Wakil Junta Myanmar hadiri Mesyuarat Pertahanan ASEAN

Khas untuk BenarNews
2022.06.22
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Wakil Junta Myanmar hadiri Mesyuarat Pertahanan ASEAN Menteri Pertahanan Myanmar Jeneral Mya Tun Oo (kanan) semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara di Phnom Penh, Kemboja, 22 Jun 2022.
[AFP]

Seorang wakil rejim tentera Myanmar menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di ibu negara Kemboja, Phnom Penh, pada Rabu, walaupun adanya gesaan daripada ratusan pertubuhan pro-demokrasi negara dilanda perang itu supaya badan serantau Asia Tenggara tidak terlibat dengan pihak junta.

Jeneral Myanmar Mya Tun Oo menjadi pegawai paling kanan untuk mewakili Majlis Pentadbiran Negara (SAC) pada mesyuarat peringkat menteri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara sejak pihak tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021.

Kesemua 10 negara anggota ASEAN kelihatan berbelah bahagi tentang cara untuk menangani junta itu, dengan sesetengah daripadanya bimbang bahawa penglibatan dengan mereka mungkin menandakan penerimaan atau pengesahan terhadap rejim itu dan tindakan keras berdarah yang dilakukannya terhadap pihak yang menentangnya.

Singapura, Filipina, Indonesia dan Malaysia menyatakan kepada Kemboja selaku pengerusi ASEAN 2022 bahawa pihak junta harus dikecualikan daripada menghadiri mesyuarat sehinggalah adanya petunjuk bahawa kekejaman di Myanmar akan berakhir.

“Walaupun adanya penyertaan Myanmar yang melibatkan wakil daripada Majlis Pentadbiran Negara dalam mesyuarat hari ini, ini tidak bermakna Malaysia mengiktiraf SAC sebagai kerajaan Myanmar yang sah,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia yang dihantar kepada BenarNews.

“Malaysia sentiasa menekankan bahawa SAC perlu segera melaksanakan perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam Konsensus 5 Perkara bagi mencari penyelesaian kepada krisis politik di Myanmar,” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada persetujuan yang dicapai oleh para pemimpin ASEAN dan ketua tentera Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 24 April 2021.

Perjanjian itu bertujuan menamatkan keganasan di Myanmar, memberi bantuan kemanusiaan, melantik utusan khas ASEAN dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kumpulan di Myanmar.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Banh, berkata penyertaan Mya Tun Oo dalam mesyuarat itu menunjukkan bahawa blok perdagangan serantau itu bersatu berhubung isu-isu keselamatan.

"Ini adalah penyertaan untuk mencari penyelesaian dan bagi tuduhan ini, tuduhan itu, kita tidak boleh menjawab kesemuanya," katanya pada sidang media semasa menjawab kritikan yang melibatkan Myanmar dalam mesyuarat itu.

Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto memberitahu rakan-rakan sejawatannya supaya mengetepikan perbezaan mereka demi memelihara kepentingan bersama.

“Kita tidak boleh membenarkan kuasa luar memecahbelahkan ASEAN dan mengheret kita ke dalam persaingan mereka. Masa depan ASEAN dan rakyat kita terletak di bahu kita, dan saya percaya kita semua berkongsi pandangan yang sama bahawa kita mahukan keamanan dan bukannya konflik, kerjasama dan bukannya persaingan,” katanya.

Minggu lalu, gabungan 677 pertubuhan pro-demokrasi di Myanmar telah bersama-sama menulis surat terbuka kepada Menteri-menteri pertahanan ASEAN dan menggesa mereka supaya tidak menjemput wakil daripada pihak junta Myanmar.

Pertubuhan itu berkata kehadiran Mya Tun Oo akan menjadikan ASEAN sebagai tidak konsisten dengan keputusannya untuk mengecualikan perwakilan daripada junta seperti yang dilakukan semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2021 dan Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri 2022.

“Penglibatan ADMM dengan junta, yang termasuk latihan ketenteraan, berkemungkinan besar akan membawa ke tahap membantu dan bersubahat dalam jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan pihak junta,” menurut kandungan surat mereka itu.

"Dengan membenarkan junta mengambil bahagian dalam ADMM, ASEAN semakin berisiko terlibat dalam jenayah kekejaman junta dengan memberikan sokongan dan legitimasi kepada pihak tentera serta menerima pihak tentera yang melakukan keganasan di seluruh negara."

Media negara Kemboja melaporkan bahawa menteri-menteri pertahanan itu bersetuju dalam satu deklarasi bersama, yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, untuk meningkatkan lagi kerjasama antara pasukan pertahanan ASEAN bagi membendung COVID-19, meningkatkan sokongan kepada Pasukan Pengaman Wanita ASEAN, meneruskan kerjasama di antara institusi pendidikan berorientasikan pertahanan, dan berkongsi maklumat untuk meningkatkan keselamatan maritim.

Dilaporkan oleh Radio Free Asia, sekutu dalam talian BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh