Mahkamah Tinggi perintah Jho Low, bapanya dihukum penjara, langgar injunksi Mareva

Anak dan bapa dalam buruan itu telah menghina mahkamah dengan tidak hadir mahupun menghantar peguam.
Noah Lee
2022.10.17
Kuala Lumpur
Mahkamah Tinggi perintah Jho Low, bapanya dihukum penjara, langgar injunksi Mareva Model Gigi Hadid menyapa mesra pembiaya kewangan rakyat Malaysia, Low Taek Jho, di sebuah majlis amal di Bandaraya New York, 20 Okt 2014.
[AFP]

Sebuah Mahkamah Tinggi Malaysia pada Isnin mengarahkan supaya ahli perniagaan Low Taek Jho dan bapanya Larry Low Hock Peng, kedua-duanya yang kini dalam buruan pihak berkuasa, dihukum penjara atas kesalahan menghina mahkamah selepas keduanya gagal mematuhi satu injunksi difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya untuk menghalang daripada melupuskan aset mereka di negara berkenaan.

Kedua beranak itu tidak hadir di mahkamah mahupun diwakili oleh peguam ketika mahkamah mendengar kes yang melibatkan perintah yang diperolehi oleh 1MDB supaya Jho Low serta bapanya dihalang daripada melupuskan aset-aset bernilai AS$1.03 bilion (RM4.84 bilion) dan AS$401.5 juta (RM1.88 bilion) di Malaysia.

Menurut laporan media tempatan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman penjara kepada Jho Low dan Larry Low selepas mereka didapati melanggar perintah injunksi Mareva yang dikeluarkan mahkamah pada 15 Mac lalu.

"Jho Low dan Larry Low dihukum penjara sehingga tindakan menghina mahkamah disingkirkan," kata peguam Siva Kumar Kanagasabai yang mewakili 1MDB, seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia - Bernama.

Injunksi Mavera adalah satu bentuk perintah mahkamah yang menghalang pihak defendan daripada melupuskan sebarang aset mereka sehingga sesuatu kes saman utama selesai sehingga peringkat terakhir di mahkamah.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilaporkan telah memfailkan saman berjumlah AS$3.8 bilion terhadap Jho Low, bapanya Larry Low, dan ibunya Goh Gaik Ewe, serta kakak dan adik lelaki ahli perniagaan itu dan seorang sekutunya.

Susulan daripada itu, syarikat dana pelaburan negara tersebut juga telah memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah bagi menghalang mereka daripada melupuskan sebarang aset di Malaysia.

Menurut akhbar Utusan Malaysia, selain perintah injunksi Mareva terhadap anak dan bapa itu, mahkamah juga mengeluarkan perintah mengehadkan pengeluaran wang mereka kepada hanya RM20,000 sebulan setiap seorang bagi menampung sara hidup dan perbelanjaan guaman.

Ekstradisi dengan China

Sementara itu, Menteri Undang-undang Malaysia Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat lepas memberitahu media bahawa usaha untuk membawa Jho Low pulang bukanlah sesuatu yang mudah kerana negara itu tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.

Kenyataan tersebut merupakan yang pertama oleh kerajaan Malaysia yang dibuat secara terbuka dengan mengakui bahawa Putrajaya percaya ahli perniagaan amat dikehendaki pihak berkuasa itu atas peranannya dalam skandal 1MDB bersembunyi di China.

"Jadi kita tidak boleh salahkan kerajaan daripada sudut ini kerana kita belum ada persetujuan dengan sesuatu negara tertentu.

"Kalau kita mohon pun, kalau China kata ini permohonan biasa diplomatik sahaja, dia boleh tidak mengendahkannya, jadi dalam keadaan sedemikian ini, ia mungkin menghalang pihak-pihak berkuasa kita seperti polis, Kementerian Dalam Negeri bertindak dalam soal sini," katanya seperti dipetik Bernama.

Wan Junaidi membuat kenyataan sedemikian selepas ditanya pemberita mengenai usaha Putrajaya untuk menangkap dan membawa pulang pembiaya kewangan yang melarikan diri dari Malaysia dan menjadi subjek pemburuan.

Jho Low berdepan dengan pertuduhan jenayah bukan saja di Malaysia, malah di Amerika Syarikat atas peranannya menggelapkan berbilion ringgit daripada 1MDB menerusi hubungannya dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang kini sedang merengkuk dalam penjara.

Kenyataan Wan Junaidi itu juga ekoran dakwaan dua penulis buku, Tom Wright dan Bradley Hope yang baru-baru ini membuat hantaran di laman sosial media mereka memaklumkan mengenai siasatan mereka yang mendapati Jho Low kini beroperasi di Shanghai, dan mempunyai pejabat beralamat di Pusat Dagangan Dunia Shanghai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.