Follow us

Polis Malaysia Nafi Transgender Mati Terbunuh Akibat Jenayah Kebencian

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-01-02
E-mel
Komen
Share
Wanita transgender bercakap antara satu sama lain sambil menyemak Laporan 'Human Rights Watch' mengenai penghinaan terhadap golongan itu di Kuala Lumpur, 25 September 2014.
Wanita transgender bercakap antara satu sama lain sambil menyemak Laporan 'Human Rights Watch' mengenai penghinaan terhadap golongan itu di Kuala Lumpur, 25 September 2014.
[AFP]

Kematian seorang lagi ‘transgender’ dalam tempoh tiga minggu di sebuah bandar kecil di Klang, Selangor pada tahun baru, tidak ada kaitan dengan jenayah kebencian sebagai motif pembunuhan, menurut pihak berkuasa.

“Siasatan menunjukkan bahawa kematian mangsa tiada kaitan dengan jenayah kebencian terhadap golongan LGBT(Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender),” kata Ketua Polis Daerah Klang Shamsul Amar Ramli pada Rabu.

Katanya, seorang transgender berasal dari Sabah dan berusia 39 tahun, meninggal dalam perjalanan ke hospital selepas dia didakwa melompat keluar dari kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang turut memukulnya sebelum itu.

Kes berkenaan merupakan kes kedua di Klang, yang terletak kira-kira 28.5 batu dari Kuala Lumpur, melibatkan kematian transgender dengan motif kejadian yang sama iaitu dipercayai mencuri telefon bimbit.

Sejak awal tahun 2018 sudah tiga kes melibatkan mangsa transgender yang dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Menurut Shamsul Amar lagi, lelaki tersebut dikatakan telah memaksa wanita trans itu memasuki kenderaannya selepas mengesyaki mangsa telah mencuri telefon bimbitnya.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan menunjukkan punca kematian adalah kerana kesan kecederaan serius di bahagian kepala akibat jatuh dari kereta selain mengalami kecederaan lain di beberapa bahagian badan yang lain.

Siasatan juga mendapati mangsa yang mati mempunyai tiga rekod jenayah,” tambah Ketua Polis Daerah Klang itu tanpa mengulas lanjut mengenai tiga rekod jenayah itu.

Shamsul berkata seorang lelaki dari Klang berusia 55 tahun telah ditahan beberapa jam selepas kejadian untuk membantu siasatan berkaitan kejadian tersebut dan kes mencuri telefon bimbit.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada 12 Disember lepas,sekumpulan lelaki di Klang telah memukul seorang transgender, juga dari Sabah, sehingga menyebabkan kematiannya.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami keretakan pada tengkorak, pendarahan otak dan turut mengalami 32 jenis kecederaan yang lain di badan.

Punca kematian disahkan kerana kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh objek tumpul.

Polis telah menahan empat lelaki dan mendakwa mereka di mahkamah atas kesalahan membunuh.

Laksana undang-undang jenayah kebencian

Aktivis transgender Nisha Ayub pada 17 Disember seperti dilaporkan agensi berita Reuters berkata kejadian pembunuhan lima hari sebelum itu adalah jenayah berbentuk kebencian.

“Ini semua adalah kerana kebencian,” kata beliau sambil menambah suspek tidak akan berkelakuan sebegitu ganas jika mangsa bukan seorang transgender merujuk kepada kejadian pada 12 Disember itu.

Semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu, Nisha berkata kejadian terbaru menunjukkan bahawa kerajaan perlu melaksanakan undang-undang untuk melindungi individu dari jenayah kebencian berdasarkan identiti individu,

Nisha, yang pernah menjadi mangsa jenayah kebencian kerana orientasi seksualnya berkata, insiden-insiden seperti itu amat membimbangkan kerana komuniti transgender seringkali menjadi sasaran dan terdedah kepada pelbagai bentuk keganasan.

“Saya meminta supaya kerajaan melihat isu transgender ini bukan dari segi identiti semata-mata tetapi sebagai manusia yang juga layak untuk dilindungi dan diberi peluang yang sama rata dengan yang lain.

“Sangat membimbangkan melihat komuniti transgender menjadi sasaran. Kita perlu menghentikan trend ini,” kata Nisha.

Aktivis LGBT, S. Thilaga dalam respon terhadap kejadian terbaru melibatkan mangsa transgender di Klang mahu pihak berkuasa lebih berinteraksi dengan komuniti di kawasan panas seperti di Klang yang mangsanya terdiri daripada transgender dengan membuat garis panduan serta menganalisa trend tersebut dengan lebih teliti.







Lihat Laman Penuh