Follow us

Johor Tutup 13 Buah Sekolah Akibat Pencemaran Pembuangan Sisa Kimia

Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-12
E-mel
Komen
Share
Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya(HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengambil sampel dari kawasan sekitar Sungai Kim Kim untuk diuji, Johor, Malaysia, 7 Mac, 2019.
Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya(HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengambil sampel dari kawasan sekitar Sungai Kim Kim untuk diuji, Johor, Malaysia, 7 Mac, 2019.
[Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor]

Sebanyak 13 sekolah berhampiran Sungai Kim Kim di negeri selatan Johor ditutup pada Selasa selepas beratus-ratus pelajar, guru dan pekerja jatuh sakit setelah terhidu dan terdedah kepada gas toksik akibat pembuangan sisa kimia secara haram di sungai itu.

Penutupan itu turut melibatkan dua buah sekolah yang telah ditutup minggu lalu, kata pengerusi Jawatankuasa bagi Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Sahruddin Jamal.

Susulan insiden itu, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja bagi mengawal kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.

"Mesyuarat itu juga bersetuju untuk melantik kontraktor yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan seluas 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim.

"Orang ramai dinasihatkan tidak memasuki kawasan tempat pembersihan itu," kata Sahruddin dalam kenyataan selepas mesyuarat itu pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik memberitahu insiden pencemaran itu turut menyebabkan seramai 266 pelajar, murid serta kakitangan dari sekolah empat sekolah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala 42 orang lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) setelah mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

"Lima daripada mereka kini ditempatkan di Zon Merah (kritikal), 19 orang di Zon Kuning (separa kritikal) dan 18 lagi di Zon Hijau (tidak kritikal)," katanya kepada media selepas melawat mangsa di HSI pada Selasa.

Berikutan insiden itu, Maszlee menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab membuang sisa kimia itu dihadapkan segera ke muka pengadilan.

“Pihak terbabit harus dikenakan tindakan keras kerana perbuatan mereka melibatkan soal keselamatan orang ramai termasuk murid.

“Keselamatan murid, pekerja dan guru sekolah harus diutamakan. Jadi, kita akan memberi kerjasama kepada pihak yang berkaitan bagi memastikan penjenayah ini dapat ditangkap dan diberi hukuman setimpal,” tegasnya.

Khamis lepas, media melaporkan kira-kira 1,400 pelajar sekolah SMK Pasir Putih dan SK Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Menurutnya Kementerian Pendidikan juga akan mengadakan pertemuan dengan pentadbiran sekolah yang ditutup termasuk Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort, Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mohammad Ezzani Mat Salleh memberitahu BeritaBenar bahawa jabatannya mendapati dua syarikat terlibat dalam kes pencemaran sisa kimia.

JAS juga menahan tiga individu termasuk pemilik kilang kitar semula di Taman Pasir Putih pada Isnin.

"Kami telah mendapatkan bukti daripada tiga suspek yang secara lisannya mengakui terlibat dalam pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim pada Khamis lepas," katanya.

Beliau berkata pasukan penyiasatan JAS turut merampas beberapa alat dari dua kilang berkenaan di Kulai dan Pasir Gudang.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 34b Akta Alam Sekitar yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM 500,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sultan Johor murka

Pelbagai pihak menggesa supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap pelaku pencemaran itu termasuk Sultan Johor.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah meluahkan kemurkaan dan kekesalan baginda berhubung insiden itu.

“Disebabkan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malah ada yang bertarung nyawa dalam ICU!

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office pada Selasa.

Sultan Ibrahim turut menasihati penduduk di sekitar kawasan kejadian itu supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.

“Sekolah juga tidak harus dibuka selagi keadaan tidak benar-benar selamat untuk pelajar dan guru. Kurangkan juga seberapa banyak pergerakan di luar,” titah baginda.

Sementara itu, kumpulan pencinta alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula meminta pihak berkuasa mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap pelaku pencemaran tersebut.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata hukuman berat wajar dikenakan ke atas pihak berkenaan kerana ia merupakan perkara amat serius dan melibatkan kesihatan awam.

"Hasil siasatan dan tindakan yang diambil perlu didedahkan kepada umum bagi meredakan kebimbangan penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian dan mengetahui langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah itu.

"SAM juga menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pemantauan dengan lebih kerap dan berterusan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang pada masa akan datang," katanya kepada BeritaBenar.

 

Aiman Abdul Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh