Follow us

Menteri Pendidikan Arah Tutup 111 Sekolah Serta Merta di Pasir Gudang

Radzi Razak & Ali Nufeal
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-13
E-mel
Komen
Share
Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengambil sampel dari kawasan sekitar Sungai Kim Kim untuk diuji, Pasir Gudang, Johor, Malaysia, 13Mac, 2019.
Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengambil sampel dari kawasan sekitar Sungai Kim Kim untuk diuji, Pasir Gudang, Johor, Malaysia, 13Mac, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM] pada lewat Rabu telah mengeluarkan arahan penutupan serta merta sebanyak 111 buah sekolah di sekitar kawasan Pasir Gudang, dengan Menteri Besar masih mengatakan yang keadaan itu masih terkawal.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kementerian itu mengambil tindakan untuk menutup sekolah dengan serta merta.

“KPM memutuskan untuk menutup semua, 111 sekolah di daerah Pasir Gudang berkuatkuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan lewat Rabu.

Terdahulu itu Maszlee berkata “Kementerian memandang serius isu ini kerana ia membabitkan risiko nyawa kepada murid, guru dan pekerja sekolah,”

Sementara itu, Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata insiden pencemaran itu masih dalam keadaan terkawal dan tidak memerlukan kerajaan negeri untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Katanya, bahaya oleh gas toksik yang disebabkan oleh pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim hanya menjejaskan kawasan tertentu pada masa tertentu dan masih belum menjadi punca pemindahan.

“Kita lihat dalam setiap laporan jabatan yang terbabit,  ini bukan satu perkara yang boleh dianggap sehingga perlu untuk mengisytiharkan darurat dan sebagainya… Tidak [perlu].. Keadaan masih terkawal,” katanya dalam sidang media selepas diberi taklimat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Pasir Gudang.

“Sebenarnya kes ini tidak menjejaskan sehingga begitu teruk dan kalau kita lihat pada hari ini [Rabu], cuma beberapa tempat saja yang terjejas dan ini pun bukan sepanjang masa, tetapi hanya mengikut keadaan. Kadang-kadang semasa panas dan berangin, atau mungkin haba itu naik,” tambah Menteri Besar itu lagi.

Lebih 500 dirawat

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, lebih 500 orang awam termasuk pelajar dan guru daripada lebih 30 buah sekolah di daerah itu telah mendapatkan rawatan selepas terdedah kepada gas toksik akibat daripada pencemaran itu.

“Seramai 166 mangsa telah dimasukkan ke dalam wad, sembilan daripada mereka berada di Unit Rawatan Rapi (ICU),” kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad .

Antara mereka yang mendapat rawatan kesihatan di dua buah hospital – Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah – akibat terhidu pencemaran sisa toksik itu termasuklah pemandu ambulans yang bertugas menghantar pesakit.

Menteri Kesihatan itu juga menafikan adanya laporan kematian akibat insiden itu seperti yang diperkatakan di media sosial.

"Tidak ada kematian seperti yang dilaporkan dalam media sosial… itu tidak benar,” kata Dzulkefly sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu terutamanya kakitangan kementerian kesihatan pada satu sidang media di Pasir Gudang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pula berkata, tiga suspek termasuk seorang pemilik kilang kitar semula tayar di Kulai yang ditahan sebelum ini, akan didakwa di mahkamah pada Khamis dengan berkemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap berhubung kes tersebut.

Katanya, kertas siasatan berhubung pencemaran itu telah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada pagi Rabu dan pertuduhan boleh dibuat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih 500 ribu ringgit.

Yeo juga mengesahkan bahawa sebatian kimia yang telah dikenalpasti di dalam sungai dan tanah sekitarnya adalah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzena, toulene, xylene dan limonene sambil memaklumkan bahawa beberapa kontraktor telah dilantik dengan dibantu oleh peralatan daripada syarikat gergasi gas Malaysia - Petronas untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

"Kami akan meminta Petronas dan Angkatan Tentera Malaysia untuk membawa lebih banyak peralatan termasuk pengesan gas dan kelengkapan arah angin kerana kami berhadapan dengan Kompaun Organik yang tidak stabil. Ia berbahaya jika cuaca panas dan angin meningkat," kata beliau.

Pada sidang media itu, Osman turut mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Pasukan Tugas Khas yang diberi kuasa penuh menyiasat lebih terperinci meliputi forensik pencemaran sisa kimia berbahaya dan kerja-kerja pembersihan yang beroperasi 24 jam.

"Kerajaan (Negeri Johor) telah memberi peruntukkan sebanyak 6.4 juta ringgit dalam operasi ini," kata Menteri Besar itu.

Sultan murka

Terdahulu itu, KPM telah mengarahkan 30 lagi buah sekolah ditutup yang menjadikan jumlah keseluruhannya 43 kesemuanya dengan arahan penutupan itu berada dalam lingkungan tiga kilometer [1.9 batu] radius dari Sungai Kim Kim.

Situasi itu telah merisau dan mendatangkan murka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sehingga baginda memberi titah supaya siasatan lengkap dijalankan bagi membawa mereka yang terbabit kemuka pengadilan.

“Disebabkan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malah ada yang bertarung nyawa dalam ICU!

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Royal Press Office pada Selasa.

Sultan Ibrahim turut menasihati penduduk di sekitar kawasan kejadian itu supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.

“Sekolah juga tidak harus dibuka selagi keadaan tidak benar-benar selamat untuk pelajar dan guru. Kurangkan juga seberapa banyak pergerakan di luar,” titah baginda.


Lihat Laman Penuh