Asia Tenggara: Jepun Beralih Kepada Tenaga Bersih, China Tingkat Pelaburan Arang Batu

Nithin Coca
2021-06-25
Share
Asia Tenggara: Jepun Beralih Kepada Tenaga Bersih, China Tingkat Pelaburan Arang Batu Pekerja sebuah syarikat ladang solar sedang bertugas di antara panel yang terdapat dalam ladang tersebut di wilayah Nakorn Ratchasima, Thailand, yang kini meningkatkan usahanya untuk mempelbagaikan sumber tenaga dan beralih daripada arang batu.
[Reuters]

Jepun melancarkan dana sebanyak AS$10 bilion untuk mempromosikan penggunaan tenaga bersih di Asia Tenggara, di tengah-tengah peningkatan petunjuk bahawa ekonomi ketiga terbesar di dunia itu kian beralih daripada pelaburan penjanaan kuasa berasaskan arang batu, yang sebaliknya giat dipromosikan oleh pesaing strategik utamanya di rantau itu - China.

Inisiatif Peralihan Tenaga Asia atau Asia Energy Transition Initiative (AETI), yang dilancarkan oleh Kementerian Alam Sekitar, Perdagangan dan Industri Jepun pada penghujung Mei, bertujuan membolehkan lebih banyak inovasi dan pelaburan berkaitan tenaga yang cekap, diperbaharui dan alternatif bagi loji janakuasa arang batu.

"Jepun akan mendorong transformasi tenaga yang pragmatik dengan menggunakan semua bahan api dan teknologi supaya rantau ASEAN dapat mencapai pertumbuhan ekonomi dan peneutralan karbon pada masa yang sama,” kata menteri ekonomi, perdagangan dan kewangan Jepun, Hiroshi Kajiyama, dalam sidang media pada pertengahan Jun.

Hiroshi membentangkan perancangan itu pada 21 Jun semasa menyertai mesyuarat khas menteri-menteri tenaga Asia Tenggara, yang menyambut baik inisiatif berkenaan dan "sokongan meluasnya kepada usaha peralihan tenaga di ASEAN," menurut pernyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat secara maya itu.

"Terdapat peralihan seismik dalam dasar tenaga Jepun," kata Tim Buckley yang merupakan penganalisis kewangan tenaga yang berpusat di Australia bagi Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan.

"ASEAN adalah pasaran sempurna yang bakal memperoleh manfaat ini," katanya dengan merujuk kepada Persatuan Negara-negara Asia Tenggara yang dianggotai 10 negara. "Ia mempunyai unjuran pertumbuhan permintaan ekonomi dan tenaga yang tertinggi di dunia. "

Jepun dan China, ekonomi kedua terbesar di dunia, merupakan dua pelabur tenaga terbesar di Asia Tenggara, yang amat bergantung kepada arang batu.

China, Jepun dan Korea Selatan bertanggungjawab bagi 90 peratus daripada semua pembiayaan semasa dan berterusan untuk loji arang batu di Asia Tenggara dengan melabur $77.2 bilion sejak 2010, menurut institusi ekonomi tenaga itu serta laporan Greenpeace Jepun.

Rantau itu menyaksikan permintaan elektrik meningkat pada kadar 6 peratus setahun dengan loji janakuasa arang batu merupakan sumber yang paling pesat berkembang. Pada masa ini, arang batu menyumbang sebanyak 56 peratus daripada penjanaan elektrik di Indonesia, 34.3 peratus di Vietnam dan 29.3 peratus di Kemboja.

Projek-projek utama yang dibiayai oleh institusi kewangan Jepun termasuklah loji janakuasa arang baru 1,200 megawatt Vung Ang-2 di Vietnam dan loji janakuasa arang batu 660 megawatt Cirebon di Indonesia, yang menyaksikan berlakunya demonstrasi bantahan berikutan kesannya terhadap ekosistem paya bakau dan marin pantai berdekatan.

210605-MY-Inside-Solar1.jpg

Sebuah loji janakuasa arang batu dapat dilihat di belakang sebuah kilang di bandar Baotou, Wilayah Autonomi Mongolia di China. [Reuters]

Pengumuman beralih daripada arang batu

Namun sejak setahun lalu, beberapa bank utama Jepun termasuk Japan Bank for International Cooperation dan MUFG serta syarikat perdagangan Sumitomo telah membuat pengumuman mengenai peralihan daripada arang batu, yang akan mengehadkan pelaburan arang batu pada masa depan. Inisiatif Peralihan Tenaga Asia dan dana baru itu merupakan petunjuk bahawa Jepun bukan sekadar merancang untuk beralih daripada penggunaan arang batu malah memberi alternatif kepada negara-negara ASEAN berbanding pelaburan arang batu China.

