Jururawat asing bukan jalan penyelesaian atasi masalah kekurangan, kata Kesatuan

Negara perlu ada strategi yang lebih mampan untuk mengekalkan tenaga kerja jururawat tempatan sedia ada.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.09.29
Kuala Lumpur
Jururawat asing bukan jalan penyelesaian atasi masalah kekurangan, kata Kesatuan Sekumpulan jururawat memakai topeng muka sebagai langkah mengelak jangkitan virus COVID-19 di Hospital Sungai Buloh, Selangor, 12 Mac, 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kesatuan jururawat utama Malaysia pada Jumaat berkata kebenaran yang diberikan kerajaan untuk pengambilan rakan sekerja asing bukanlah satu kaedah terbaik dalam menangani isu kekurangan jururawat di negara itu.

Sebaliknya ia hanyalah penyelesaian sementara bagi masalah yang telah lama wujud, dan apa yang diperlukan adalah menambah baik keadaan tempat bekerja jururawat supaya mereka tidak memilih untuk bekerja di luar negara.

Bagaimanapun, Persatuan Hospital Swasta Malaysia mempunyai pendapat yang berbeza dengan kesatuan dan berkata langkah kerajaan membenarkan sektor swasta mengambil jururawat asing mulai hujung minggu ini akan dapat membantu menyediakan khidmat penjagaan yang lebih baik, selain membantu meringankan kesesakan yang berlaku di fasiliti kesihatan.

"Mengambil jururawat asing bukan satu penyelesaian kepada masalah kekurangan jururawat. Ia mungkin boleh dianggap sebagai langkah jangka pendek bagi sektor swasta,” kata Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (KJM) Saaidah Athman kepada BenarNews.

“Keputusan pertama untuk menangani kekurangan jururawat adalah dengan mengutamakan jururawat pelajar tempatan yang telah menamatkan pengajian mereka untuk diambil bekerja.

“Kemudian tumpuan harus diberikan terhadap mewujudkan lebih banyak peluang dan latihan dalam meningkatkan tahap kualiti kejururawatan kepada jururawat tempatan,” tambahnya lagi.

Kenyataan Saadiah disokong oleh seorang bekas ketua jururawat, Mariam Mohd Nasir yang berkata kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada menyelesaikan punca utama kenapa kekurangan jururawat berlaku di negara itu dan bukannya mengambil jalan pintas.

"Kita patut fokus kepada menyelesaikan punca masalah, seperti strategi untuk mengekalkan jururawat yang ada serta kemudahan latihan yang mencukupi. Langkah ini lebih mampan dan dapat memastikan kebaikan jangka panjang untuk tenaga kerja jururawat tempatan," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun sebagai jururawat kepada BenarNews.

Tambahnya lagi, isu kekurangan jururawat bukan satu perkara baru kerana antara sebabnya adalah masalah birokrasi, dan bagi mengatasinya satu reformasi dan penstrukturan semula sistem kesihatan negara sangat diperlukan.

Penyelesaian jangka panjang

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Azizan Abdul Aziz pula berkata masalah kekurangan jururawat bukan sahaja berlaku di sektor swasta tetapi juga di fasiliti kerajaan.

"Langkah ini adalah satu penyelesaian sementara bagi mengatasi kekurangan di hospital swasta. Akan tetapi, satu penyelesaian jangka panjang diperlukan bagi memastikan negara akan mempunyai bekalan jururawat yang mencukupi di sektor swasta dan juga kerajaan," kata beliau.

Pada 18 September lalu, Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa memaklumkan yang fasiliti kesihatan swasta boleh mengambil jururawat terlatih asing bermula 1 Oktober dengan tertakluk kepada beberapa syarat, ekoran masalah kekurangan tenaga kerja itu yang telah memberi kesan terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

"Kriteria yang sedikit mengekang berkenaan pengambilan jururawat terlatih warga asing oleh pihak swasta telah dikaji semula dan diberi kelonggaran bersyarat sementara, demi kepentingan perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya saing.

"Kini, fasiliti kesihatan swasta dibenarkan mengambil jururawat terlatih warga asing tanpa kelayakan pos basik, tertakluk kepada syarat-syarat," kata Zaliha dalam satu kenyataan media.

Menurut data daripada Kesatuan Jururawat Malaya, terdapat kira-kira 130,000 jururawat di Malaysia dengan lebih separuh daripada mereka terikat dengan Kementerian Kesihatan dan bertugas di hospital dan fasiliti kesihatan awam seluruh negara.

Seorang jururawat swasta yang ingin dikenali sebagai Elcy dari Johor mendakwa bahawa masih ada jururawat terlatih tempatan yang masih sukar mendapatkan pekerjaan di dalam negara.

Kata beliau, pihak berkuasa sepatutnya mendahulukan jururawat tempatan dalam perkhidmatan di hospital-hospital dalam negara dan bukannya dengan membenarkan sektor swasta mengambil tenaga kerja luar.

"Kenapa mahu ambil jururawat warga asing? Masih ramai jururawat terlatih di Malaysia. Ini tidak adil kepada jururawat tempatan," katanya kepada BenarNews.

Kelonggaran kerajaan

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Kuljit Singh berkata terdapat keperluan mendesak untuk jururawat di hospital swasta yang memaksa mereka untuk meminta kelonggaran dari kerajaan untuk menggajikan jururawat asing.

“Dalam satu kajian yang dijalankan oleh persatuan pada November 2022 yang melibatkan 103 pusat kesihatan swasta seluruh negara mendapati adanya keperluan tambahan terhadap lebih 9,000 orang jururawat antara tahun 2023 hingga 2025. Kebanyakkan mereka adalah kemasukkan tahap permulaan.

“(oleh itu) Persatuan Hospital Swasta Malaysia berasa lega berikutan keputusan yang diambil Kementerian Kesihatan dalam mengecualikan jururawat asing daripada memenuhi Asas Pra Kelayakan.

“Tindakan tersebut secara langsung akan meringankan beban yang dihadapi di hospital swasta susulan kesesakan yang berterusan, dan dalam masa yang sama pengecualian baru tersebut membolehkan hospital swasta menyediakan lebih banyak katil bagi pesakit,” kata Kuljit.

Antara syarat yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan bagi membolehkan jururawat asing bertugas di negara itu termasuk keperluan menduduki ujian khas oleh Lembaga Jururawat Malaysia dengan pengambilan hanya sah untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 Sept 2024.

Bagaimanapun pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan lagi dengan bilangan jururawat asing tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti terbabit.

Azizan percaya kebanyakan pusat perubatan swasta yang mahu menggaji jururawat asing akan mengambil jururawat dari Filipina dan India.

“Saya percaya bahawa tidak akan ada masalah bahasa kerana kebanyakan tenaga kerja dari dua negara berkenaan mampu berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.