PM Jepun perkukuh hubungan dengan Asia Tenggara di tengah ketegangan China, kembalinya Trump
2025.01.13
Manila, Filipina

Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba memberi tumpuan untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dan ekonomi dengan Asia Tenggara semasa lawatan serantau selama empat hari, diakhiri dengan perbincangan bersama rakan sejawatannya dari Filipina dan AS mengenai tingkah laku maritim Beijing yang "berbahaya".
Dengan melawat Malaysia – Pengerusi ASEAN 2025 – dan Indonesia untuk lawatan pertama ke Asia Tenggara sebagai Perdana Menteri, Ishiba berusaha untuk menunjukkan bahawa Tokyo bersedia menjadi kuasa yang perlu diberi perhatian di tengah persaingan serantau dengan China dan persediaan Donald Trump untuk kembali ke Rumah Putih, kata penganalisis.
Lawatan Ishiba bertujuan untuk “memberi keyakinan” kepada sekutu-sekutu di rantau itu semasa peralihan politik di AS, kata pakar keselamatan Filipina, Sherwin Ona. Menteri Luar Jepun dijangka turut mengunjungi Manila pada minggu ini.
“Saya percaya ini adalah mesej yang kuat kepada China mengenai pengukuhan kerjasama antara negara-negara di rantaian pulau pertama,” kata Ona kepada BenarNews.
Gambar diambil dari rakaman video menunjukkan Presiden AS Joe Biden (bawah), Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba (atas kiri) dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. (atas kanan) semasa panggilan telefon trilateral mereka, 13 Januari 2025. [Pejabat Komunikasi Presiden Filipina (PCO) melalui AFP]
Pada Isnin, Ishiba menyertai Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. dan Presiden AS yang akan mengakhiri perkhidmatan, Joe Biden dalam panggilan telefon tiga hala di mana mereka membincangkan mengenai keselamatan serantau dan “kerjasama berterusan” antara ketiga-tiga negara berikutan ketegangan dengan Beijing di Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Manila dan Beijing, dua pihak yang bersaing menuntut hak di laut tersebut baru-baru ini terlibat dalam konfrontasi berisiko tinggi di perairan yang dipertikaikan. Tokyo pula menghadapi cabaran wilayah yang berbeza daripada Beijing di Laut China Timur.
Panggilan tersebut berlangsung sembilan bulan selepas Marcos, Biden dan Fumio Kishida – pendahulu Ishiba – bertemu untuk sidang kemuncak trilateral di Rumah Putih.
"Ketiga-tiga pemimpin membincangkan isu keselamatan maritim tiga hala dan kerjasama ekonomi serta tingkah laku berbahaya dan tidak sah China di Laut China Selatan," kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga pemimpin bersetuju mengenai tentang kepentingan melakukan penyelarasan berterusan untuk memajukan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka," tambah kenyataan itu.
Ishiba menekankan tentang kepentingan memperdalam “kerjasama trilateral dalam pelbagai bidang,” manakala Marcos berkata “kemajuan yang substansial telah dicapai dalam melaksanakan kerjasama dua hala dan trilateral dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut Istana Presiden Filipina.
Biden yang akan meninggalkan jawatannya pada minggu depan memuji Marcos atas tindak balasnya terhadap "aktiviti agresif dan paksaan China di Laut China Selatan.”
"Saya optimis bahawa pengganti saya juga akan melihat nilai dalam meneruskan perkongsian ini dan ia disusun dengan cara yang betul," kata Biden mengenai pakatan trilateral itu.
Presiden dipilih Donald Trump dijadual mengangkat sumpah pada 20 Januari.
Sidang telefon pada Isnin itu berlangsung hanya beberapa jam sebelum Filipina meminta China menghentikan "tindakan yang meningkatkan ketegangan" di Scarborough Shoal di Laut China Selatan dan negara itu telah mengemukakan bantahan baharu terhadap kehadiran kapal-kapal China di perairan zon ekonomi eksklusifnya.
