Jho Low Hadapi Dakwaan Pengubahan Wang Haram Skandal 1MDB
2018.08.24
Kuala Lumpur, Malaysia
Ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, pada Jumaat didakwa di Kuala Lumpur atas pertuduhan mengubah wang haram menggunakan dana negara 1MDB, ketika sebuahlagi mahkamah meluluskan penjualan kapal layar mewah AS$250 juta yang disita pentadbiran Putrajaya.
Jho Low menghadapi tiga pertuduhan menerima dana, dan lima lagi tuduhan memindahkan dana berjumlah RM1 bilion (AS$261 juta), di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, kata para pegawai.
Selain itu, bapanya, ahli perniagaan, Larry Low Hock Peng, yang juga sedang diburu, didakwa memindahkan wang kepada anaknya di bawah aktayang sama, kata pihak berkuasa.
Jho Low telah dikenalpasti sebagai kawan rapat bekas Perdana Menteri Najib Razak yang mengasaskan dana 1MDB atau 1Malaysia Development Berhad
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sudah menjalankan siasatan terhadap syarikat 1MDB atas pelbagai kesalahan jenayah dan mengemukakan hasil penemuan kepada Peguam Negara.
"Pertuduhan itu dibuat di Mahkamah Putrajaya pada Jumaat dan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua mereka," kata Fuzi.
Beliau menambah bahawa polis akan meminta Interpol mengeluarkan Notis Merah bagi menjejaki, menangkap dan mengekstradisi mereka berdua.
Mengenai wang yang dikaitkan dengan Jho Low, satu transaksi sebanyak RM229 juta (AS$56 juta) telah diterima daripada akaun bapanya dari bank di Singapura yang digunakan oleh kedua bapa dan anak, mengikut pertuduhan tersebut.
Jho Low didakwa memindahkan RM802 juta (AS$196 juta) antara 7 Jan dan 3 Jun 2014, kepada akaun World View Ltd. yang telah dikenal pasti sebagai tabung pemegang amanah keluarga Low.
Jho Low enggan tunduk kepada 'perbicaraan tidak adil': peguam
Di satu prosiding berasingan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan dari Kumpulan 1MDB untuk menjual kapal layar itu.
Peguam Ong Chee Kwan memberitahu pemberita bahawa kerajaan ingin menjual kapal tersebut dengan segera kerana kos penyelenggaraan yang semakin meningkat. Rancangan adalah untuk menjualnya melalui lelongan awam atau perjanjian awam.
Ong berkata, nilainya akan berkurangan sekiranya kapal itu tidak dijual segera, kata Ong.
Ong meramalkan bahawa kapal layar itu akan dijual dalam satu atau dua bulan lagi. Pihak berkuasa Indonesia menyerahkan kapal layar itu, The Equanimity, yang kini berlabuh di Pelabuhan Klang, timur Kuala Lumpur, pada 7 Ogos lalu selepas merampasnya pada 28 Februari lalu ketika ditemui di perairan Bali.
"Pembeli akan mendapat pemilikan sepenuhnya. Tidak akan ada masalah dengan pemilik baru," katanya.
Sebelum ini, menteri kabinet, Sivarasa Rasiah berkata, kerajaan berharap untuk menjual Equanimity dengan harga RM500 juta (AS$122 juta) selepas soal milik diselesaikan.
Pengumuman itu dibuat selepas Jho Low, yang dianggap sebagai pemilik, gagal mengemukakan permohonan untuk mencabar penjualan kapal layar itu.
Sementara itu, penguam Low mengeluarkan kenyataan bahawa anak guamnya sedang mempertimbangkan pilihan yang terbaik baginya, tetapi enggan terlibat dalam perbicaraan yang tidak adil.
"Beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang mendapatinya bersalah sementara kepentingan peribadi mengatasi proses undang-undang.
Jelas bahawa Encik Low tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia oleh kerana kerajaan telah membuktikan bahawa mereka tidak menghormati kedaulatan undang-undang, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat oleh firma perundingan media di Australia.
Para pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi yang paling buruk setakat ini", dengan menarik perhatian bahawa lebih AS$400 juta (RM1.6 bilion) telah dicuri dari dana negara 1MDB menerusi pembelian hartanah di California, New York dan London. Antaranya sebuah kapal layar mewah, dan sebuah jet berharga AS$35 juta.
Najib telah dituduh melakukan jenayah pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB dan akan menghadapi perbicaraan pada Februari 2019. Dia kehilangan kuasa pada Mei lepas apabila gabungan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum kepada Pakatan Harapan yang telah berjanji untuk menyiasat skandal 1MDB.