Usaha Gulingkan Kerajaan, Polis Malaysia Terima Laporan

Oleh Hata Wahari
2015.08.17
150817-MY-JUSTO620 Lelaki warga Switzerland, Andre Xavier Justo, 49, diiringi pihak berkuasa Thailand meninggalkan bangunan mahkamah di Bangkok. 17 Ogos 2015
AFP

Perkembangan politik di Malaysia gempar apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat usaha untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Najib Razak melalui pintu belakang oleh beberapa individu tertentu.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO pada Sabtu percaya ada gerakan yang sedang berusaha untuk menarik ahli parlimen Barisan Nasional bekerjasama dengan Ahli Parlimen pembangkang untuk menumbangkan kerajaan.

Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar pula berkata, tiga laporan polis sudah diterima berhubung kenyataan Ahmad Zahid mengenai dakwaan itu.

"Sekiranya ada maklumat dan bukti yang kukuh mengatakan ada individu yang ingin menggulingkan kerajaan barulah polis akan siasat," katanya di Kuala Lumpur pada Isnin.

Khalid bagaimanapun tidak menyatakan tiga laporan yang diterima itu daripada siapa.

Ahmad Zahid semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang berkata, “Usaha menggulingkan kerajaan adalah satu perkara serius kerana saya mendapat maklumat daripada sumber yang sangat boleh dipercayai, dan ianya sedang berjalan, kononnya seluruh 87 anggota Parlimen pembangkang berserta seorang anggota Parlimen Bebas sedang berusaha mendapat sokongan anggota Parlimen BN untuk menyokong mereka,"

Beliau turut mendakwa komplot untuk menjatuhkan kerajaan itu telah menarik 37 anggota Parlimen Barisan Nasional untuk menyertai 87 pembangkang serta seorang anggota Parlimen Bebas.

"Mereka akan gunakan 'point of order' (peraturan Parlimen) untuk cabar speaker dengan menyatakan mereka mempunyai majoriti iaitu 125," katanya seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Susulan dakwaan itu, beberapa pemimpin UMNO tampil membuat penafian mempunyai kaitan dengan sebarang komplot untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Najib.

Muhyiddin Yassin pada Sabtu, menegaskan beliau tidak pernah terlibat atau merancang untuk menjatuhkan kerajaan.

"Saya tidak akan menjatuhkan kerajaan...saya tidak ada komplot untuk menjatuhkan Barisan Nasional," katanya yang juga merupakan bekas timbalan perdana menteri. Beliau digugurkan dari barisan pentabiran kerajaan dalam rombakan kabinet oleh Najib baru-baru ini.

Dalam pada itu pada Ahad, Ahmad Zahid menyangkal dakwaan menyatakan Muhyiddin adalah antara mereka yang terlibat dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan.

Anggota Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin pada Isnin, kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin UMNO yang didakwa terbabit cuba menggulingkan kerajaan.

"Pada saya, tuduhan sebegini kepada saya amat berat dan sungguh dikesali. Saya tidak pernah menjadi pengkhianat atau pembelot kepada parti yang saya perjuangkan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi bekas menteri UMNO Rafidah Aziz pula, beliau tidak termakan dengan cerita-cerita sebegitu.

Beliau yang juga bekas Ketua Wanita UMNO dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri terkejut serta tidak yakin sama sekali dengan dakwaan yang dilontarkan oleh Ahmad Zahid.

Perkembangan terbaru ini berikutan dakwaan yang Najib telah menerima RM2.6 bilion dari seorang penderma. Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan rasuah adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.

Perdana Menteri Najib, secara mengejut telah menggugurkan timbalannya Muhyiddin dan merombak kabinet, serta menamatkan perkhidmatan Peguam Negara Abdul Gani Patail, yang sedang mengetuai siasatan terhadap syarikat 1MDB pada waktu itu.

Beliau sebaliknya melantik Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid sebagai Timbalannya dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohamed Apandi Ali untuk mengantikan Abdul Gani.

Sebulan selepas laporan akhbar itu diterbitkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, hasil siasatan mendapati wang di dalam akaun Najib adalah sumbangan daripada penderma dari Timur Tengah, dan bukannya daripada 1MDB.

Bagaimanapun, badan itu tidak mendedahkan identiti penderma dari Timur Tengah itu.

Dalam pada itu, lelaki warga Switzerland, Andre Xavier Justo yang mengaku menyerahkan dokumen yang dicuri berkaitan urus niaga antara bekas majikannya PetroSaudi International dengan 1MDB kepada 'seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia' telah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Thailand pada Isnin.

Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan memerintahkan hukuman penjara terhadap bekas eksekutif IT berumur 49 tahun itu selepas beliau mengaku cuba memeras ugut bekas majikannya.

Perintah itu bermula pada hari beliau ditahan di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand, pada 22 Jun lepas.

Justo ditahan selepas PetroSaudi memfailkan aduan, dan kemudian dibawa ke Bangkok dan semasa dalam tahanan, dia mengaku cuba memeras ugut dengan menggunakan maklumat yang diperoleh daripada PetroSaudi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga sepuluh tahun dan denda antara 2,000 baht (AS$56) dan 20,000 baht (AS$562).

Rafidah berkata, tiada faedahnya untuk bertindak demikian ketika pelbagai isu sedang melanda negara termasuk 1MDB, derma RM2.6 bilion, masalah ekonomi serta pandangan ultra daripada pelbagai pihak.

“Tidak ada faedahnya bagi sesiapa juga, terutama dalam Umno dan BN sendiri untuk 'menjatuhkan' pemimpin dan 'menggulingkan kerajaan'. “Tidakkah itu seperti memotong hidung kerana bencikan muka?” selarnya melalui satu kenyataan.

Ketidaktentutan politik Malaysia turut mempengaruhi nilai matawang ringgit yang kini telah jatuh kepada paras terendah di dalam tempoh 16 tahun.

AS$1 didagangkan bersamaan RM4.01 berbanding RM3.50 pada awal tahun ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pembangkang, Mahfuz Omar menghentam dakwaan Ahmad Zahid terdapatnya gerakan menjatuhkan kerajaan dengan sokongan ahli parlimen pembangkang sambil menyifatkan ianya tidak berasas.

"Sedangkan saya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang sendiri tidak mengetahuinya," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Najib menggesa pemimpin dan anggota UMNO menutup isu dana politik, dan sebaliknya memberi fokus kepada cabaran yang lebih besar untuk membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.

Bernama turut melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata, jika ahli parti hanya tertumpu kepada isu dana politik, soal kepentingan rakyat yang sepatutnya menjadi agenda utama parti akan terabai.

Selain itu beliau berkata, dana politik yang diterima adalah hak eksklusif presiden dan bendahari parti dan tidak dibincangkan secara terbuka.

Beliau berkata, malah perkara berkaitan dana politik tidak pernah dibincangkan dalam perjumpaan tertutup parti dan majlis tertinggi UMNO.

"Waktu saya jadi timbalan Pak Lah (bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi), saya tidak pernah menyoal Pak Lah. Saya tahu itu adalah urusan presiden parti.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.