Penganalisis: Pilihan Raya Negeri Johor Mungkin Buka Laluan Awal Pilihan Raya Umum Malaysia

Jika UMNO yang memerintah menang di Johor, ia akan mencipta kemenangan dalam tiga pilihan raya negeri berturut-turut.
Muzliza Mustafa, Noah Lee & Nisha David
2022.01.24
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Penganalisis: Pilihan Raya Negeri Johor Mungkin Buka Laluan Awal Pilihan Raya Umum Malaysia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (berbaju biru), berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor di Istana Bukit Serene, 22 Jan 2022.
[Ihsan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui Facebook]


Parti UMNO, yang memerintah Malaysia, mungkin mengadakan pilihan raya umum lebih awal jika ia meraih kemenangan seterusnya dalam pilihan raya dewan undangan negeri Johor yang akan diadakan dalam tempoh dua bulan lagi, kata penganalisis.

Pertubuhan Melayu Bersatu Kebangsaan atau UMNO sudah pun mempunyai kelebihan di Johor, iaitu tempat kelahiran parti itu, dan kemenangan ketiga berturut-turut dalam pilihan raya negeri sejak November – selepas kemenangan di Melaka dan Sarawak – boleh memberi keberanian kepada UMNO untuk mengadakan pilihan raya umum, yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini hingga 2023, kata seorang pemerhati.

“Kemenangan di Johor sudah pasti akan terus memberi keyakinan kepada UMNO untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal. Terdapat momentum yang telah dibentuk sejak pilihan raya negeri Melaka,” kata Tunku Mohar Mokhtar, penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

"UMNO mungkin melihat ini sebagai peluang terbaik untuk ia kembali berkuasa" melalui pilihan raya, katanya.

UMNO dan gabungan Barisan Nasional (BN) kini mengetuai kerajaan yang tidak dipilih. Mereka mengalami kekalahan mengejut pada pilihan raya umum pada 2018. Tetapi pada Ogos lalu, mereka membentuk gabungan untuk merampas semula kuasa di peringkat nasional iaitu 17 bulan selepas kerajaan dipilih yang dipimpin Perdana Menteri Mahathir Mohamad tumbang.

Pada hujung minggu lalu, Sultan Johor berkenan mempersetujui keputusan menteri besar untuk membubarkan dewan undangan negeri itu.

UMNO, yang mengetuai kerajaan negeri berkenaan, mahu mengadakan pilihan raya negeri itu bagi menubuhkan kerajaan yang lebih stabil, kata bekas menteri besar Hasni Mohammad kepada media minggu lalu. Berikutan kematian seorang wakil rakyat, UMNO hanya kelebihan satu majoriti dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 56 kerusi itu.

Sejak kemenangan besar parti itu di Melaka pada November lalu, sebahagian daripada UMNO menggesa supaya diadakan pilihan raya umum. Gesaan semakin kuat selepas UMNO mudah mengekalkan kuasa dalam pilihan raya negeri Sarawak sebulan kemudian.

Tetapi tidak semua orang gembira dengan keputusan mengadakan pilihan raya negeri Johor setahun sebelum penggal kerajaan negeri itu berakhir. Blok utama pembangkang Pakatan Harapan berkata UMNO tidak bertanggungjawab apabila ia memutuskan untuk mengadakan pilihan raya negeri Johor pada masa ini.

“Kami berpandangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor adalah satu tindakan yang dirancang dengan tujuan memberi tekanan kepada perdana menteri supaya membubarkan Parlimen dan membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-15 dengan secepat mungkin,” kata Majlis Presiden Harapan dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rakyat Johor, katanya, masih terbelenggu dari segi ekonomi kerana pandemik COVID-19 dan banjir baru-baru ini.

'Pembangkang semakin lemah'

Mengenai prospek pilihan raya negeri Johor, penganalisis Tunku Mohar menjangkakan adanya peluang untuk UMNO.