Romain Zissler yang merupakan penyelidik kanan di Institut Tenaga Diperbaharui yang berpusat di Jepun, menggambarkan perkembangan itu sebagai "positif." Beliau melihat potensi kepakaran Jepun dalam kecekapan tenaga, hidrogen dan integrasi grid. “Jepun boleh memainkan peranan besar dalam langkah penyahkarbonan di Tenggara Asia. "

Dengan Korea Selatan juga meneroka peralihan daripada pembiayaan arang batu di luar negara, China akan menjadi satu-satunya pembiaya loji janakuasa arang batu dan pengimport utama bahan api fosil dari rantau itu termasuk arang batu Indonesia dan petroleum Malaysia.

China telah melabur berbilion-bilion dalam projek arang batu dan perindustrian karbon tinggi di Asia Tenggara menerusi inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) yang merupakan strategi pembangunan infrastruktur globalnya yang dilaksanakan mulai 2013. Tetapi, negara itu membuat pelaburan yang sedikit untuk tenaga bersih seperti solar dan angina, yang masih belum berkembang di rantau berkenaan.

“Di peringkat global, ASEAN ketinggalan jauh dalam mengembangkan tenaga diperbaharui. Gabungkannya dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, dan pelepasan gas rumah hijau yang agresif," kata Buckley sambil menarik perhatian kepada kewujudan banyak pembiayaan untuk arang batu, kurangnya standard alam sekitar serta pasaran serantau yang lemah bagi tenaga diperbaharui.

Buckley melihat adanya hubungan langsung di antara perluasan terhad solar dan angin di seluruh Asia Tenggara dan pelaburan bahan api fosil China, Jepun dan Korea. "Sekiranya anda mahu melakukan tenaga diperbaharui, anda perlu bersaing dengan arang batu negara luar yang bersubsidi," kata Buckley. “Sebelum 2020, tiada contoh bagi pelaburan besar dalam tenaga diperbaharui di mana-mana pun dalam ASEAN. "

210605-MY-Inside-Solar2.jpg

Kapal tangka Al Hamra yang membawa LNG atau Gas Asli Cecair Liberia tiba di sebuah pelabuhan di Yokohama, barat daya Tokyo. [AP]

Bendung pelepasan

Pakar-pakar menyuarakan kebimbangan bahawa pelaburan berterusan China dalam loji janakuasa arang batu, dengan kebanyakannya dibina dengan pembayaran yang dijamin dan jangka hayat operasi di antara dua hingga empat dekad, boleh meyebabkan pelepasan gas rumah hijau berterusan dan membawa cabaran saingan bagi tenaga diperbaharui.

Terdapat petunjuk berhubung langka peralihan tetapi ia bukan kerana keputusan yang dibuat di Beijing. Laporan yang dikeluarkan awal bulan ini oleh Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) mendapati bahawa projek-projek yang ditangguhkan atau dibatalkan kerana masalah ekonomi dan kebimbangan alam sekitar memberi kesan kepada projek-projek arang batu yang dibiayai China di Asia Tenggara, dan pemacu utamanya adalah domestik.

"[Pembatalan projek ini] lebih banyak didorong oleh negara penerima berbanding dengan China yang keberatan menghentikan pembiayaan arang batu,” kata Isabella Suarez yang merupakan penganalisis tenaga di Filipina bagi CREA.

Tetapi, ini belum cukup untuk memenuhi matlamat iklim yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris, yang bertujuan mengekalkan kenaikan suhu global di bawah 2 darjah Celsius. Setakat ini, Asia Tenggara masih ketinggalan berbanding dengan rantau-rantau lain dalam usaha membendung pelepasan.

Walaupun bertahun-tahun retorik mengenai penghijauan OBOR, arang batu tetap menjadi tumpuan pelabur China di luar negara terutamanya di Asia Tenggara.

Laporan International Institute of Green Finance yang dikeluarkan pada Januari mendapati walaupun adanya penurunan keseluruhan dalam pelaburan bahan api fosil di bawah OBOR, namun peruntukan bagi arang batu kekal stabil dan belum ada pertumbuhan dalam pelaburan bagi solar dan angin.

Suarez berharap dana penyahkarbonan Jepun serta dana Build Back Better yang menumpukan kepada iklim, yang diumumkan pada sidang kemuncak negara-negara perindustrian G7 pada Jun - dengan matlamat menyaingi OBOR - boleh mendorong China untuk mempertimbangkan semula kesan alam sekitar dan iklim di negara-negara Asia Tenggara yang terdapat banyak loji arang batu yang dibiayainya.

Beliau berkata terdapat kemungkinan bahawa usaha-usaha Jepun dan G7 untuk menyaingi pelaburan OBOR "boleh memberi tekanan" bagi memaksa China untuk mengeluarkan garis panduan mengenai penghijauan program Satu Jalur, Satu Laluan negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh