bahawa bekas tahanan Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) telah memberi bantuan kepada pejuang jihad yang direkrut dari Malaysia untuk ke Syria.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka juga bertanggungjawab menghubungkan pejuang jihad Malaysia dengan pejuang kumpulan Negara Islam (IS) serta beberapa kumpulan militan lain yang berpusat di Syria, seperti Jabhat Al
Nusrah (JAN) dan Ajnad Al Sham (AAS).
"Kumpulan itu juga bertanggungjawab mewujudkan hubungan antara rakyat Malaysia yang baru tiba dengan IS dan pertubuhan militan lain yang berpangkalan di Syria iaitu Jabhat Al Nusrah dan Ajnad Al Sham," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia (Bernama) pada Jumaat.
Jemaah Islamiyah, sebuah kumpulan militan di Asia Tenggara, bertanggungjawab melakukan pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 orang, pengeboman kereta Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang mengorbankan 12 orang, dan serangan berani mati di Bali pada 2005 yang mengorbankan 22 nyawa. Kebanyakan pelaku JI telah ditangkap dan dipenjarakan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Nur Jazlan berkata, perjalanan ke negara bergolak di Timur Tengah itu terjadi berikutan perkembangan di Iraq dan Syria.
“Perjalanan ahli kumpulan militan ke Syria adalah melalui laluan udara dari Kuala Lumpur ke Istanbul, diikuti dengan perjalanan darat sama ada dengan bas atau teksi ke Wilayah Hatay, sebelum mereka menyusup ke sempadan Turki/Syria dengan bantuan jurupandu perjalanan tempatan,” katanya
Bagaimanapun, laporan berita itu tidak menjelaskan sama ada saraf baru berkenaan ada di Malaysia.
Menurutnya, proses merekrut ahli militan menunjukkan mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ingin mengambil jalan mudah masuk ke Syurga, berbeza dengan langkah sebelum ini yang menyasarkan individu yang mempunyai pengetahuan mantap tentang agama Islam.
"Mereka termasuk penganggur dan penagih dadah. Individu lain yang ditangkap termasuk dari sektor perniagaan dan korporat, penjawat awam dan pekerja sektor swasta," katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia telah berjaya menyekat pemergian rakyatnya yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang jihad ke Syria dan Iraq untuk menyertai "Perang Suci" sejak pertengahan 2012.
"Setakat ini, seramai 128 individu yang dikaitkan dengan kegiatan ‘jihad’ di Iraq dan Syria telah ditahan mengikut undang-undang di Malaysia. Mereka yang ditangkap terdiri daripada 104 lelaki dan 24 wanita,” katanya.
Manakala itu, sejumlah 69 rakyat Malaysia telah ke Syria untuk menyertai perjuangan IS.
Nur Jazlan berkata Malaysia juga berjaya melemahkan kemampuan saraf militan hingga ke tahap minima berikutan pelaksanaan operasi keselamatan memerangi ancaman pengganas oleh pihak berkuasa.
"Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi ancaman pengganas dan mengambil tindakan lanjut untuk terus mengesan dan menggempur saki baki anggota saraf militan di negara itu,” katanya.
Dalam pada itu P. Sundramoorthy, pakar jenayah dan profesor di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang berkata, al-Qaeda mengembangkan peranannya di Malaysia menerusi JI sejak sekian lama, tetapi sekarang IS muncul sebagai satu ancaman baru kepada keselamatan negara.
"Sama seperti al-Qaeda, ideologi Negara Islam (IS) juga menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan negara, walaupun ramai di antara kita yang masih belum faham betapa seriusnya ancaman itu," kata Sundramoorthy kepada BeritaBenar.
‘Pelbagai anggota militan ditahan’
Nur Jazlan berkata, Malaysia telah menangkap 391 ahli kumpulan militan yang menganggotai Al-Qaeda, Jemaah Islamiah (JI), Darul Islam, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kumpulan serpihan militan lain sejak 2001.
Beliau berkata, selain itu, Malaysia turut menahan 27 orang yang disyaki menjadi anggota Pergerakan Islam Turkistan Timur (ETIM) di Malaysia sejak 2011. Seramai 23 daripada mereka telah dihantar pulang ke China, Kanada dan Turki.
"Empat individu lagi masih disiasat termasuk dua rakyat Malaysia, kerana kemungkinan mempunyai kaitan dengan kegiatan ETIM. Bagaimanapun, setakat ini, mereka didapati tidak mempunyai kaitan dengan kejadian letupan bom di Bangkok pada 17 Ogos," katanya.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 60 bulan terhadap seorang ibu tunggal yang memuat naik gambar dan cerita perjuangan seorang daripada anaknya di Syria.
Azizah Md Yusof, 55 yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan cuba memberi sokongan kepada perbuatan pengganas melalui laman sosial, dijatuhi 30 bulan penjara bagi setiap satu pertuduhan itu.
‘Hukuman serentak’
Bagaimanapun, Hakim Kamardin Hashim memerintahkannya menjalani hukuman itu serentak bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 28 April tahun lalu.
Ketika menjatuhkan hukuman, Kamardin berkata, mahkamah mengambil kira pelbagai faktor termasuk mengutamakan kepentingan awam serta kesan kesalahan yang dilakukannya terhadap masyarakat.
"Mahkamah memandang serius kesalahan pengganas, terutama yang melibatkan laman sosial yang digunakan sebagai pengantara untuk menyebarkan fahaman atau ideologi 'Fisabillillah'.
"Apabila laman sosial digunakan untuk tujuan itu, ia akan menyebabkan remaja mudah terjebak untuk mengikuti gerakan mempromosi kegiatan IS di Malaysia," kata Kamardin.
Beliau berkata mahkamah turut mengambil kira rayuan tertuduh berhubung masalah kehidupan dan kesihatannya selepas ditinggalkan suami dan perlu membesarkan lima anak seorang diri.
Pada 23 Mei tahun lalu, ibu kepada lima anak itu didakwa cuba memberi sokongan kepada perbuatan pengganas melalui dua akaun dalam laman sosial Facebook iaitu 'Wan Jah' dan 'Azizah Yusof'.
Azizah didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira 2 petang 24 April 2014. Pada 4 Jun tahun lalu, Azizah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun sama yang membawa hukuman penjara setengah daripada hukuman lama iaitu 30 tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun dan Jasmee Hameeza Jaafar memohon tertuduh dikenakan hukuman berat untuk memberi mesej tentang keburukan pengganas bukan sahaja terhadap tertuduh bahkan kepada masyarakat luar.
Difahamkan, anak Azizah iaitu Fadzly Ariff Zainal Ariff, 31, adalah antara empat rakyat Malaysia yang terbunuh sebagai pengebom bunuh diri untuk kumpulan militan (IS) di Iraq.