Penginapan: Malaysia Buka 30 Kertas Siasatan Kedua Terhadap Kilang Pengeluar Sarung Tangan
2020.12.28
Kuala Lumpur
Malaysia pada Isnin mengumumkan yang Jabatan Tenaga Kerja Semenanjug Malaysia (JTKSM) mahu mendakwa sebuah syarikat pengeluar sarung tangan bersama dua anak syarikatnya di Klang dengan 30 pertuduhan atas pelbagai kesalahan berkaitan penginapan pekerja asing rentetan daripada satu serbuan terhadap premis syarikat tersebut minggu lalu.
Kementerian Sumber Manusia memberitahu bahawa 22 pertuduhan akan dibuka terhadap Brightway Holding Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Biopro (M) Sdn Bhd, manakala lapan lagi pertuduhan terhadap satu lagi anak syarikatnya, La Glove (M) Sdn Bhd di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Antara kesalahan adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan juga pelanggaran Peraturan-peraturan di bawah Akta 446 yang melibatkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum yang ditetapkan.
“Kesemua kertas siasatan di peringkat akhir penyediaan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad.
Seksyen tersebut, di bawah Akta 446 atau nama penuhnya Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 merujuk kepada peraturan di mana tiada penginapan boleh disediakan untuk seseorang pekerja melainkan jika diperakukan dengan Perakuan Penginapan.
Jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 bagi satu kesalahan.
Adalah kurang jelas mengapa kerajaan bertindak mengumumkan terlebih dahulu niat untuk mendakwa terhadap pengeluar-pengeluar sarung tangan getah dan usaha untuk mendapatkan ulasan oleh BeritaBenar mengenainya dan bila jangkaan masa kes tersebut dibawa ke mahkamah bagaimanapun gagal, apabila panggilan dan pesanan tidak dijawab.
Dalam serbuan di premis La Glove di Kajang minggu lalu yang turut disertai Menteri Sumber Manusia M. Saravanan, Kementerian Sumber Manusia mendapati dua buah kontena telah dijadikan sebagai tempat tinggal kepada lebih 400 orang pekerja syarikat tersebut dengan berada dalam keadaan yang sangat kotor, sempit dan daif.
Saravanan selepas serbuan itu berkata beliau malu dan sedih dengan keadaan kediaman pekerja asing tersebut dan menyifatkannya “lebih teruk berbanding era penjajahan British"
"Saya amat sedih melihat keadaan ini [penempatan pekerja]. Walau kita pernah melihat jajahan British sebelum ini yang membawa pekerja untuk bekerja di ladang-ladang getah, tetapi kini selepas lebih 60 tahun, kita melihat satu keadaan yang lebih teruk.
“Saya sebagai Menteri Sumber Manusia amat malu melihat situasi seperti ini… yang seperti satu perhambaan zaman moden,” tambah Saravanan merujuk kepada penyediaan fasiliti penginapan tersebut yang paling teruk pernah ditemui.
Menurut menteri itu lagi, fasiliti penginapan pekerja kilang berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan kesemua pekerja asing kilang tersebut masih belum membuat sebarang ujian saringan COVID-19.
Pendakwaan terbuka
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara Selatan, Adrian Pereira ketika bercakap kepada BeritaBenar berkata kerajaan perlu membuat pendakwaan secara terbuka ke atas majikan yang tidak mematuhi undang-undang berhubung pekerja asing yang digajikan mereka bagi menyedarkan majikan-majikan lain.
"Kerajaan perlu membuat pendakwaan secara terbuka, jika tidak majikan seperti ini tidak akan sedar mengenai kesilapan yang dilakukan.
"Satu langkah penyelesaian yang berkesan perlu diambil oleh majikan seperti ini dan ia harus ditunjukkan sebagai contoh kepada pekerja, pembeli, pemilik konsesi dan pihak berkuasa," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.
Pada Julai lepas, syarikat pembuat sarung tangan latex terbesar dunia, Top Glove telah dikenakan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP AS) selepas disyaki mengamalkan buruh paksa dalam operasinya.
Selain tindakan sekatan oleh CBP AS terhadap Top Glove, Putrajaya telah mengenakan perintah berkurung terhadap fasiliti pekerja di beberapa kilang milik syarikat berkenaan selepas berlakunya peningkatan penularan jangkitan pandemik COVID-19 sehingga melebihi 5,000 kes melibatkan pekerjanya.
Pihak berkuasa Malaysia juga menjalankan siasatan ke atas Top Glove berhubung dakwaan mengenai keadaan penginapan yang buruk di asrama-asrama enam kilang yang dimiliki syarikat pengeluar sarung tangan perubatan yang terbesar di dunia, setelah lebih daripada 3,400 pekerja kilangnya di negeri Selangor didapati positif COVID-19.
Selepas serbuan dilakukan di asrama-asrama Top Glove di lima negeri lain pada minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia menyatakan pihaknya mendapati asrama berkenaan tidak mematuhi standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja.
"Serbuan serentak pada 26 November dilakukan berikutan peningkatan kes koronavirus dalam kalangan pekerja Top Glove di kilangnya di bandar Klang di Selangor pada 7 November," kata kementerian itu dalam satu kenyataan, yang merujuk kepada kluster jangkitan paling awal di kilang Top Glove.
"Berikutan itu, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka terhadap enam kilang di bawah Top Glove Group Corporation Bhd."
Siasatan itu dilakukan kira-kira empat bulan selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat import sarung tangan getah buatan Top Glove, dengan menyatakan adanya "bukti yang munasabah" mengenai buruh paksa di kilangnya.
Jabatan Tenaga Kerja Malaysia menyatakan AS mungkin menurunkan kedudukan Malaysia dalam laporan tahunan penting mengenai perdagangan manusia sekiranya tuduhan terhadap Top Glove terbukti benar.