Follow us

Pencemaran: Dua Pengarah Syarikat dan Pemandu Didakwa di Mahkamah

Staf BeritaBenar
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-25
E-mel
Komen
Share
Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri sedang memeriksa kandungan gas beracun di udara menggunakan alat khas bagi menentukan kandungan udara di sekitar kawasan tersebut selamat atau tidak, di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, 15 Mac 2019.
Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri sedang memeriksa kandungan gas beracun di udara menggunakan alat khas bagi menentukan kandungan udara di sekitar kawasan tersebut selamat atau tidak, di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, 15 Mac 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang warga Singapura yang juga pengarah syarikat bersama dua lagi rakyat tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bharu atas pertuduhan melupuskan buangan tercemar secara haram di Sungai Kim Kim pada Sabtu dan turut didakwa sekali lagi pada Isnin.

Pada sabtu lepas, tertuduh Wang Jing Chao, 35, warga Singapura dan Yap Yoke Liang, 41 dituduh bersama bersubahat dengan pemandu lori syarikat N. Maridass, 34 melepaskan buangan terjadual iaitu enap cemar berminyak di Sungai Kim Kim menggunakan semi trailer tangki sawit tanpa mendapatkan sebarang kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar pada 7 Mac lepas.

Agensi berita nasional Malaysia [Bernama] pada Isnin pula melaporkan Wang dan Yap, kedua-duanya pengarah syarikat pemprosesan tayar terpakai sekali lagi didakwa di mahkamah yang sama, dengan masing-masing melibatkan 15 pertuduhan baharu, tujuh kesalahan pembuangan terjadual dan lapan lagi kesalahan melibatkan pencemaran udara bersih awal bulan ini.

Pada Sabtu, mahkamah telah dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraff Md Kamal di hadapan Hakim Jailani Rahman, bahawa Maridass pemandu lori syarikat itu telah melakukan kesalahan membuang enap tercemar berminyak di Sungai tersebut sekitar jam 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, pada 7 Mac lalu.

Pembuangan tersebut tidak mendapat sebarang kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling dengan Wang dan Yap didakwa bersuhabat bersama Maridass untuk melupuskan barangan terjadual menggunakan kenderaan syarikat di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim pada hari tersebut.

Maridass didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 B(4) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda 500 ribu ringgit.

Wang dan Yap pula didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dibaca bersama dengan Seksyen 42 Akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 B(4) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda 500 ribu ringgit.

Maridass diwakili peguam Ratakrishna, Wang dan Yap pula diwakili peguam G.Subramaniar Nair mengaku tidak bersalah semasa pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Di mahkamah yang saya pihak pendakwa raya telah memaklumkan bahawa pemandu lori itu  ditahan di Batu Gajah, Perak pada 17 Mac lepas, manakala Wang dan Yap masing-masing ditangkap di Segamat dan Yong Peng, di Johor.

Muhammad Asyraff meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh memandangkan kesalahan itu adalah serius dan berat selain menjadi perhatian umum kerana membabitkan kesihatan ribuan masyarakat di kawasan tersebut disamping perlu mengambil kira kebermungkinan suspek melarikan diri.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan 100 ribu ringgit terhadap Maridass dengan seorang penjamin, dan 250 ribu ringgit dengan seorang penjamin terhadap Yap dan pasport diserahkan kepada mahkamah manakala tiada jaminan terhadap Wang yang merupakan warga Singapura.

Pertuduhan kedua

Prosiding pada Isnin, Wang dan Yap, selaku Orang Kena Saman (OKS) sekali lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan baharu dibacakan di hadapan Hakim Jailani.

Mengikut pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual, Wang dan Yap didakwa gagal membuat pemberitahuan tentang buangan terjadual yang dihasilkan dalam masa 30 hari dari tarikh pengeluaran buangan terjadual seperti ditetapkan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan itu pada 11 Mac kira-kira 12.25 tengah hari di P Tech Resources Sdn Bhd di PLO 113, Jalan Nibong 2, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan boleh dikenakan denda tidak lebih 10 ribu ringgit atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih pula, Wang didakwa gagal menjalankan pemantauan berkala di bawah peraturan sama manakala Yap pula dituduh gagal menyelenggara rekod bagi proses pengilangan dan pemantauan prestasi sistem kawalan pencemaran udara, sebagaimana ditentukan peraturan tersebut.

Kesalahan itu turut dilakukan kedua-duanya di tempat, masa dan tarikh yang sama. Oleh itu, kedua-duanya boleh didenda tidak lebih 100 ribu ringgit atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula dan membenarkan setiap tertuduh dijamin 15 ribu ringgit dengan seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pembuangan terjadual dan tiga ribu ringgit dengan seorang bagi setiap pertuduhan melibatkan pencemaran udara bersih.

Mahkamah turut mengarahkan Wang dan Yap diikat jamin dengan seorang penjamin namun penjamin Wang haruslah warga Malaysia dan perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 1 haribulan sehingga kes saman itu, selesai.

Proses pendakwaan pada Isnin turut dikendalikan Muhammad Asyraf dan semasa prosiding, pihak pendakwa raya turut mengemukakan 15 pertuduhan sama ke atas kilang, P Tech Resources Sdn Bhd, dengan kedua-dua pengarah itu mengaku tidak bersalah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri, Mohd Khalil Kader Mohd semasa bercakap sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Sabtu berkata lapan daripada 11 individu yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah didapati tidak terbabit dalam insiden pencemaran bahan toksik di sungai berkenaan.

Lebih tiga ribu orang terpaksa mendapatkan rawatan akibat terhidu gas toksik akibat pembungan sisa kimia ke dalam sungai berkenaan sejak kejadian itu berlaku dengan sebanyak 111 buah sekolah serta beberapa pusat pengajian tinggi di daerah Pasir Gudang diarahkan ditutup oleh Menteri Pendidikan.

Lihat Laman Penuh