Follow us

Malaysia Tahan Dalang Sindiket Pasport, Visa Palsu Warga Bangladesh

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-03-06
E-mel
Komen
Share
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] Mustafar Ali menunjukkan pasport yang dirampas dari sindiket penyeludupan manusia melibatkan lima buah negara dan Eropah di Ibu Pejabat JIM, Putrajaya, 6 Mac 2018.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] Mustafar Ali menunjukkan pasport yang dirampas dari sindiket penyeludupan manusia melibatkan lima buah negara dan Eropah di Ibu Pejabat JIM, Putrajaya, 6 Mac 2018.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia pada Selasa berjaya menumpaskan rangkaian sindiket penyeludupan manusia melibatkan lima buah negara dengan tertangkapnya 26 individu di sekitar Lembah Kelang dalam operasi khas pada Selasa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) , Mustafar Ali memberitahu, pihaknya berjaya menahan 26 orang termasuk ketua sindiket dari Bangladesh berusia 50 tahun yang menguruskan rangkaian penyeludupan manusia melibatkan negara seperti Bangladesh,  Pakistan, Indonesia,  Filipina, Malaysia dan Eropah sejak tahun 2005 lagi.

Mustafar berkata, ratusan gambar pasport dan gambar ukuran pasport ditemui dalam peralatan komputer dan dipercayai dihantar melalui email oleh rangkaian sindiket di luar negara dan juga oleh ejen-ejen pekerja asing tempatan secara persendirian.

"Pihak perisikan dari kedutaan-kedutaan luar negara juga telah berjaya mengesan penggunaan pasport antarabangsa Malaysia (PMA) yang dikendalikan oleh sindiket ini yang digunakan oleh warga Sri Lanka untuk masuk ke negara-negara Eropah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, ketua sindiket itu ditahan dalam satu operasi pada awal Selasa di rumahnya di Sri Petaling, Kuala Lumpur manakala pekerja dan `runner` yang mengurus serta mengatur penyeludupan manusia ini berjaya ditangkap dalam beberapa operasi sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Beliau memberitahu, JIM juga berjaya merampas sebanyak 136 pasport tulen dan palsu serta 87 pelekat visa palsu pelbagai negara, sejumlah cap imigresen palsu dan peralatan komputer.

Jelasnya, turut dirampas ialah pelekat visa Malaysia dan pelbagai negara termasuk negara Eropah, lesen memandu Singapura dan sijil pendidikan Bangladesh.

“Sindiket itu dipercayai beroperasi di Malaysia sejak 2005 menggunakan pasport atas pelbagai nama samaran dan kononnya menjalankan perniagaan, antaranya pengurusan perniagaan, perkhidmatan rundingan, restoran dan kontraktor,” ujar Mustafar lagi.

Ketua Pengarah JIM itu juga memberitahu, hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit mengenakan bayaran antara AS$5,000 dan AS$10,000 (kira-kira RM20,000 ke RM40,000) untuk mendapatkan pasport Eropah,” katanya.

“Sindiket ini mengenakan bayaran RM1,000 hingga RM3,000 untuk pelekat visa, dipercayai untuk warga asing melanjutkan tempoh mereka menetap di negara ini.

Katanya, sindiket ini juga akan menyediakan calon dan menguruskan kemasukan pekerja asing ke Malaysia dengan kadar RM5,000 hingga RM7,000 bagi setiap pekerja," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti haram 2001.

Pihak berkuasa Malaysia pada 12 Januari lepas berjaya membongkar satu lagi sindiket penyeludupan rakyat Bangladesh yang telah disenarai hitam untuk masuk semula ke negara itu melalui jalan laut dari Indonesia dengan tertangkapnya dalangnya serta 50 warga Bangladesh.

Mustafar berkata, serbuan dibuat selepas dalang sindiket itu, yang dikenali sebagai “Abang Bangla”, seorang rakyat Bangladesh yang berusia 43 tahun ditahan di Alam Megah, Shah Alam pada Jumaat pagi.

Lihat Laman Penuh