“Jika Melaka dijadikan petunjuk, UMNO-BN mungkin memenangi pilihan raya negeri itu dengan mandat yang jelas. Ia mempunyai akar umbi yang boleh menggerakkan orang untuk mengundi,” katanya.

“UMNO [juga] mempunyai kelebihan berbanding yang lain kerana Johor adalah kubu kuatnya. …Pembangkang pula serba kekurangan kerana dalam keadaan semasa [COVID-19], ia tidak boleh mengadakan perhimpunan politik – kekuatan utamanya – untuk menjangkau mereka yang berada atas pagar,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Sivamurugan Pandian, bersetuju dengan pendapat beliau.

“Pembangkang semakin lemah, ini boleh dilihat dengan jelas dalam [keputusan] pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak,” kata Sivamurugan kepada BenarNews.

“Pilihan raya negeri Johor bukanlah satu kemestian, tetapi lebih kepada strategi politik oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Bagi parti politik, pengaturan masa adalah penting,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Awang Pawi berkata UMNO sedang cuba memulihkan kedudukan politiknya dan "pihak lawan dijangka sukar mengalahkan UMNO terutamanya di kubu kuat mereka."

Bawah 21 tahun

Tetapi, satu faktor yang boleh menjejaskan harapan UMNO ialah kelompok pengundi berusia 18 hingga 21 tahun yang baru sahaja diberi hak mengundi. Ini adalah kali pertama pengundi dalam lingkungan umur itu akan menggunakan hak mereka untuk mengundi selepas pindaan menurunkan umur mengundi diluluskan.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan berkata pilihan raya negeri Johor akan menyaksikan penambahan 700,000 pengundi yang kebanyakannya berumur 18 hingga 21 tahun.

“Sudah pasti kami perlu membuat persediaan dengan fokus baharu. …Ini bukanlah mudah untuk UMNO,” katanya kepada pemberita pada Isnin, sambil mengakui bahawa parti-parti politik kini perlu menarik minat pengundi lebih muda.

Pilihan raya negeri itu akan menjadi kes ujian bagi kumpulan pengundi baharu, kata Oh Ei Sun, penganalisis di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIAA).

“Ia akan menjadi kes ujian bagi melihat apakah kesan pengundi muda dalam pilihan raya, kerana kita belum mempunyai sebarang duluan mengenai kecenderungan pengundian dalam kohort baru pilihan raya ini,” katanya kepada BenarNews.

Sementara itu, penganalisis Tunku Mohar percaya UMNO mungkin mengadakan pilihan raya lebih awal daripada 31 Julai tahun ini, walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri telah menandatangani satu pakatan dengan blok pembangkang untuk tidak mengadakan pilihan raya umum sebelum itu.

Itu mungkin tidak mencukupi untuk menghalang UMNO daripada berbuat demikian, kata penganalisis itu.

Ramai dalam UMNO terdesak untuk memenangi pilihan raya umum dan menghapuskan sebarang memori mengenai kekalahan parti itu kepada Pakatan Harapan pada 2018. Mereka bergantung kepada hakikat bahawa banyak perkara yang telah berlaku sejak itu sehingga meningkatkan peluang mereka untuk menang seperti keperluan untuk mempunyai kerajaan pusat yang stabil di tengah-tengah penularan pandemik, kata penganalisis.

Di pihak UMNO pula, parti itu kini berpecah belah. Satu kumpulan menyokong perdana menteri Ismail Sabri manakala satu lagi kumpulan menyokong presiden parti Ahmad Zahid Hamidi. Kumpulan Zahid mahu pilihan raya diadakan secepat mungkin, kata Oh Ei Sun dan Tunku Mohar dari SIAA.

“Nampaknya kumpulan yang tidak menyokong Ismail mempunyai kelebihan pada masa ini… presiden parti tidak memberi [Ismail Sabri] ruang untuk menunjukkan kuasanya dan itu memberi kepincangan kepada perdana menteri,” kata penganalisis Tunku Mohar.

“Jika UMNO menang besar di Johor, ia akan memberi lebih tekanan kepada [parti] untuk mengadakan pilihan raya umum dengan lebih awal.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.