Sebuah kapal Pengawal Pantai China (kanan) melepaskan tembakan meriam air terhadap kapal Perikanan dan Sumber Laut Filipina, BRP Datu Pagbuaya (kiri) berhampiran Scarborough Shoal di Laut China Selatan, 4 Disember 2024. [Pasukan Tugas Nasional bagi Barat Laut Filipina (NTF-WPS) melalui AFP]
Bulan ini, China telah menghantar dua kapal pengawal pantainya ke Scarborough Shoal yang terletak dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Manila tetapi berada di bawah kawalan de facto Beijing.
“Tindakan peningkatan ketegangan oleh kapal dan pesawat China ini mengabaikan undang-undang Filipina dan antarabangsa,” kata Majlis Maritim Nasional Filipina dalam satu kenyataan.
China bertegas bahawa Scarborough Shoal adalah sebahagian daripada wilayahnya.
"Kedaulatan dan hak-hak China di Laut China Selatan... berasaskan sejarah dan undang-undang dan konsisten dengan undang-undang serta amalan antarabangsa,” kata Guo Jiakun, jurucakap Kementerian Luar Beijing pada Isnin.
Indonesia, Malaysia dan ASEAN
Beberapa hari sebelum sidang telefon tiga negara, Ishiba melawat Malaysia dan Indonesia untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan pertahanan.
Malaysia juga terlibat dalam pertikaian Laut China Selatan tetapi memilih untuk berunding tanpa berkonfrontasi dengan China. Indonesia, walaupun bukan pihak dalam pertikaian Laut China Selatan telah menentang pencerobohan China ke dalam perairan EEZnya di utara Kepulauan Natuna.
Malaysia baru sahaja mengambil alih tugas sebagai pengerusi ASEAN 2025 manakala Indonesia adalah negara dan ekonomi terbesar di rantau itu.
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba (kiri) dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto memeriksa pasukan kehormatan semasa majlis sambutan ketika pertemuan mereka di Istana Presiden di Bogor, Indonesia, 11 Januari 2025. [Ajeng Dinar Ulfiana/Reuters]
Pada Sabtu, Ishiba dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto bersetuju mengenai beberapa inisiatif kerjasama ekonomi dan pertahanan, dengan Tokyo berjanji untuk menyediakan “kapal rondaan laju” untuk meningkatkan pertahanan maritim Jakarta.
Kedua-dua pemimpin tidak menyebut China secara langsung.
"Indonesia berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara dan blok ekonomi, menyumbang kepada iklim yang mengurangkan ketegangan antara kuasa besar," kata Prabowo dalam satu kenyataan.
Sementara di Kuala Lumpur pada Jumaat, Ishiba membincangkan isu keselamatan serantau dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.
Walaupun perdagangan dan pelaburan menjadi agenda utama, penganalisis berkata lawatan Ishiba juga bertujuan untuk mendapatkan sokongan terhadap China daripada Malaysia, pengerusi ASEAN yang baharu.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia mempunyai keupayaan untuk menetapkan agenda dan menentukan sama ada rantau itu lebih dekat dengan China atau Amerika Syarikat,” kata Azmi Hassan, felo kanan di Akademi Nusantara untuk Penyelidikan Strategik, kepada BenarNews.
“Peranan ini sangat penting dalam landskap geostrategik semasa,” katanya. “Saya melihat Jepun sebagai negara yang boleh mengehadkan atau mengurangkan pengaruh China di rantau Asia-Pasifik, terutamanya di Asia Tenggara.”
Menurut Azmi, pentadbiran Trump yang akan bermula tidak lama lagi di Washington berkemungkinan akan “memberi perhatian yang minimum” kepada Asia Tenggara.
“Jepun perlu masuk campur, sama ada dalam hubungan ekonomi, keselamatan atau hubungan diplomatik dua hala dengan negara-negara ASEAN. Malaysia, sebagai negara utama di rantau itu, boleh menetapkan nada untuk organisasi ini – sama ada untuk lebih selaras dengan Amerika Syarikat atau cenderung kepada China,” kata Azmi.
Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur dan Pizaro Gozali Idrus di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.